Hantar dadah guna beg penghantar makanan

Kuala Lumpur: Cubaan dua lelaki membawa dadah menggunakan beg penghantar makanan gagal apabila mereka ditahan polis di sekitar kawasan Jinjang, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner S Shanmugamoorthy Chinniah berkata, sepasukan anggota polis daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak yang membuat rondaan di Lebuhraya Lingkaran 2 (MRR2) menghala ke Batu Caves menemui sebuah motosikal dinaiki dua lelaki dalam keadaan mencurigakan pada 9.30 malam.

“Anggota bertugas kemudian mengarahkan dua suspek berkenaan yang masing-masing berusia 18 dan 23 tahun berhenti untuk pemeriksaan, namun arahan itu tidak diendahkan.

“Malah, suspek bertindak memusing motosikalnya dan menunggang kenderaan itu melawan arus jalan sehala menghala ke kawasan Jinjang.

“Pihak polis mengejar motosikal dinaiki mereka sehingga kenderaan itu melanggar sebuah kereta jenis Nissan Sentra dan kedua-dua suspek berjaya ditahan untuk pemeriksaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Shanmugamoorthy berkata, hasil pemeriksaan dilakukan menemui empat bungkusan berwarna hijau disyaki Mitragynine seberat 3.79 gram di dalam beg penghantar makanan dibawa suspek.

“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek saling mengenali antara satu sama lain sejak empat tahun lalu.

“Hasil soal siasat dilakukan mendapati suspek mengaku meminjam beg penghantar makanan berkenaan daripada seorang kawan untuk mengelak dan mengaburi pihak polis yang bertugas di sekatan jalan raya,” katanya.

Beliau berkata, semakan mendapati kedua-dua suspek terbabit tidak mempunyai rekod jenayah.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952,” katanya.

Menurutnya, modus operandi mengedar, membawa dan mengirim dadah menggunakan beg penghantar makanan sudah dikesan pihaknya ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di peringkat awal sebelum ini.

“Malah, kami juga ada mengesan modus operandi secara ‘premier delivery’ yang menggunakan kereta mewah untuk membawa barang terlarang berkenaan.

“Justeru itu, kami menasihatkan orang ramai supaya tidak melakukan sebarang aktiviti seumpama ini yang akan membawa padah sekiranya dikesan pihak polis,” katanya-HM

Gigih demi mencari rezeki, penghantar makanan hanya jalan kaki hantar pesanan

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker