Pemilihan semula Anwar sebagai ketua sekat reformasi dalam PKR, kata penganalisis

Pemilihan semula Anwar sebagai ketua sekat reformasi dalam PKR, kata penganalisis

PKR dijangka akan terus bergelut untuk melakukan reformasi parti selepas Anwar Ibrahim mengekalkan jawatan presidennya bagi penggal 2022-2024.

Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura memberitahu FMT, beliau percaya PKR akan bergelut untuk melahirkan pemimpin baharu dengan idea baharu kerana pemimpin lama berpegang teguh pada kuasa.

“Keputusan Anwar mempertahankan jawatannya tidak mengejutkan kerana dia tidak mungkin berhenti (berpolitik) sebelum dia menjadi perdana menteri,” katanya.

“Bagaimanapun, keputusannya memberi implikasi kepada parti. Ini bermakna pertukaran kepimpinan generasi perlu menunggu lebih lama. Ia akan mencetuskan beberapa siri perebutan kuasa sesama sendiri yang akhirnya mengakibatkan pemimpin lari daripada parti seperti bekas timbalan presiden Azmin Ali.”

Oh berkata, tanpa reformasi parti, sukar bagi PKR dan Pakatan Harapan (PH) untuk bertahan dalam pilihan raya umum akan datang.

“Ini kerana Anwar tidak lagi dianggap sebagai pemimpin yang memberi inspirasi dan boleh membawa kemenangan kepada pakatan pembangkang.”

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara menyifatkan kedudukan terbawah parti itu berdasarkan beberapa keputusan yang didakwa “silap” telah dibuat oleh Anwar. Sebagai contoh beliau memetik keputusan menggunakan logo PKR dalam pilihan raya negeri (PRN) Johor.

Beliau memberitahu FMT bahawa prospek PKR untuk pilihan raya umum ke-15 (PRU15) akan suram jika parti itu menggunakan strategi sama yang digunakan dalam PRN Johor.

Beliau berkata, Anwar perlu berundur sebagai presiden selepas PRU15 bagi memberi laluan kepada tokoh-tokoh terkenal seperti Setiausaha Agung Saifuddin Nasution Ismail dan Naib Presiden Rafizi Ramli.

Saifuddin dan Rafizi akan bertanding dalam pemilihan parti bulan depan bagi jawatan timbalan kepada Anwar.

Anwar memenangi jawatan presiden tanpa bertanding untuk kali kedua berturut-turut sejak pemilihan parti pada 2018.

Pada 2018, selepas dibebaskan dari penjara, beliau mengambil alih jawatan itu daripada isterinya, Dr Wan Azizah Ismail. FMT

Pemilihan semula Anwar sebagai ketua sekat reformasi dalam PKR, kata penganalisis


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Najib Minta DAP Jangan Politikkan Tragedi Basikal Lajak

Beli Nasi Briyani Daging RM12, Sekali Dapat Daging Meatball 3 Biji

Abang Johan Pelakon ‘Mat Saleh’ Menangis Sebab Ramai…

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker