Air mata Anuar Zain



Air mata Anuar Zain

HATI penyanyi popular, Anuar Zain tersentuh sehingga menitiskan air mata apabila melihat keganasan dan kekejaman terhadap anak-anak kecil di Syria.

Tidak pernah menduga bakal menjejakkan kaki ke Syria, Anuar mengakui dia tidak dapat menjangka apa yang bakal dilaluinya di negara yang bakal dikunjunginya itu.

Bersyukur setiap langkah dan perjalanannya mendapat restu ibu bapa, Anuar lebih yakin dengan tindakan yang diambilnya.

“Keluarga saya tidak mempunyai sebarang masalah. Apa-apa yang menggembirakan saya, mereka menyokong dan bersetuju. Soal keselamatan dan keselesaan kita letak tepi, apa yang penting adalah kelancaran misi kemanusiaan ini. Saya tidak mahu menitiskan air mata ketika melihat anak-anak kecil yang ditindas, cuma tidak dapat menjangka apabila berada di sana nanti,” katanya ketika ditemui di sidang media Misi Kemanusiaan Syria Care 13.0 dan kerjasama syarikat pengurusannya, Anuar Zain Network di pejabat Syria Care, Shah Alam, baru-baru ini.




Anuar berkata, Pengerusi Syria Care, ustazah Siti Sakinah memaklumkan kepadanya di sana nanti mereka mungkin akan tidur di hotel, menumpang rumah orang dan sebagainya.

“Saya tak kisah bab itu. Bagi saya, soal keselesaan letak tepi dulu,” katanya.

Anuar berkata, dia juga bakal berpuasa selama 17 jam sepanjang menjalankan misi kemanusiaan berkenaan di sana.

Baginya, pengalaman yang bakal ditimba itu adalah sesuatu yang luar biasa dan tidak dapat ditukar dengan wang ringgit.

“Saya dijangka berangkat 11 April selama lapan hari yang mana misi bakal bermula di Turki sebelum ke Syria dan Lubnan. Teruja rasanya hendak berpuasa selama 17 jam yang mana pengalaman itu adalah sesuatu yang baru buat saya.




“Menurut ustazah Siti Sakinah, kita bukan saja menyumbangkan dari segi wang ringgit, tetapi juga sokongan dari segi emosi yang turut memainkan peranan penting.

“Kehadiran kita memberikan mereka kekuatan bagi meneruskan hidup. Sebagai manusia, kita dilahirkan untuk berkongsi dan membantu dari apa yang termampu untuk mendapat keredhaan Allah SWT,” katanya.

Menurutnya, persiapan lebih kepada aspek percakapan dan pergaulan supaya disenangi ketika berada di negara orang.

Malah, dia juga tidak berkongsi dengan mana-mana selebriti bagi melalui sendiri pengalaman itu nanti.

“Persiapan lebih kepada aspek emosi dan pergerakan tubuh yang mana harus bertepatan dengan situasi mereka di sana. Bagaimana hendak berkomunikasi dengan mereka, itu adalah perkara yang harus dititik beratkan.




“Kami mensasarkan untuk mengutip kira-kira RM225,000 untuk disumbangkan bagi misi kemanusiaan kali ini. Oleh itu, saya menyeru semua pihak untuk menghulurkan bantuan. Tidak kisah dalam apa jua bentuk. Biarpun sekadar berdoa, itu pun turut dianggap sebagai sumbangan buat mereka yang memerlukan dan ditindas,” katanya.

Adik kepada penyanyi popular Ziana Zain itu juga tidak mahu mudah tersentuh dan perlu menguatkan emosi dengan menonton video-video di negara yang bakal dikunjunginya.

Lokasi agihan kempen kali ini merangkumi tiga buah negara iaitu Syria, Lubnan dan Turki.

Kawasan agihan yang dipilih adalah tempat yang mempunyai ramai pelarian Syria yang hidup dalam keadaan daif dan serba kekurangan.

Kerjasama ini diharapkan dapat menarik lebih banyak pihak untuk tampil membantu khususnya menaja set iftar serendah RM15 atau pek makanan kering bernilai RM150 bagi meringankan beban pelarian Syria sepanjang Ramadan ini.




Misi Kemanusiaan Syria Care juga adalah bagi memastikan amanah yang dipertanggungjawabkan oleh penyumbang dilaksanakan dengan baik.

Justeru, video dan gambar pelaksanaan agihan bantuan sepanjang bulan Ramadan akan dikongsikan kepada penyumbang menerusi semua platform digital Syria Care. HM

Air mata Anuar Zain


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Pensyarah hina pelajar B40 tak mampu beli laptop (Video)

Rupanya Patung Seks, Penduduk Kampung Digempar Mayat Dalam Tong Sampah [VIDEO]

Mentaliti ‘toksik’, kelas rendah! TMJ kritik siapa?



Leave a Reply

Your email address will not be published.