Kebebasan Badan Kehakiman Tidak Termasuk Kebebasan Lakukan Jenayah Dan Daripada Disiasat

Oleh Nurul Aisyah

SIASATAN terhadap Hakim Mohd Nazlan atas dakwaan jenayah benar-benar mengundang panik dikalangan pemimpin Pakatan Harapan(PH) dan Mahathir sehingga mereka dilihat seolah-olah mengerah Majlis Peguam atau lebih tepat Ambiga mengeluarkan kenyataan untuk menghalang siasatan terhadap Nazlan. Malah Ambiga dikatakan bakal turut mengadakan demonstrasi jalanan berkenaan perkara ini. Kita tunggu dan lihat samada desas desus ini benar atau pun tidak.

Persoalannya kenapa PH dan Mahathir sangat panik apabila Hakim Nazlan disiasat? Adakah ianya akan membongkar salahlaku percaturan dan penganiayaan yang PH dan Mahathir reka terhadap Najib?

Dalam perkara ini Ketua Hakim negara dan Ambiga atas nama Majlis Peguam muncul mengeluarkan “fatwa” agar siasatan terhadap Hakim Nazlan dihentikan.

Majlis Peguam mengatakan bahawa siasatan terhadap Hakim Nazlan menjejaskan kebebasan Badan Kehakiman. Bagi menjelaskan perkara ini, Bekas Ketua Hakim Negara ke 12, Tun Abdul Hamid Mohamad tampil menegaskan bahawa kebebasan Badan Kehakiman tidak termasuk kebebasan untuk melakukan jenayah dan daripada disiasat mengenainya.

Majlis Peguam juga mengatakan bahawa siasatan itu tidak mengikut perlembagaan. Tun Hamid mempersoalkan di bawah peruntukan manakah ia tidak berperlembagaan?

Presidennya merujuk kepada Perkara 125. Tun Hamid menggesa beliau membaca semula peruntukan itu. Perkara itu merujuk kepada situasi di mana seseorang Hakim itu “patut dipecat atas alasan apa-apa pelanggaran mana-mana peruntukan kod etika yang ditetapkan di bawah Fasal (3B) atau atas alasan tidak berdaya, oleh sebab kelemahan tubuh atau akal atau apa-apa sebab lain, untuk menunaikan fungsi jawatannya dengan sepatutnya,..” Ia tidak meliputi pelakuan kesalahan jenayah. Sebaliknya, SPRM dan Polis hanya mempunyai kuasa untuk menyiasat kesalahan jenayah di bawah bidang kuasa masing-masing dan bukan perkara yang disebut dalam Perkara 125.

Tun Hamid merujuk kepada dua kenyataan akhbar oleh Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan. Atas sebab apa pun, tiada dakwaan sedemikian pernah dibuat terhadap mana-mana hakim dalam tempoh lima puluh tahun yang lalu. Jadi reaksi Badan Kehakiman dengan mengeluarkan kenyataan akhbar itu juga adalah yang pertama. Beliau percaya Ketua Pendaftar tidak akan mengeluarkan kenyataan sedemikian melainkan diarahkan oleh Ketua Hakim Negara.

Bekas Ketua Hakim Negara ke 12 juga mahu kita ambil perhatian bahawa dakwaan Raja Petra itu bukanlah dakwaan umum terhadap Badan Kehakiman. Ia adalah dakwaan terhadap hakim tertentu. Kenapa badan kehakiman harus melompat membelanya?

Walaupun dakwaan itu telah dibuat oleh seorang penulis blog, jika peguam Najib tidak membuat permohonan untuk perbicaraan semula atau tidak menggunakannya sebagai alasan rayuan di Mahkamah Persekutuan untuk mahkamah mengetepikan sabitan dan memerintahkan perbicaraan semula, perkara itu berakhir di situ.

Jika peguam Najib memilih untuk melakukan salah satu daripada dua perkara yang disebut sebelum ini, jika tiada kenyataan dikeluarkan oleh Badan Kehakiman, walaupun mahkamah menolak permohonan atau hujah itu, tiada kritikan atas alasan berat sebelah boleh dilemparkan terhadap Badan Kehakiman.

Sebaliknya, apabila kenyataan itu telah dikeluarkan, peguam Najib boleh berhujah bahawa mahkamah berat sebelah kerana Badan Kehakiman telah mengeluarkan kenyataan menolak dakwaan itu lebih awal. Jika dan apabila mahkamah menolak permohonan atau hujah itu, ia memberi alasan kepada pengkritik untuk mengatakan bahawa mahkamah berat sebelah. Bagaimanapun, mengapa memberi alasan kepada Najib dan penyokongnya untuk menyerang keputusan mahkamah?

Mengenai sub judice, tidakkah kenyataan oleh Badan Kehakiman itu juga sub judice? Ia sepatutnya lebih lagi, ia datang dari Badan Kehakiman sendiri sebelum isu itu diputuskan oleh mahkamah, jika dibangkitkan.

Sekarang kita sampai kepada ucapan Ketua Hakim Negara. Tidak ada bahagian yang Tun Hamid tidak bersetuju dengannya. Beliau hanya mempersoalkan mengenai kesesuain masanya.

Walaupun Ketua Hakim Negara tidak menyebutnya, sesiapa yang membaca ucapan itu tahu bahawa beliau merujuk kepada artikel yang ditulis oleh Raja Petra yang dilaporkan dalam Malaysia Today bahawa Hakim Mohd Nazlan sedang disiasat oleh SPRM.

Tun Hamid mengulangi apa yang beliau katakan mengenai kesan dua kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh Ketua Pendaftar. Ambil perhatian bahawa satu peristiwa penting telah berlaku selepas kenyataan akhbar kedua itu, iaitu SPRM mengesahkan bahawa ia sedang menyiasat Hakim berkenaan.

Soalan: Tidakkah lebih baik membiarkan SPRM meneruskan dan menyelesaikan siasatan?

Di akhir siasatan, SPRM akan mengumumkan sama ada tiada bukti untuk menyokong dakwaan Raja Petra itu atau terdapat bukti yang mencukupi untuk menyokong pertuduhan terhadap Hakim berkenaan. Jika ia yang awal disebutkan, Hakim itu dibersihkan. Tidakkah lebih baik bagi Hakim berkenaan bahawa beliau dibersihkan oleh SPRM selepas siasatan lengkap dan tiada kenyataan sedemikian dikeluarkan oleh Badan Kehakiman? Jika pengumuman itu yang kemudian disebut, maka fail siasatan itu akan dirujuk kepada Pendakwa Raya (Peguam Negara) untuk memutuskan sama ada hendak mendakwa Hakim berkenaan atau tidak. Jika, berdasarkan keterangan, Pendakwa Raya memutuskan untuk tidak membuat pertuduhan, perkara itu tamat di situ. Jika beliau memutuskan sebaliknya, proses perbicaraan bermula.

Sama ada Hakim itu dibersihkan atau tidak, tiada kritikan boleh dilemparkan terhadap Ketua Hakim Negara. Beliau tidak boleh dituduh cuba mengganggu siasatan oleh SPRM.

Sekiranya Tun Hamid dituduh pro-Najib, biarlah beliau jelaskan bahawa beliau tidak kisah walaupun Najib terpaksa menghabiskan sisa hidupnya di penjara dengan syarat beliau mendapat perbicaraan yang adil. Tun Hamid tidak mengatakan dakwaan Raja Petra bahawa Najib tidak mendapat perbicaraan yang adil, ada merit atau tidak. Itu untuk mahkamah memutuskannya. Tun Hamid tidak mengatakan dakwaan Raja Petra dan laporan bahawa Hakim Mohd Nazlan terlibat dalam skandal kewangan 1MDB benar atau tidak, mahupun sama ada laporan Hakim Mohd Nazlan terhadap Raja Petra ada merit atau tidak. Itu hanya akan diketahui selepas SPRM menyelesaikan siasatan terhadap kedua-dua dakwaan dan laporan itu. Justeru, SPRM hendaklah dibiarkan menjalankan tugasnya tanpa gangguan atau apa yang nampak seperti gangguan oleh sesiapa.

Apa yang mencetuskan Tun Hamid terpanggil untuk menerbitkan artikel mengenai Majlis Peguam, Ketua Hakim Negara dan Hakim Nazlan disebabkan beliau menerima mesej daripada seorang rakan bahawa dua peguam dan seorang aktivis telah memfailkan saman di Mahkamah Tinggi memohon pengisytiharan berikut:

1. Badan penyiasatan jenayah, termasuk SPRM tidak berhak atau dihalang daripada menyiasat hakim-hakim yang sedang berkhidmat di mahkamah atasan (Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan) melainkan mereka digantung kerja seperti yang dikehendaki di bawah Perlembagaan Persekutuan;

2. Pendakwa raya tidak diberi kuasa untuk memulakan atau menjalankan sebarang prosiding bagi kesalahan terhadap hakim yang sedang berkhidmat di mahkamah atasan.

Mereka juga telah memohon pengisytiharan bahawa siasatan oleh SPRM terhadap Hakim Nazlan adalah tidak berperlembagaan.

Sesungguhnya kebebasan Badan Kehakiman tidak termasuk kebebasan untuk melakukan jenayah dan daripada disiasat mengenainya. Kenapa PH dan Mahathir sangat panik dan mahu Hakim Nazlan tidak disiasat?

Memandangkan mereka benar-benar mahu Hakim Nazlan tidak disiasat atas kesalahan jenayah maka rakyat perlu bangkit mendesak agar Hakim Nazlan disiasat sehingga ke lubang cacing dan mereka yang berkomplot dengan beliau dibawa ke muka pengadilan dan dikenakan hukuman paling berat kerana campurtangan dalam sistem kehakiman negara dalam usaha menganiaya Datuk Seri Najib dengan rekaan dakwaan yang berniat jahat.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker