Khairy menonjol harapan netizen

IRONI yang sangat jelas terbit daripada pengumuman jemaah menteri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada hari Jumaat lalu adalah betapa daripada 30 orang menteri, hanya seorang yang menarik perhatian umum secara positif.

Dia ialah Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin. Banyak pengulas dan peserta media sosial memberi komen yang positif dan meletakkan harapan yang tinggi kepadanya.

Ini boleh jadi kerana daripada empat orang menteri kerajaan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang terlibat terus dengan usaha mengawal pandemik Covid-19, Khairy adalah antara yang paling berjaya walaupun bukan tanpa kontroversi.

Menteri-menteri lain ialah Ismail Sabri sendiri sebagai Menteri Kanan Keselamatan dan jurucakap Covid-19, Datuk Dr Adham Baba sebagai Menteri Kesihatan dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang menggantikan Ismail Sabri sebagai Menteri Kanan. Kesemua mereka adalah daripada UMNO.

Secara ringkas dan seimbas lalu, saya setuju dengan pandangan umum bahawa kabinet Ismail Sabri adalah kitar semula jemaah menteri Muhyiddin dengan satu, dua perubahan. Ia tidak cukup radikal untuk dijadikan pemangkin Keluarga Malaysia yang diuar-uarkan itu.

Dalam keadaan di mana amat sedikit kejayaan yang boleh dikaitkan dengan kerajaan 17 bulan Muhyiddin, prestasi Khairy sebagai Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan adalah cukup cemerlang walaupun pada awalnya terdapat beberapa kelemahan dan kontroversi.

Oleh sebab kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengaitkan rampasan kuasa dan keabsahannya dengan pandemik Covid-19, maka adalah wajar apabila orang ramai melihat pelantikan Khairy sebagai satu-satunya kelainan dalam kabinet Ismail Sabri berbanding Muhyiddin.

Sememangnya pun tugas Kementerian Kesihatan amat berat dan kritikan bukan saja dari sudut pengawalan Covid-19 tetapi juga dari sudut keyakinan dunia terhadap kita.

Pada peringkat awal pandemik Covid-19, Malaysia mendapat pujian dan pengiktirafan dunia kerana cepat melaksanakan kawalan pergerakan dan penjarakan sosial.

Tetapi apabila penularan meledak berikutan pilihan raya negeri Sabah pada bulan Julai tahun lalu dan kerajaan PN mula menampakkan kegagalan, walaupun dengan perisytiharan darurat, pengiktirafan dunia berubah menjadi negatif.

Misalnya mengikut Penarafan Ketahanan Covid (Covid Resilience Ranking) oleh agensi berita ekonomi Bloomberg bagi bulan ini, Malaysia berada di tempat paling bawah dalam kalangan 53 buah ekonomi terbesar dunia.

Walaupun kadar vaksinasi kita melebihi 49.4 peratus iaitu lebih baik daripada negara-negara lain dalam senarai Bloomberg itu tetapi Malaysia mendapat markah yang rendah kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang keras tetapi kurang berkesan sebaliknya melumpuhkan ekonomi.

Ironinya, ketika Muhyiddin menjadi Perdana Menteri, Ismail Sabri sendiri menjadi pelaksana dasar PKP yang ketat dan panjang. PKP dalam pelbagai variasi masih berterusan hingga sekarang.

Bekas Menteri Kesihatan, Dr Adham walaupun seorang doktor perubatan dilihat sebagai tidak berjaya malah menjadi bahan ketawa dengan kenyataan air suam sebagai penawar Covid-19.

Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Perindustrian, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pula dilihat sebagai punca utama penularan Covid-19 kerana gagal menyelaras kegiatan sektor perkilangan.

Dari sudut pandangan kasar orang ramai, kerajaan Muhyiddin bukan sahaja gagal mengawal penularan Covid-19 malah tidak nampak ada penyelarasan dalam kalangan menteri dan kementerian. Sebaliknya bilangan menteri dan timbalan menteri yang ramai menjadi punca peningkatan birokrasi.Jadi tidak menghairankan kalau reaksi awal mereka terhadap kerajaan Ismail Sabri dengan bilangan menteri dan timbalan menteri yang hampir sama besar dengan kerajaan Muhyiddin dan terdiri daripada orang yang serupa tidak menggalakkan.

Prestasi Khairy sebagai Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan adalah cukup cemerlang.

* Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara

 


Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392

Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);

KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214

Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

CPRC Kebangsaan KKM
Telefon : 03 8881 0200 / 03 8881 0600 / 03 8881 0700
Whatsapp : +60178429454
Email : [email protected]


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


‘Presiden UMNO terus pantau, beri idea bantu kerajaan’

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker