Jelas pendakwaan bermotif politik – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menegaskan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini, pertuduhan terhadapnya berselindung di sebalik motif politik walaupun tiada keterangan sedemikian dikemukakan oleh pihak pendakwaan.

Presiden UMNO menyatakan berpendiriannya bahawa perkara itu adalah hakikat yang berlaku kepada beliau dan ahli politik lain yang diheret ke mahkamah.

“Dari segi pendakwaan secara atas kertas memang tidak, tetapi di belakangnya saya mengetahui ia bertujuan untuk bermotifkan politik,” ujar beliau pada sesi pemeriksaaan balas yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran.

Terdahulu, Raja Rozela menarik perhatian mahkamah bahawa jika ahli politik dituduh atas pertuduhan rasuah, antara alasan yang diberikan adalah pertuduhan atas konspirasi politik untuk menjatuhkan ahli politik tersebut.

Raja Rozela: “Katalah seorang tukang kebun didakwa di mahkamah atas pertuduhan sama, tidak mungkin dia boleh menimbulkan alasan yang serupa. Setuju?”

Ahmad Zahid: “Kalau tukang kebun itu ketua cawangan dan memegang jawatan, perkara sama akan berlaku.”

Raja Rozela: “Walhal sepanjang beberapa tahun kes ini berjalan, tiada keterangan yang dikemukakan oleh pendakwaan yang dikaitkan sebagai bermotifkan politik.”

Ahmad Zahid sedang membela diri terhadap 47 pertuduhan, 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Terdahulu, sesi soal balas yang dikendalikan oleh Raja Rozela bermula sedikit tegang apabila Ahmad Zahid diasak bertubi-tubi dengan soalan yang berkaitan konspirasi berbaur politik.

Raja Rozela membangkitkan isu bahawa isu politik dan wang tidak dapat dipisahkan namun bekas Timbalan Perdana Menteri berpendirian bahawa `wang bukan segala-galanya namun segala-galanya memerlukan’.

Ahmad Zahid ketika ditanya Rozela, menyatakan beliau tidak bersetuju bahawa perbuatan rasuah, penyelewengan wang dan sogokan semakin berleluasa di negara ini.

Raja Rozela: “Mungkin Datuk Seri tidak baca bahawa artikel dalam Wall Street Journal meletakkan Malaysia pada kedudukan nombor satu negara yang paling korup di dunia.”

Ahmad Zahid: Saya baca tajuk dan hanya membaca sepintas lalu.

Bekas Timbalan Perdana Menteri berpendirian, artikel itu berdasarkan indeks dan persepsi rasuah dan dalam hal melibatkan Malaysia, persepsi lebih diutamakan daripada indeks.

Beliau bagaimanapun bersetuju negara ini mempunyai undang-undang untuk menangani rasuah dan Perlembagaan Persekutuan meletakkan semua warganegara adalah sama rata daripada segi undang-undang tanpa mengira status dan kedudukan serta miskin atau berharta.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392

Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);

KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

CPRC Kebangsaan KKM
Telefon : 03 8881 0200 / 03 8881 0600 / 03 8881 0700
Whatsapp : +60178429454
Email : [email protected]

Kongsikan kepada keluarga dan rakan anda


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Mahathir biadap! Tunjuk angkuh dengan Sultan Johor

‘Hotel terbang’ tawar percutian di udara (Video)

Kasut sekolah berharga RM15,000

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker