Ribuan rakyat Malaysia jalan kaki lintas Tambak Johor
Ribuan rakyat Malaysia jalan kaki lintas Tambak Johor
JOHOR BAHRU: Ribuan rakyat Malaysia yang sebelum ini terkandas di Singapura sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac 2020 lalu, akhirnya kembali ke tanah air bermula detik 12.01 tengah malam tadi.
Tinjauan di Tambak Johor awal pagi tadi mendapati, lebih separuh daripada rakyat Malaysia yang pulang melintas tambak sejauh 2.5 kilometer berkenaan dengan berjalan kaki beramai-ramai selain ada yang menaiki basikal.
Deretan motosikal dan kereta turut dilihat beratur dengan sabar di laluan masing-masing di Tambak Johor menunggu giliran untuk kembali ke tanah air.
Lebih menyentuh rasa, laungan Allahuakbar serta lagu Negaraku dinyanyikan rakyat Malaysia yang sedang berjalan kaki, dapat didengari ratusan keluarga yang menunggu penuh sabar di susur keluar Tambak Johor, sehingga ramai dilihat mengalirkan air mata kesyukuran.
Kumpulan pertama rakyat Malaysia yang berjaya melintasi Tambak Johor seawal jam 12.05 tengah malam tadi, turut dilihat mengalirkan air mata kesyukuran apabila disambut keluarga tersayang yang ditinggalkan sejak lebih dua tahun lalu.
Penyelia tapak pembinaan di Singapura, Fajrul Rizal Abu Bakar, 28, berkata perasaannya bercampur-baur serta tidak dapat diungkap dengan kata-kata, berikutan terlalu gembira dan terharu apabila akhirnya dapat menjejak kaki di tanah air.
Katanya, beliau antara ribuan rakyat Malaysia yang terkandas di Singapura sejak PKP pada 2020 lalu dengan sehelai sepinggang.
“Dua tahun saya tak balik. Perasaan itu tak dapat nak digambarkan kerana segala kerinduan dan kesedihan yang terpendam sejak lebih dua tahun lalu seolah-olah terlepas dari dada.
“Saya tidak dapat lupakan detik 17 Mac 2020 itu kerana saya baru masuk semula ke Singapura bagi memulakan kerja. Namun ketika pengumuman PKP dan sempadan ditutup dilakukan, saya masih bekerja dan tidak menyangka ‘terperangkap’ di republik itu untuk lebih dua tahun.
“Saya dan ribuan rakyat Malaysia yang terkandas ketika itu tidak bersedia dari segi mental kerana kami beranggapan, sempadan ditutup hanya dua minggu. Namun berita pembukaan sempadan tidak kunjung tiba selepas lebih dua tahun berlalu, sehinggalah berita gembira yang ditunggu-tunggu diumumkan pada 24 Mac lalu.
“Saya sebak kerana akhirnya dapat menyambut Ramadan dan Aidilfitri bersama keluarga semula lepas dua tahun hidup sendiri di perantauan. Saya akan pastikan untuk berbuka puasa puas-puas dan akan memasak hidangan kegemaran keluarga,” katanya ketika ditemui.
Bagi pekerja tapak pembinaan di Singapura, Mohd Ashraf Azizan, 26, pula berkata, ramai rakyat Malaysia yang mengalirkan air mata kesyukuran apabila berjalan beramai-ramai melintasi Tambak Johor tadi.
Katanya, beliau yang juga terkandas di republik itu sejak lebih dua tahun lalu, tidak menyangka mampu bertahan selama itu dalam keadaan sehelai sepinggang ketika sempadan negara ditutup.
“Bayangkanlah, saya dan ramai rakyat Malaysia yang terkandas di Singapura terpaksa tidur di kaki lima dan bangku taman pada dua minggu pertama sempadan ditutup kerana tiada persediaan untuk tinggal di republik itu.
“Namun kami terpaksa kuatkan semangat apatah lagi kebanyakan ahli keluarga di Malaysia diberhentikan kerja dan kami menjadi harapan utama keluarga sebagai penerus mata pencarian.
“Alhamdulillah, penantian kami untuk pembukaan sempadan berakhir walaupun laluan yang ditempuh di Singapura amat berliku ia mendewasakan kami,” katanya sebak.
Bagi bapa tunggal, R Suresh, 49, yang bertugas sebagai pegawai sumber manusia di Singapura berkata, beliau turut bersyukur dapat kembali ke Johor Bahru dan akan berulang-alik untuk bekerja seperti sebelum pandemik melanda.
Katanya, beliau terbeban dengan kos hidup yang tinggi di Singapura terutama bagi menyewa bilik selain makan dan pengangkutan di republik itu.
“Lebih daripada separuh gaji saya dihabiskan untuk membayar sewa bilik dan menyara hidup di Singapura manakala separuh lagi dihantar pulang untuk empat anak saya. BH
Ribuan rakyat Malaysia jalan kaki lintas Tambak Johor
Baca Artikel Menarik:
- Kita ada satu lagi spesies katak istimewa, sindir Azalina
- Reputasi bertaraf dunia faktor Sapura Energy layak diselamatkan
- Yasin beritahu Syed Saddiq segerakan kelulusan ganja untuk perubatan (Video)
- Saya tak bersuara ketika itu sebab Sapura bukan syarikat GLC, Najib beritahu Rafizi
- Telinga, Muka Pelajar Ini Terkoyak Diserang Anjing Dengan Lebih 800 Gigitan
- Pensyarah bantu pelajar B40 beli laptop siapkan tesis akhir
- ‘Hubungan Pas-MN, Ibarat Kita Duduk Baik Dengan Bini Kita’ – Idris
- Bumi Tak Bergerak, Kenyataan Ustaz Kazim Buat Netizen ‘Speechless’
- Limosin Putin Direka Seperti ‘Kubu Mudah Alih’ Bernilai Hampir RM800 juta
- Bella beritahu dia diikat, dicili, dijirus air panas: Saksi
- Pelakon Zarina Anjoulie Mengaku Ambil Dadah
- Mengapa Rasulullah s.a.w. Anjurkan Bermusafir Pada Waktu Malam?
Layari Laman Facebook MYKMU.NET
Gangguan Seksual: Pemandu Van makan penampar bapa murid [VIDEO]