Wabak Wahan sedang menyerang umat Islam ketika ini

Wabak Wahan sedang menyerang umat Islam ketika ini

Serangan wabak virus covid19 yang menyerang seluruh dunia sebelum ini mengorbankan jutaan nyawa. Virus ini merupakan virus yang paling berbahaya di dunia. Virus ini mudah berjangkit sehingga menyebabkan pesakit tidak mampu bernafas degan baik sehingga menyebabkan kematian.

Di Malaysia ketika ini juga turut berlaku serangan wabak yang cukup hebat. Wabak ini boleh berjangkit dan menyerang sesiapa sahaja tanpa mengira jantina, sama seperti wabak covid19. Bezanya ia tidak sampai mengorbankan nyawa sebaliknya, hanya mampu mengorbankan iman dan akidah di jiwa.



Antara sindrom yang boleh ditemui bagi pesakit yang dijangkiti virus ini, mereka akan mula hilang tumpuan kepada segala ketetapan di dalam syariat Islam. Sebarang pandangan ulama, terutama yang melibatkan perbezaan pandangan akan dipertikaikan. Mana yang mudah dan memberi manfaat diambil, dan mana yang merugikan akan ditinggalkan.

Lazimnya pesakit yang kritikal dan gagal diubati akan mula beransur-ansur hilang keyakinan terhadap hukum Allah, sehingga mula meninggalkan segala syariat Nya dan mempertikaikan pula apa yang telah dimaktubkan. Mereka hanya mengakui diri sebagai Islam, tetapi hanya pada nama, tidak pada perbuatan.

Inilah yang disebutkan Baginda s.a.w. dalam sebuah hadisnya,

“Hampir tiba suatu zaman di mana seorang lelaki yang sedang duduk bersandar di atas kerusi kemegahannya, lalu disampaikan kepadanya sebuah hadis daripada hadisku maka dia berkata pegangan kami dan kamu hanyalah kitab Allah sahaja. Apa yang dihalalkan oleh al-Quran kami halalkan dan apa yang kami haramkan ia haramkan. (Kemudian Baginda s.a.w. melanjutkan katanya) padahal apa yang diharamkan oleh Rasulullah itu samalah hukumnya dengan apa yang diharamkan Allah.” (HR Abu Daud & Ibnu Majah)



Mabuk Dunia

Umat Islam ketika ini sedang mabuk dilanda badai keduniaan, lena diulit keselesaan, sombong atas kerusi kemegahan dan dibuai kemewahan hingga tanpa sedar begitu berani mencabar hukum Allah yang diterjemahkan melalui kata-kata, penulisan dan perbuatan.

Mereka nampak hidup tetapi hakikatnya telah mati dek kerapuhan iman, serta goyahnya keyakinan untuk mengikut ketetapan yang termaktub dalam al-Quran dan Sunnah serta pandangan ijmak ulama.

Firman Allah menerusi ayat 105 surah an-Nisa’ dengan jelas menyebutkan,



“Sesungguhnya kami menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) kitab (al-Quran) dengan membawa kebenaran supaya engkau menghukum di antara manusia menurut apa yang telah Allah tunjukkan kepadamu (melalui wahyu-Nya) dan janganlah engkau menjadi pembela bagi orang-orang khianat.”

Pada hari ini kita lihat, manusia terlalu suka untuk menjadi penolong kepada orang-orang khianat terhadap hukum Allah. Mereka menggunakan pelbagai alasan bagi mewajarkan setiap tindakan, hanya semata-mata menunjukkan merekalah hero yang memperjuangkan keadilan dan hak sesama Insan. Hukum Allah tidak lagi digunakan sebagai panduan, sebaliknya rujukan yang diguna pakai hanyalah berkiblatkan kepada barat dan bukan Islam.

Dr. Adlina Ab. Halim, Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM) menyatakan, mereka yang diserang virus ini sebenarnya menghidap sejenis penyakit yang dinamakan wahan.

Wahan ialah sejenis penyakit yang sangat berbahaya kerana pesakit akan mula melupakan Tuhan, tidak mensyukuri segala nikmat-Nya akibat terlalu cintakan dunia dan takut kepada kematian.



Orang yang menghidap penyakit ini lazimnya akan berkelakuan sepertimana yang disebutkan di atas iaitu mula meragui dan akhirnya menolak terus syariat Allah. Mereka akan mewajarkan segala tindakan mereka dengan berhujah menggunakan dalil-dalil daripada logik akal sahaja tanpa ada panduan yang jelas dalam Islam.

Justeru dalam menangani wabak ini, sebenarnya tiada apa yang boleh dilakukan kecuali umat Islam perlu kembali kepada dua perkara yang menjadi manifestasi ketamadunan Islam iaitu akidah dan keimanan yang mantap, serta akhlak yang terpuji.

Akidah dan keimanan yang mantap

Dalam mendepani keislaman yang begitu mencabar ketika ini, umat Islam perlu mempunyai akidah dan keimanan yang jitu dan mantap, yang diikat kemas dengan simpulan kalimah syahadah yang utuh. Inilah inti dasar dalam pembangunan umat Islam suatu ketika dahulu sehingga ia muncul sebagai tamadun yang hebat dan disegani timur dan barat.



Sebagai seorang yang mengaku dengan lisan dan hatinya kalimah syahadah, ia mestilah mewajibkan dirinya untuk terikat dengan tanggungjawab serta komitmen yang tinggi terhadap Allah.

Bukan sekadar ketaatan yang mutlak sahaja, bahkan seseorang yang mengaku berakidah Islam mestilah menjadikan seluruh jiwa dan raganya serta hidup dan matinya untuk Allah sahaja. Secara tidak langsung menjauhi sebarang bentuk unsur-unsur syirik, maksiat dan menyekutukan Allah dengan sesuatu yang lain dalam pelbagai bentuk dan corak.

Penanaman akidah yang teguh akan menjadikan seseorang itu sanggup mempertahankan kebenaran dan menghapuskan kebatilan. Walaupun terpaksa mengorbankan nyawa dan harta benda demi, mempertahankan akidah serta ketakwaan kepada Allah.

Akhlak yang Mampan



“Sesungguhnya aku (Rasulullah) diutus untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.”

Begitu sabda Baginda s.a.w. tatkala ditanya oleh sahabat. Akhlak mulia merupakan cerminan kepada syariat Islam. Ini bererti setiap perlakuan dan tindakan manusia berteraskan kepada keimanan dan akidah tauhid yang mutlak.

Islam tidak mengukur suatu pencapaian sesuatu bangsa dan tamadun dengan pencapaian aspek semata-mata, sebaliknya ia mesti didasari dengan akhlak yang mulia. Dalam Ihya Ulumuddin, Imam al-Ghazali menyatakan,

“Akhlak adalah sifat yang tertanam dalam jiwa. Daripadanyalah timbul perbuatan yang mudah tanpa memerlukan pertimbangan fikiran”.

Daripada itu, apabila disebut tentang akhlak dan terkait pula dengan Islam, maka sudah tentu panduannya bersumber kepada al-Quran dan al-Hadis. Baginda s.a.w. ada mengatakan,

“Sesungguhnya Allah menghiasi Islam dengan budi pekerti yang mulia dan perbuatan yang terpuji.”

Akhlak yang mulia adalah tonggak kekuatan masyarakat dan negara. Oleh itu, setiap individu wajib berjuang menegakkan akhlak mulia dan berusaha mencegah serta memerangi apa sahaja gejala kerosakan akhlak dalam masyarakat, terutama yang bertentangan dengan syariat Islam.

Jika perkara ini diabaikan, sudah tentu akan menularnya wabak akhir zaman sehingga individu tersebut beroleh kehinaan dan kerugian baik dalam masyarakat mahupun negara, dunia dan akhirat.

Firman Allah dalam surah asy-Syams ayat 8-10,

“Maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketakwaan. Sesungguhnya beruntunglah orang-orang menyucikan jiwa itu. Dan sesungguhnya rugilah orang yang mengotorinya.”

Justeru, jika kita melihat kepada apa yang diasaskan Baginda s.a.w., pendidikan akhlak yang mulia adalah faktor penting dalam menjana dan membina sesuatu bangsa hingga menjadi role model yang terbaik dalam mencapai kegemilangannya.

Namun sekiranya manusia tidak mempunyai akhlak yang mulia, sudah tentu segalanya akan musnah sebagaimana yang pernah berlaku kepada tamadun-tamadun yang lampau dek kerana diserang wabak akhir zaman.

Paling memeritkan apabila sikap umat Islam yang pasif dalam soal sensitiviti, sehingga tidak merasa apa-apa apabila ada segelintir orang yang menghina dan memperlekehkan hukum Islam di hadapan mereka. Bahkan merasa megah apabila berjaya menolak segala hukum Tuhan. Inilah serangan wabak akhir zaman. Wallahu a’lam Utv

Wabak Wahan sedang menyerang umat Islam ketika ini
Wabak Wahan sedang menyerang umat Islam ketika ini

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Pukulan KO Jojo tumbangkan lawan hanya dalam 16 saat

Ini kata Erra tentang krisis rumah tangga bekas suaminya

Hafidz Roshdi dituduh mental dan psiko, masih berminat komen IG bekas isteri

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker