Isteri jatuh sakit, pesara tentera reda tolak tawaran haji

Isteri jatuh sakit, pesara tentera reda tolak tawaran haji

ALOR SETAR – Seorang pesara tentera reda terpaksa membuat penolakan tawaran menunaikan haji pada tahun ini selepas isterinya terjatuh di rumah pada 1 Syawal lalu dan sehingga kini masih dirawat di unit rawatan rapi (ICU).

Ahd Rodhi Mahmud, 62, berkata, dia dan isteri, Nora Napisah Shuib, 65, sebelum ini telah menerima surat tawaran haji 2022 dan telah memberikan persetujuan menerima tawaran terbabit pada minggu lalu.



Walau bagaimanapun katanya, keadaan isterinya kini menyebabkan dia turut menolak tawaran haji bagi dirinya untuk memberi fokus kepada kesihatan isteri tercinta.

“Isteri saya terjatuh secara tiba-tiba kira-kira jam 6 petang pada Hari Raya Aidilfitri pertama dan kini masih dirawat di ICU Hospital Sultanah Bahiyah.

“Nampaknya belum rezeki kami pada tahun ini dan saya berharap isteri segera pulih supaya kami berpeluang untuk mengikuti ibadah haji pada musim seterusnya,” katanya ketika ditemui di pejabat Tabung Haji cawangan Alor Setar di sini pada Ahad.

Menurutnya, dia juga bersyukur urusannya untuk membuat penolakan berjalan lancar setelah melampirkan surat doktor sebagai bukti isterinya tidak sihat.



“Alhamdulillah kakitangan Tabung Haji (TH) di sini memberi kerjasama yang baik dan turut menzahirkan kata-kata semangat kepada saya untuk terus kuat menjaga isteri yang baru dua hari menjalani pembedahan,” katanya.

Sementara itu, suri rumah, Norizan Che Hassan, 53, berkata, dia gembira menerima tawaran untuk menunaikan ibadah haji pada tahun ini setelah dua tahun menunggu akibat pandemik.

“Selepas bersetuju menerima tawaran itu, saya terus lengkapkan segala keperluan yang diminta oleh pihak Tabung Haji termasuk melakukan pemeriksaan kesihatan.

“Alhamdulillah semua berjalan lancar dan saya banyak dibantu oleh anak-anak kerana ada yang perlu dibuat secara dalam talian,” katanya.



Dalam pada itu, Pengarah Wilayah Utara Lembaga Tabung Haji, Nawawi Ishak berkata, sebanyak 855 surat tawaran tunai haji dikeluarkan kepada jemaah di negeri Kedah.

“Daripada jumlah itu, 15 jemaah lagi masih belum menjawab surat tawaran yang dikeluarkan,” katanya.

Menurutnya, sebanyak dua pasukan daripada TH telah turun padang sejak Jumaat untuk mencari baki 15 jemaah terbabit.

“Mereka ini adalah antara jemaah yang gagal dijejak kemungkinan sebab menukar nombor telefon atau sudah berpindah rumah.



“Jadi pasukan kita sedang bertungkus lumus untuk memastikan mereka ini menjawab surat tawaran terbabit selewat-lewatnya pada 9 Mei,” katanya.

Nawawi menambah, setelah selesai penyerahan dokumen berkaitan, jemaah seterusnya akan mengikuti Kursus Perdana Haji yang akan diadakan pada 21 Mei ini di Masjid Zahir Alor Setar.

Lembaga Tabung Haji sebelum ini mengeluarkan surat tawaran tunai haji mulai 25 April lalu dan pemilihan jemaah adalah berasaskan prinsip yang dahulu didahulukan.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Seri Amrin Awaluddin ketika itu berkata, TH akan mengutamakan bakal haji giliran tunai haji pada 2020, diikuti dengan mereka yang giliran tunai haji pada 2021 dan seterusnya tahun ini. Sinar



Isteri jatuh sakit, pesara tentera reda tolak tawaran haji


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Bila Nak Kahwin? Jangan Sentap Kalau Ditanya Pasal Jodoh…Sini Ada Tips Tepis Soalan Camtu…



Hamid Gurkha kian uzur, badan tinggal tulang

Reedzwan Terkejut Kubur Ayah Hilang, Menangis Sedih Hanya Jumpa Batu Nisan Berlonggok [VIDEO]

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker