Kasih seorang nenek Hindu menjaga dua cucu beragama Islam


Jasmine (kiri) dan Roselyn kini menumpang kasih Chandra.

SEREMBAN – Berlainan agama tidak menghalang seorang nenek beragama Hindu untuk menjaga dua cucu kandungnya yang beragama Islam.

Tanggungjawab itu dipikul V Chandra, 62, selepas cucunya Jasmine Hawa Abdul Nur, 16, dan Roselyn Aisyah Abdul Nur, 14, kematian ibu mereka, Nurani Kalsom Abdullah, tahun lalu akibat Covid-19.

Menurut Chandra, dua beradik itu kini tiada tempat bergantung apabila bapa mereka yang merupakan warga Bangladesh terputus hubungan selepas berpisah dengan ibu mereka.

“Ibu mereka merupakan anak tunggal saya dan telah lama memeluk agama Islam.



“Jadi bila dia meninggal dunia Ogos tahun lalu akibat Covid-19, saya bawa Jasmine dan Roselyn tinggal bersama dengan saya kerana mereka tiada sesiapa,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di rumahnya di Senawang, baru-baru ini.

Ujarnya, perbezaan agama sedikit pun tidak menggugat kasih sayangnya terhadap mereka.

Hikmahnya kata Chandra, hubungan dengan cucu-cucunya kini jadi lebih rapat dan mesra.

“Dulu mereka tinggal di Klang, Selangor dan kami jarang berjumpa. Walaupun kami tinggal berjauhan, tapi saling bertanya khabar.



“Lebih 20 tahun saya tinggal seorang diri selepas berpisah dengan suami dan sekarang hidup saya tidak lagi sunyi kerana ditemani cucu,” katanya.

Berlainan agama tidak menghalang Chandra yang beragama Hindu untuk menjaga dua cucu kandungnya, Jasmine dan Roselyn yang beragama Islam.

Bagi memastikan kedua-dua cucunya tidak ketinggalan mendapat pendidikan Islam sewajarnya, Chandra meminta tolong jirannya,Selasawati Ali, 62, mengajar al-Quran.

Malah dia juga akan memastikan mereka makan makanan yang halal dan menunaikan solat lima waktu.



“Saya tak halang untuk mereka jalani kehidupan sebagai seorang Muslim dan sebagai nenek saya akan cuba beri yang terbaik.

“Cuma apa yang saya risaukan jika saya tiada nanti. Siapa yang akan jaga mereka lebih-lebih lagi kedua-duanya perempuan,” katanya.

Bagi menyara hidup, Chandra bergantung dengan wang pencen ilat dan dia bersyukur apabila Baitumal turut memberi bantuan bulanan RM420 untuk kedua-dua cucunya.

Katanya, dengan keadaan diri yang sudah tua selain berdepan masalah kesihatan dia tidak lagi mampu bekerja.



“Kaki saya pun tak kuat lagi selepas saya membuat pembedahan tempurung lutut dan menghidap kanser payudara.

“Bila ada mereka tinggal bersama saya, dapatlah mereka tengok-tengokkan saya,” katanya.

Jelas Chandra, walaupun mungkin akan ada dugaan pada masa hadapan, namun sebagai nenek dia akan terus memikul tanggungjawab menjaga Jasmine dan Roselyn sebaik mungkin terutama dalam memastikan cucu-cucunya terus menjalani hidup sebagai seorang muslim.

Sementara itu kata Jasmine, jika dulu Allahyarham ibunya sentiasa mengingatkan mereka untuk belajar bersungguh-sungguh dan jangan tinggal solat, tetapi kini ingatan itu tidak lekang dari mulut neneknya.



Katanya, dia bersyukur kerana neneknya yang dipanggil ‘nani’ sudi menjaganya.

“Nenek sangat menjaga soal agama kami dan bila saya dan Roselyn belajar mengaji di rumah, sesekali nenek akan duduk mendengar,” katanya.

Kasih seorang nenek Hindu menjaga dua cucu beragama Islam


Baca Artikel Menarik:



Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Keluarga Pelakon Ezzaty Abdullah Ada Dalam Kereta Api Terbakar Di Kelantan, Dukung Nenek Sekali

Lelaki cedera dibelasah kekasih gelap isteri

Wanita dihimpit lelaki tunjuk kemaluan ketika menunggang motosikal [VIDEO]

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker