Semenanjung perlu lebih banyak kawasan tadahan air- Ismail

Semenanjung perlu lebih banyak kawasan tadahan air- Ismail

Semenanjung memerlukan lebih banyak kawasan tadahan air untuk memenuhi keperluan bekalan air domestik dan pengairan, bagi menampung permintaan sehingga 2050.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata Kajian Sumber Air Negara (NWRS) bagi Semenanjung itu juga mendapati, air bawah tanah boleh dijadikan sumber air alternatif untuk kawasan luar bandar dan terpencil serta pelbagai kegunaan termasuk perindustrian, pertanian dan domestik melalui beberapa kaedah serta proses yang sesuai.



Perdana Menteri berkata, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) melalui Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) sedang giat melaksanakan aktiviti termasuk pemetaan, pembangunan, pemantauan serta Pembangunan Pusat Data dan Inventori Air Bawah Tanah.

“Langkah ini bagi meningkatkan penggunaan air bawah tanah sebagai sumber konjuntif bekalan air negara untuk kegunaan struktur binaan seperti empangan bawah tanah, akuifer buatan dan susupan tebing.

“Usaha berterusan juga dijalankan bagi memperkasa dan mengharmonikan tadbir urus berkaitan sumber air bawah tanah, dengan semua pihak yang berkepentingan di peringkat Persekutuan atau negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan sambutan Hari Air Sedunia 2022 dan melancarkan buku “Air dan Pembetungan” di Bera, hari ini. Yang turut hadir, Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.



Perdana Menteri berkata, Malaysia mempunyai sumber air bawah tanah berkapasiti 5,000 bilion meter padu, dengan keupayaan penjanaan semula sebanyak 64 bilion meter padu setahun.

Bagaimanapun, katanya, penggunaan sumber air itu di negara ini kurang daripada tiga peratus berbanding negara lain seperti Denmark iaitu 100 peratus, Austria (98 peratus), Thailand (80 peratus), China (78 peratus) dan Amerika Syarikat (AS) (50 peratus).

“Kapasiti air bawah tanah di negara ini sangat besar dan sudah tentu berupaya menjadi sumber alternatif bekalan air negara.

“Di Malaysia ketika ini, air bawah tanah digunakan sebagai sumber air minuman di Kelantan, Terengganu, Pahang, Perlis, Kedah, Sabah dan Sarawak,” katanya.



Selain itu, Perdana Menteri memaklumkan, kerajaan sedang mengkaji semula Dasar Sumber Air Negara (DSAN), dengan mengambil kira situasi dan cabaran semasa yang dihadapi sektor air negara dan akan disesuaikan dengan pelan Transformasi Sektor Air 2040 serta perancangan pembangunan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12).

“Adalah menjadi hasrat saya untuk melihat kerajaan Persekutuan, negeri dan jabatan serta agensi bekerjasama merealisasikan pelaksanaan pengurusan sumber air negara secara bersepadu.

“Saya menyeru kepada semua pihak berkepentingan supaya memberi perhatian, tumpuan dan mengambil tindakan berterusan bagi memelihara sumber air, terutama air bawah tanah demi memastikan ketersediaan air,” katanya.

Pada majlis itu, Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Bera turut memaklumkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sedang melaksanakan Pelan Induk Saliran Mesra Alam (PISMA) di bandar Bera, yang boleh dijadikan panduan dan rujukan untuk merancang pembangunan masa depan, terutama sistem perparitan yang lebih sistematik serta mampan.



Katanya, apabila siap kelak, projek itu dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 100,000 penduduk di Bera bagi mengurangkan risiko banjir. BH

Semenanjung perlu lebih banyak kawasan tadahan air- Ismail


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET




Proton Preve bakal diganti model baru

Wulan Guritno berani berbikini



Pendakwa kemuka 2 tuduhan pindaan terhadap Syed Saddiq

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker