Pelajar Tahfiz hilang selama 96 jam hanya bertahan dengan minum air paya

GERIK: Pelajar tahfiz yang hilang dalam kebun getah Kampung Tanjung Sejarah, Kampung Tawai di sini, dipercayai bergantung kepada sumber air paya berhampiran tempat dia dijumpai sepanjang empat hari kehilangannya.

Muhammad Naufal Adzimi Mohd Harris, 17, yang mesra disapa Naufal, dijumpai dalam keadaan lemah tetapi masih sedar, pada jam 10.49 pagi tadi, selepas dilaporkan hilang sejak Rabu lalu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gerik, selaku ketua operasi, Mohd Azizan Aziz, berkata remaja itu lemah dipercayai kerana tidak makan sepanjang kehilangannya, sebaliknya hanya bergantung sumber air paya dalam kebun berkenaan.

“Semasa kita menjumpainya, kita belum sempat bertanya secara terperinci seperti apa yang dilakukannya sepanjang menghilang, kecuali dan selain daripada soalan asas seperti nama, menyuruhnya mengucap dua kalimah syahadah, dan soalan asas yang lain yang semua boleh dijawabnya.

“Dia lemah mungkin disebabkan tak makan, namun berhampiran tempat dia dijumpai dalam kawasan kebun getah itu terdapat paya kebun yang ada air di dalamnya. Jadi mungkin dia tak makan namun ambil air di paya itu,” katanya ketika dihubungi NSTP hari ini.

Ditanya sama ada ada unsur mistik dikaitkan dengan kehilangan remaja itu susulan laporan media bahawa remaja itu ditemukan selepas pasukan mencari melaungkan azan hari ini, Azizan berkata, perkara itu di luar kemampuan dan batasnya untuk menilai.

Malah katanya, sepanjang tiga hari operasi mencari Naufal, pasukan mencari yang turut membabitkan penduduk kampung juga ada melaungkan azan baik pada waktu malam mahupun siang sebagai ikhtiar mencari mangsa dan bukan hanya dilaungkan pada hari ini semata-mata.

“Hari-hari sebenarnya azan dilaungkan sepanjang operasi pencarian mangsa baik siang atau malam, bukan hari ini sahaja. Mengenai kaitan dengan perkara mistik, saya tak tak boleh hendak mengiyakan mahupun menafikan, namun konsep pencarian kita lebih kepada saintifik,” katanya.

Ditanya mengenai ‘kecelaruan minda’ dialami oleh Naufal yang dimaksudkan sebagai antara punca kehilangan remaja itu, Mohd Azizan berkata, pihaknya sekadar difahamkan remaja itu mengalami tekanan pembelajaran susulan bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini.

Naufal dijumpai pagi tadi oleh Unit Anjing Pengesan (K9) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Pasukan Gerakan Am (PGA) Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam jarak dua kilometer (km) dari lokasi motosikal mangsa ditinggalkan dalam kawasan kebun getah.

Menerusi operasi hari ini, pasukan pencarian dipecahkan kepada lapan kumpulan dengan remaja itu ditemukan di suatu lokasi yang sebelum ini sudah dilalui dan diterokai oleh pasukan pencarian namun kemungkinan situasi mangsa yang bergerak menyebabkan beliau tidak ditemui sebelum ini.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, mangsa dibawa ke Hospital Gerik untuk dirawat.

Bomba menerima panggilan daripada pihak polis mengenai kehilangan remaja itu kira-kira jam 1.33 pagi Khamis lalu yang memaklumkan Naufal kali terakhir dilihat di sekitar Kampung Ulu Kenderong, Jalan Air Bertam, sekitar jam 9 pagi Rabu lalu dengan mangsa dikatakan mengalami gangguan emosi sebelum kejadian itu.

Keluarga remaja itu yang berusaha mencarinya sebelum itu lagi iaitu sekitar jam 6 petang Rabu lalu bagaimanapun hanya menjumpai motosikal yang dibawa oleh remaja itu yang berada di tengah jalan dalam kawasan kebun getah.

Semalam, media melaporkan bapa remaja itu, Mohd Harris Muhamed, 46, berkata anaknya itu merupakan antara pelajar terbaik di maahad tahfiz tempat beliau belajar dan berjaya menghafal 30 juzuk al-Quran pada usia 14 tahun.

Kongsikan kepada keluarga dan rakan anda

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Masya Masyitah pakai stoking jarang nampak peha

Sharifah Sakinah komen netizen yang mahu jilat tubuhnya

Komen Puteri Balqis mengenai isu bergaduh di media sosial

Syamsul, Ira Kazar tertekan punca fail saman terhadap JAWI, MAIWP

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker