Tiada niat buruk berhubung kenyataan ‘Malaysia lwn Filipina’, kata Tok Mat

Timbalan pengerusi Barisan Nasional (BN) Mohamad Hasan hari ini berkata, beliau tidak berniat buruk ketika membuat komentar mengenai “baju biru lawan baju putih” pada 4 Jan lepas.

Katanya, beliau hanya memetik seorang lelaki berusia yang ditemuinya menjelang hari penamaan calon bagi pilihan raya kecil (PRK) Kimanis minggu lepas

“Saya bercakap dengan seorang pakcik pada malam sebelum hari penamaan calon. Dia memberitahu saya, ‘Datuk, pagi (esok) akan jadi seperti pasukan Malaysia memakai baju biru lawan Filipina pakai baju putih’.

“Itu sahaja. Saya tidak berniat buruk. Saya tidak menuduh sesiapa dan saya hanya mengulangi apa yang dikatakan pakcik itu,” katanya dalam satu ceramah di Binsulok malam tadi.

Terdahulu pemimpin Warisan Shafie Apdal berkata, beliau telah mengarahkan peguamnya supaya menuntut Mohamad meminta maaf atau beliau akan menyamannya kerana “menyindir” bahawa parti pimpinannya merupakan sebuah parti Filipina.

Warisan, yang merupakan parti dominan dalam kerajaan Sabah, kerap diserang oleh BN dan beberapa pihak lain berhubung cadangan memperkenalkan Pas Sementara Sabah (PSS), yang merupakan langkah Kementerian Dalam Negeri untuk mengatasi masalah pendatang di negeri itu.

Isu pendatang haram bukanlah baru kepada Warisan, yang sering digambarkan sebagai sebuah parti pendatang haram oleh pesaingnya, merujuk kepada latar belakang keluarga Shafie.

FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker