Antara 17 Ramadan Dan Malam Lailatulqadar, Ini Penjelasan Tentang Tarikh Nuzul Al-Quran

Antara 17 Ramadan Dan Malam Lailatulqadar, Ini Penjelasan Tentang Tarikh Nuzul Al-Quran

SABAN tahun, umat Islam di negara ini akan bercuti umum sempena Nuzul al-Quran yang disambut pada setiap 17 Ramadan. Pada tahun ini, tarikh keramat itu jatuh pada Selasa 19 April.

Ia merupakan peristiwa penting dalam lipatan sirah Islam yang mana ketika itulah mukjizat terbesar kepada Nabi Muhammad SAW iaitu al-Quran diturunkan kepada baginda.

Sesungguhnya, hikmah peristiwa itu begitu besar kerana kalam ALLAH itu yang menjadi rujukan utama umat Islam sehingga dunia menuju ke penamatnya.

Kitab suci itu juga yang menjadi panduan untuk kita melayari kehidupan di muka bumi yang fana ini sebelum ke alam akhirat yang kekal abadi.

Begitupun, masih ada segelintir orang yang keliru dengan tarikh penurunan al-Quran. Ini kerana terdapat khilaf dalam kalangan ulama berhubung dengan perkara itu.

Ada yang menyatakan bahawa ia jatuh pada 17 Ramadan dan sebahagiannya pula menjelaskan peristiwa penurunan al-Quran itu berlaku pada malam lailatulqadar.

Ia sebagaimana dalil yang dirakamkan dalam al-Quran yang mana ALLAH SWT berfirman: “(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. ” (Surah al-Baqarah, ayat 185)

ALLAH SWT juga berfirman: “Haa, Miim. Demi al-Quran Kitab yang menerangkan kebenaran. Sesungguhnya KAMI telah menurunkan al-Quran itu pada malam yang berkat; (KAMI berbuat demikian) kerana sesungguhnya KAMI sentiasa memberi peringatan dan amaran (jangan hamba-hamba KAMI ditimpa azab).” (Surah ad-Dukhan, ayat 1-3)

Dalam satu lagi ayat lain, ALLAH SWT berfirman: “Sesungguhnya KAMI telah menurunkan (al-Quran) ini pada malam lailatulqadar.” (Surah al-Qadr, ayat 1)

Menjelaskan kekeliruan tersebut, pendakwah Mohd Fauzi Mustaffa menegaskan, Ramadan merupakan bulan al-Quran yang mana kalam ALLAH itu diturunkan.

Dalam proses penurunan kitab suci itu, ujar beliau, ada beberapa peringkat yang dibahaskan para ulama.

“Pertama sekali, ayat al-Quran itu diturunkan dari Luh Mahfuz ke langit dunia sekali gus 30 juzuk. Semua itu diturunkan pada malam lailatulqadar.

“Kedua, turunnya al-Quran itu dari langit tadi secara beransur-ansur kepada Nabi Muhammad SAW selama 23 tahun pada bulan Ramadan. Ketika itulah ayat yang pertama iaitu Iqra turun pada 17 Ramadan di Gua Hira.

“Maka sebab itulah Ramadan dikenali sebagai Syahrul Quran (bulan al-Quran),” katanya.

Maka tidak hairanlah mengapa begitu ramai orang yang berlumba-lumba untuk memperbanyakkan bacaan al-Quran dan bertadarus sepanjang bulan penuh barakah itu.

Dalam pada itu, Mohd Fauzi turut menegur sikap sebilangan masyarakat yang melakukan tadarus mengikut kumpulan dan terus menghabiskan tadarus mereka sebelum Ramadan tiba ke penghujungnya.

Ketahuilah, itu antara kesilapan yang acap kali dilakukan oleh kebanyakan masyarakat, ungkapnya.

“Ya, kita tahu memang ada masjid atau surau telah menentukan pasukan A, B, C dan sebagainya bagi menghabiskan tadarus 30 juzuk al-Quran.

“Namun, menjadi tanggungjawab kita untuk membuat pembahagian dengan betul dan tersusun supaya juzuk yang dipertanggungjawabkan itu dapat dilunaskan hingga pada hari terakhir Ramadan.

“Kita bukan mahu mengejar siapa yang khatam al-Quran paling awal. Sebaliknya, semua itu dilakukan bagi menghidupkan bulan Ramadan dengan mengisinya menerusi majlis tadarus,” jelasnya.

Menyambung hujahnya, ujar Mohd Fauzi, pada hakikatnya, menerusi dalil-dalil sedia ada, ia mahu mengingatkan kita bahawa Ramadan itu bulan al-Quran berbanding dengan bulan-bulan lain.

“Wajarlah kita untuk lebih dekat dengan al-Quran. Semakin kita kerap membacanya, kita boleh menyemak bacaan selama ini dari segi tajwid, harakat, dengung dan sebagainya.

“Apabila diri semakin dekat dengan kalam ALLAH itu, kita sebenarnya makin banyak mempelajarinya. Ingatlah bahawa al-Quran akan memberikan syafaat kepada orang yang membacanya,” ujarnya.

Justeru, bersama-samalah kita membasahkan lidah dengan menyebut ayat suci dan kalam-NYA sepanjang bulan Ramadan yang hanya berbaki dua minggu lagi.

Semoga segala amalan kita sepanjang bulan maghfirah dan barakah ini akan diterima oleh-NYA.

Antara 17 Ramadan Dan Malam Lailatulqadar, Ini Penjelasan Tentang Tarikh Nuzul Al-Quran


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Anak angkat celah mana?, Nurulhidayah nafi dakwaan warganet

Biawak Bengal Di Rogol, Empat lelaki Ditahan

Peniaga ‘Mee Tonggek’ Boleh Berniaga Semula Dengan Syarat

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker