Trend ambil parasetamol meningkat, tanya pakar dahulu

KUALA LUMPUR – Trend mengambil ubat jenis parasetamol tanpa mendapatkan nasihat pakar perubatan dan ahli farmasi bagi meredakan kesan sampingan pengambilan vaksin dan dos penggalak Covid-19 dilihat semakin meningkat kebelakangan ini.

Malah, dilaporkan baru-baru ini stok ubat itu di pasaran, khususnya di bawah satu jenama terkenal di negara ini, habis menyebabkan pengguna beralih kepada penjual dalam talian.

Mengulas mengenai trend pengambilan parasetamol tanpa nasihat pakar, Presiden Persatuan Farmasi Malaysia Amrahi Buang berkata, pengguna harus sedar setiap ubat mempunyai kesan negatif sekiranya pengambilan tidak mengikut tatacara yang betul.

“Tidak salah beli sendiri untuk ‘self treatment’ tetapi kena ada ilmu mengenainya seperti parasetamol mana yang bersesuaian, berapa dos dan kekerapan yang perlu diambil, apa kekuatan ubat tersebut, kesan sampingan dan sebagainya.



“Bagaimanapun, berapa ramai yang mempunyai pengetahuan tentangnya? Ini termasuk membaca dahulu maklumat pada kotak ubat tersebut sebelum membelinya, dan kerana itulah kami lebih menggalakkan masyarakat membeli daripada farmasi agar jenis parasetamol yang diambil menepati gejala yang dialami,” katanya kepada Bernama.

Mengulas lanjut, beliau berkata, keperluan mengambil ubat tersebut, sama ada sebelum atau selepas disuntik vaksin Covid-19, bergantung pada beberapa faktor, antaranya tahap kesihatan, ubat-ubat lain yang diambil serta berat badan dan usia individu tersebut.
Beliau berkata, walaupun secara umumnya pengambilan parasetamol adalah selamat, ubat itu tidak boleh diambil secara sembarangan kerana pengambilan yang berlebihan dalam jangka panjang boleh mendedahkan individu kepada risiko kerosakan hati.

Malah katanya sesetengah parasetamol juga tidak boleh diambil oleh wanita mengandung serta penghidap hipertensen.

Beliau turut meluahkan kebimbangan berhubung trend membeli ubat, khususnya parasetamol, dalam talian yang mana katanya boleh mendedahkan si pembeli kepada ubat palsu.



“Isu (parasetamol palsu) ini sudah lama berlaku dan memang agak membimbangkan. Ada pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan menjual parasetamol palsu dan ini membahayakan kesihatan. Sebab itulah, sebaiknya beli di farmasi, kerana di situ mereka ada alat untuk mengesan parasetamol tersebut tulen atau sebaliknya,” nasihat beliau.

Dalam pada itu, Amrahi turut menjelaskan bahawa semua jenama parasetamol yang ada di pasaran mampu meredakan kesan sampingan akibat vaksinasi seperti sakit kepala, sakit sendi atau demam.
“Di farmasi ada pelbagai parasetamol lain yang boleh merawat simptom selepas menerima vaksin. Anda hanya perlu kongsikan gejala-gejala tersebut kepada ahli farmasi dan mereka akan mengesyorkan ubat yang sesuai mengikut gejala terbabit,’’ jelasnya, mengulas tentang kesukaran mendapatkan parasetamol satu jenama terkenal kebelakangan ini.

Trend masyarakat yang tertumpu kepada satu jenama terkenal menyebabkan kebanyakan farmasi, khususnya di Lembah Klang, kehabisan stok jenama itu berikutan permintaan yang tinggi daripada orang ramai, lebih-lebih lagi ketika kes baharu harian Covid-19 kembali meningkat sejak beberapa minggu lepas.

Sementara itu, Pakar Perubatan Kesihatan Awam dan Epidemiologi, Universiti Malaya Profesor Dr Noran Naqiah Hairi menasihati orang ramai agar mendapatkan pandangan pakar dalam menangani kesan sampingan pengambilan vaksin.



“Bagi individu yang menerima vaksin atau dos penggalak, mereka boleh dapatkan nasihat daripada pihak berkenaan termasuk daripada petugas kesihatan yang bertugas di tempat pemberian vaksin, untuk mereka mendapatkan rawatan dan ubatan yang bersesuaian selain parasetamol,’’ katanya.

Menurut beliau, pengambilan makanan tinggi serat dan antioksidan seperti buah-buahan dan sayur-sayuran juga mampu meningkatkan imuniti badan, sekali gus mengurangkan kesakitan akibat vaksinasi.

Dalam pada itu, syarikat farmaseutikal GlaxoSmithKline (GSK) Malaysia dalam kenyataannya kepada Bernama, mengakui terdapat peningkatan permintaan terhadap jenama Panadol keluarannya, seiring pertambahan jumlah penerima vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang bermula pada 24 Februari tahun lepas.
“Pada masa ini memang ada masalah kekurangan bekalan di sesetengah kedai, namun kami berusaha memperuntukkan stok berdasarkan keperluan pasaran.

“Kami juga menggesa pengguna agar mengamalkan sikap bertanggungjawab dan hanya membeli sekadar cukup untuk keperluan sendiri bagi memastikan bekalan mencukupi untuk pengguna lain,” kata syarikat itu.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Pharmaniaga Berhad (Pharmaniaga) Datuk Zulkarnain Md Eusope berkata syarikat farmaseutikal tersebut tidak mengalami masalah kekurangan stok bagi produk parasetamol keluarannya.

“Setakat ini kita tidak mengalami gangguan bekalan Actimol (parasetamol), sepertimana yang dilaporkan (media),” jelasnya. – Bernama


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Empat Sekeluarga Maut, Nahas 2 Kenderaan Kemalangan Di Lebuhraya Sultan Iskandar [VIDEO]

Fitnah keji, Zahid telah hantar surat saman pada Mahathir dan Muhyiddin

Zul Yahya bodohkan KJ (Video)

PRN Johor: Pengundi Cina Mula Tinggalkan DAP

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
%d bloggers like this:

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker