Penduduk dunia bakal bergelut haba lembap bawa maut

Penduduk dunia bakal bergelut haba lembap bawa maut

LONDON: Berbilion penduduk dunia mungkin bergelut untuk bertahan dalam tempoh kelembapan haba yang membawa maut pada abad ini apabila suhu meningkat, terutamanya di beberapa bandar besar di dunia, dari Delhi ke Shanghai, menurut penyelidikan yang diterbitkan semalam.

Menjelang akhir senario pemanasan yang lebih tinggi, kombinasi haba dan kelembapan yang berpotensi membawa maut boleh merebak lebih jauh termasuk ke kawasan seperti wilayah Midwest di Amerika Syarikat (AS), kata pengarang laporan itu.



“Ia sangat mengganggu. Ia akan menghantar ramai orang ke rawatan perubatan kecemasan,” kata pengarang bersama kajian, Matthew Huber dari Universiti Purdue di negeri Indiana AS kepada Reuters.

Kajian berdasarkan penyelidikan lalu oleh Huber, pakar klimatologi Universiti George Mason Daniel Vecellio dan saintis lain mengenai titik yang mana haba dan kelembapan bergabung bagi menolak tubuh manusia melebihi hadnya tanpa naungan atau bantuan daripada teknologi seperti pendingin hawa.

Ia mendapati kira-kira 750 juta orang boleh mengalami selama seminggu bagi setiap tahun haba lembap yang boleh membawa maut jika suhu meningkat dua darjah Celsius (3.6 darjah Fahrenheit) melebihi paras praindustri.

Pada 3C (5.4F) pemanasan, lebih daripada 1.5 bilion orang akan menghadapi ancaman sedemikian, menurut kertas yang diterbitkan dalam jurnal Proceedings of the National Academy of Sciences (PNAS).



Dunia berada di landasan untuk pemanasan 2.8C (5F) menjelang 2100 di bawah dasar semasa, menurut laporan Jurang Pelepasan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 2022.

Walaupun India, Pakistan dan Teluk sudah pun mencapai haba lembap berbahaya secara ringkas dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kajian mendapati ia akan melanda bandar-bandar utama dari Lagos, Nigeria, hingga Chicago, Illinois jika dunia terus memanas.

“Ia akan datang di tempat yang kami tidak fikirkan sebelum ini,” kata Vecellio, menekankan peningkatan risiko di Amerika Selatan dan Australia.

Pada 4C pemanasan, Hodeidah, Yaman, akan melihat kira-kira 300 hari setahun haba lembap yang berbahaya.



Untuk mengesan haba lembap sedemikian, saintis menggunakan ukuran yang dikenali sebagai suhu ‘wet-bulb’. Ini diambil dengan menutup termometer dengan kain yang direndam air. Proses penyejatan air dari kain mencerminkan bagaimana tubuh manusia menjadi sejuk dengan peluh.

Dalam kajian mercu tanda 2010, Huber mencadangkan suhu ‘wet-bulb’ 35C (95F) berterusan selama enam jam atau lebih boleh menjadi had konservatif untuk tubuh manusia.

Di luar ini, orang ramai mungkin akan menerima tekanan haba jika mereka tidak dapat mencari cara untuk menyejukkan badan.

Sedekad kemudian, sekumpulan saintis Amerika diketuai bersama oleh Vecellio menguji teori Huber dengan meletakkan orang dewasa muda yang sihat di dalam bilik persekitaran dengan suhu ‘wet-bulb’ yang tinggi.



Mereka mendapati had adalah lebih rendah di antara 30C (86F) dan 31C (88F).

Huber dan Vecellio bergabung tenaga untuk kajian untuk menggunakan had yang lebih rendah ini kepada dunia di bawah pelbagai senario pemanasan iklim masa depan, antara 1.5C dan 4C (2.7F dan 7.2F).

“Ini akan menjadi penanda aras kritikal untuk kajian masa depan,” kata saintis atmosfera Jane Baldwin dari University of California Irvine yang tidak terlibat dalam penyelidikan itu.

“Malangnya, ia adalah gambaran yang agak suram daripada yang anda akan dapat dengan had 35C,” katanya. BH



Penduduk dunia bakal bergelut haba lembap bawa maut

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

GV10: Kak Lina ‘behave’ pada minggu ketiga



Putera Mateen, Dayang Anisha bakal berkahwin Januari 2024

Aishah nak cari lelaki berduit?

Pengarah JSJ Bukit Aman ‘basuh’ semua KBSJD, “jangan sanggup jual nyawa rakan sendiri” [VIDEO]

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker