Insiden Tanah Runtuh Bukit Permai 2: Bunyi Siren Kuat Jadi Penyelamat

Insiden Tanah Runtuh Bukit Permai 2: Bunyi Siren Kuat Jadi Penyelamat

Bunyi siren yang kuat memberi amaran kepada komuniti penduduk setempat bagi menyelamatkan diri ke tempat yang lebih selamat, berjaya mengelakkan lebih ramai mangsa dalam kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang di sini, semalam.

Seorang pekerja swasta dalam sektor perbankan Natasha Alya Saifudin, 26, berkata, beliau seakan tidak percaya kawasan perumahan yang didiami selama 20 tahun itu buat pertama kali terlibat dalam kejadian tanah runtuh pada kira-kira 5 petang semalam.



“Bunyi siren memang kuat. Tiba-tiba, terdengar dentuman dua kali runtuhan tanah yang kuat semasa hujan gerimis.

“Panik dan kelam kabut, saya terus berlari keluar dari rumah untuk tengok apa yang berlaku rupanya tanah memang sudah makin menurun,” katanya ketika ditemui Bernama di lokasi kejadian hari ini.

Menceritakan kembali detik cemas itu, Natasha Alya yang ketika itu berada berseorangan di rumah kerana bekerja dari rumah (BDR) terus menelefon bapanya yang berkhidmat sebagai pemandu kereta e-hailing untuk segera pulang ke rumah.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Tong Kwan Chew, 53, berkata, beliau hanya menyedari kejadian selepas mendengar bunyi siren yang kuat daripada rumah putih bernombor ’50’, bertentangan dengan rumahnya.



“Saya memang sangat terkejut sebab tidak pernah dengar bunyi (siren) macam itu sebelum ini. Bila sudah keluar, jalan raya depan rumah memang sudah diselaputi lumpur.

“Saya terus membawa isteri dan tiga orang anak ke tempat yang selamat serta mengubah kedudukan tiga kereta di (kawasan taman bersebelahan),” katanya yang terpaksa bermalam di hotel bersama ahli keluarga kerana akur dengan arahan pihak berkuasa sebagai langkah berwaspada dan faktor keselamatan.

Tong berkata, beliau bersyukur kejadian tanah runtuh itu tidak mengancam keselamatan keluarganya yang merupakan kejadian pertama kali semenjak 23 tahun menghuni di situ.

Sementara itu, seorang wanita yang enggan dikenali berusia 50-an, menetap selama 20 tahun di kawasan tersebut turut bersyukur dirinya selamat dalam bencana itu.



“Semasa kejadian, ramai (penduduk) yang tidak berada di rumah sebab masih lagi waktu bekerja. Tetapi sebaik terdengar bunyi siren, memang saya terus keluar dari rumah untuk tengok keadaan sekeliling,” katanya.

Beliau berkata, sebaik keluar dari rumah, tanah runtuh memang sudah merebak sehingga ke bawah dan jalan rumahnya sudah dipenuhi lumpur.

Insiden tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang dekat sini petang semalam telah meragut empat nyawa manakala seorang cedera ringan selain menyaksikan 15 rumah serta 10 kenderaan terjejas.-HM

Insiden Tanah Runtuh Bukit Permai 2: Bunyi Siren Kuat Jadi Penyelamat



Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392

Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);

KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

CPRC Kebangsaan KKM
Telefon : 03 8881 0200 / 03 8881 0600 / 03 8881 0700
Whatsapp : +60178429454
Email : [email protected]



Kongsikan kepada keluarga dan rakan anda


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


 



Johor kurang kesedaran politik Islam, Muhyiddin pertahan kenyataan Hadi

Tangmo Nida Dipaksa Layan Nafsu Lelaki VVIP Sebelum Jatuh Bot? [VIDEO]

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker