Sindiket pujuk amah lari daripada majikan

Sindiket pujuk amah lari daripada majikan

Ada sindiket dan ejen haram didakwa giat memujuk pembantu rumah warga asing di negara ini, melarikan diri daripada majikan asal, sebelum menuntut bayaran ribuan ringgit, sekiranya mahu mereka kembali bekerja.

Kegiatan itu didedahkan Persatuan Agensi Pekerjaan Malaysia (PAPA) dan Persatuan Majikan Amah Malaysia (MAMA) mengenai kewujudan dalang di sebalik tindakan segelintir pembantu rumah warga asing melarikan diri daripada majikan.



Presiden PAPA, Datuk Foo Yong Hooi, berkata pembantu rumah yang termakan pujukan sindiket itu supaya melarikan diri, akan ditawarkan bekerja semula dengan syarat majikan itu membayar sejumlah pampasan.

“Sekarang ini, banyak kes pembantu rumah melarikan diri daripada majikan akibat dipujuk sindiket. Rakan saya sendiri mengadu, pekerjanya melarikan diri dan meninggalkan pasport di rumah. Sekarang, pekerja itu meminta semula pasportnya atas alasan untuk bekerja dengan majikan lain.

“Apabila majikan lama pujuk supaya kembali bekerja dan sedia mengambilnya semula, pembantu rumah terbabit meminta majikan membayar RM18,000 kepada sindiket yang memujuknya supaya melarikan diri itu,” katanya.

Beliau mendedahkan demikian ketika diminta mengulas kenyataan Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono, dalam satu portal berita semalam yang mendakwa ada layanan buruk terhadap pembantu rumah warga negara itu di Malaysia.



Beliau mempersoalkan mengapa ada begitu banyak kes sedemikian di Malaysia, namun hampir tiada kes seumpamanya di negara jiran, Singapura.

Hermono antara lain mendakwa, terdapat banyak kes pembantu rumah dipaksa bekerja untuk majikan tanpa gaji, malah ada yang bekerja lebih sedekad dalam keadaan sedemikian.

Beliau turut membangkitkan isu pembantu rumah dirampas dokumen pengenalan diri, tempoh bekerja yang panjang tanpa diberi cuti rehat serta kes penderaan.

Sambil merujuk kepada kes terbaru membabitkan kerjasama antara Kedutaan Indonesia dan Jabatan Buruh, beliau berkata, seorang amah sudah bekerja selama 10 tahun, namun majikan enggan membayar gajinya.



Mengulas isu sama, Presiden MAMA, Engku Ahmad Fauzi Engku Muhsein, berkata kegiatan itu berlaku apabila ada pembantu rumah yang diuruskan ejen haram, menyebabkan mereka terpaksa mengikut telunjuk ejen terbabit.

Katanya, ia termasuk melarikan diri dan menuntut sejumlah wang sekiranya diminta majikan untuk kembali bekerja seperti diarahkan ejen berkenaan.

“Mereka (sindiket) ini mengaku sebagai ejen pembantu rumah tetapi tidak pernah berdaftar dan ini yang dipanggil pemerdagangan manusia.

“Keadaan ini menyebabkan sindiket berani memeras ugut pembantu rumah dan boleh mengarahkan mereka sesuka hati termasuk bertukar-tukar majikan sehingga ada yang bekerja dalam sektor perladangan,” katanya.



Engku Ahmad Fauzi berkata, memandangkan majikan mengambil pembantu rumah itu tanpa melalui prosedur sah, mereka tidak berani membuat laporan kepada pihak berkuasa sekiranya pekerja melarikan diri dan berdepan kerugian.

Katanya, ada segelintir majikan yang tidak mengetahui apa tindakan yang harus dilakukan apabila pembantu rumah mereka melarikan diri.

“Sekiranya pengambilan pembantu rumah dibuat mengikut prosedur betul, memang mudah majikan ambil tindakan terhadap pekerja melarikan diri.

“Malah, jika membabitkan kes jenayah, majikan boleh membuat laporan kepada polis dan sekiranya melarikan diri, mereka boleh terus melakukan aduan kepada Jabatan Imigresen.



“Jadi, untuk mengelak daripada terjebak dengan permainan sindiket ini, majikan dinasihatkan jangan mengambil pembantu rumah tidak sah,” katanya.

Sementara itu, Yong Hooi menyifatkan dakwaan kononnya pembantu rumah warga asing di negara ini diberi layanan buruk dan dipaksa bekerja tanpa gaji sebagai tidak adil.

Katanya, dakwaan sedemikian tidak harus dilihat sebelah pihak sahaja, kerana ada juga kes pembantu rumah warga negara berkenaan menimbulkan masalah.

“Dakwaan kononnya pembantu rumah tidak dibayar gaji, itu adalah kes terpencil, malah sudah diselesaikan dan pembantu rumah berkenaan sudah mendapat gajinya semula,” katanya.



“Mengenai dakwaan pasport mereka dirampas majikan, undang-undang Malaysia sudah menegaskan bahawa majikan tidak boleh menyimpan pasport pembantu rumah warga asing.

“Bagaimanapun, jika pembantu rumah terbabit meminta dan bersetuju supaya pasport mereka disimpan oleh majikan, itu tidak menjadi kesalahan,” katanya. BH

Sindiket pujuk amah lari daripada majikan


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Cecair Hitam, Busuk Keluar Daripada Paru-Paru Kanak-Kanak Positif COVID19

Dakwaan petunjuk baharu MH370

Encik Sajat kini wanita sah di Australia

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker