Diaib, diasingkan, dilarang mengajar, guru ‘bilik stor’ ambil tindakan undang-undang

Diaib, diasingkan, dilarang mengajar, guru ‘bilik stor’ ambil tindakan undang-undang

Seorang guru mengalami “tekanan mental teruk” apabila sudah lima bulan dikeluarkan daripada sekolah untuk diasingkan di sebuah pusat pendidikan dan tidak dibenarkan mengajar kerana menolak vaksin Covid-19, menurut peguamnya.

“Anak guam saya ditempatkan di Pusat Kegiatan Guru (PKG) secara bersendirian sejak lima bulan lalu, tanpa boleh bercakap dan bertemu dengan sesiapa sepanjang di PKG itu. Ini menyumbang kepada masalah depresi teruk sebab beliau dihalang untuk menjalankan tugas hakiki sebagai guru. Anak guam saya digantung tak bertali,” kata Muhammad Amin Anuar kepada FMT.

Beliau berkata anak guamnya mempunyai pengesahan daripada pegawai perubatan termasuk surat doktor membuktikan beliau mempunyai alahan serius kepada pelbagai makanan dan ubat yang membawa risiko kesihatan tinggi, jika dia menerima vaksin Covid-19.

Amin berkata pihaknya sudah menghantar notis undang-undang kepada pengetua sekolah menengah di Ipoh di mana, sebelum ini, guru itu dipaksa duduk dalam bilik stor pencuci sekolah, selain dikenakan pelbagai tindakan lain kerana enggan divaksin.

Menurut surat tuntutan (letter of demand atau LOD) yang dihantar kepada pengetua itu, guru berkenaan turut “dimalu dan diaibkan dengan hebahan gambar-gambar beliau di dalam ‘kumpulan tertutup’ sekolah”.

Menurut LOD itu lagi, guru berkenaan menerima “ugutan secara berlisan dan bertulis (daripada) pihak sekolah terhadap karier beliau sebagai guru dan tindakan saman terhadap beliau”.

Susulan itu, guru berkenaan mengalami “tekanan mental dan depresi teruk (dan) mendapat konsultasi di Unit Psikiatri Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh,” menurut LOD berkenaan yang menuntut pengetua itu memastikan segala tindakan sebegitu diberhentikan.

Terpaksa duduk dalam kereta

Amin memberitahu FMT, selain diasingkan dalam stor pendidikan jasmani dan stor pekerja, guru berkenaan “juga terpaksa duduk dalam kereta hingga habis waktu bekerja”.

“Disebabkan tak mengambil vaksin atas sebab risiko masalah kesihatan, anak guam saya telah dilayan seperti seorang penjenayah,” kata Amin.

Peguam itu berkata meskipun anak guamnya mempunyai surat doktor pakar yang menjelaskan risiko tinggi sekiranya beliau menerima vaksin Covid-19, namun beliau dikeluarkan daripada premis sekolah berkenaan.

Amin berkata anak guamnya kecewa, kerana pengetua sekolah dan PPD tidak mengambil sebarang keputusan untuk menyelesaikan kesnya sehingga kini.

“Anak guam saya adalah guru berpengalaman 15 tahun, dan sering mendapat markah prestasi cemerlang dan sentiasa melaksanakan setiap arahan tugas, tetapi diperlakukan sedemikian,” kata Amin.

Pada November lalu, kisah guru berkenaan ditempatkan berasingan di bilik stor pencuci sekolah menjadi viral. Susulan itu, beliau dikeluarkan daripada sekolah itu dan ditempatkan di PKG di bawah kelolaan Pejabat Pendidikan Kinta Utara.

Beliau dibenar mengendalikan kelas dalam talian untuk seketika, namun “pintu” mengajar itu tutup apabila Kementerian Pendidikan mengarahkan sesi persekolahan hanya diadakan menerusi kelas bersemuka.

“Anak guam saya tidak lagi diberikan sebarang tugas dan beliau menganggap itu salah satu bentuk diskriminasi terhadapnya…kerana tugas hakikinya adalah mengajar. PdPR pun tidak lagi boleh atas sebab semua pelajar telah belajar secara bersemuka,” kata Amin.

Tolak vaksin atas faktor kesihatan

Amin menegaskan anak guamnya mempunyai hujah kukuh menolak vaksin Covid-19 atas faktor kesihatan.

“Tahun 2020, lima kali dia masuk hospital semua sebab alergi (alahan) dalam ubat. Bila kita tak tahu apa kandungan dalam vaksin, macamana kita nak tahu sama ada kita boleh ke ambil vaksin?

“Pada tahun 2021 sahaja, tiga kali dia masuk wad sampai sebab dia memang ada alahan makanan dan ubat. Walaupun hanya ubat ‘paracetamol’ pun, dia ada alergi.

“Dia bagi tahu pengetua dia tak berani ambil vaksin sebab takut (kesan sampingan), tapi pihak sekolah tetap berkeras supaya mengambil vaksin, jika tidak tindakan tatatertib akan dikenakan,” beritahu Amin.

“Jadi perkembangan sekarang adalah, kami sudah menghantar LOD kepada pengetua, namun surat kami tidak dibalas dan bila kami hubungi melalui telefon, pihak pengetua tak pernah angkat,” katanya.

Amin berkata anak guamnya masih menaruh harapan untuk isu itu diselesaikan secara “damai dan diplomatik” serta berharap pihak berkenaan akan membuka pintu rundingan.

“Anak guam kami bersedia menjalani ujian saringan Covid-19 yang ketat bagi membolehkan beliau kembali bertugas sebagai guru,” katanya. FMT

Diaib, diasingkan, dilarang mengajar, guru ‘bilik stor’ ambil tindakan undang-undang


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Rafizi Berdepan Saman Berkaitan Sapura

Menantu baru tak bangsat – Chef Wan

Chef Ammar dakwa gerainya ditutup kerana disihir

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker