Silap besar mansuh GST, pemimpin politik jangan perjudikan lagi nasib negara



Silap besar mansuh GST, pemimpin politik jangan perjudikan lagi nasib negara

Cadangan Menteri Kewangan untuk memperkenalkan semula Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) membuktikan pembatalan cukai itu sebelum ini adalah satu kesilapan besar dilakukan oleh Kerajaan Pakatan Harapan (PH) kepada ekonomi negara.

Ternyata keputusan pembatalan GST yang dimansuhkan pada tahun 2018 selepas diperkenalkan pada 2015 dilakukan semata-mata untuk pentingan politik dan bukannya untuk kebaikan negara.

Kesal dengan keadaan yang berlaku, pakar ekonomi, Tan Sri Ramon Navaratnam menyambut baik jika GST akan diperkenalkan semula, malah meminta pelaksanaan cukai itu disegerakan untuk memulihkan ekonomi Malaysia yang mengalami defisit pada masa sekarang.

Katanya, sistem percukaian GST yang dilaksanakan dan diterima baik oleh majoriti kerajaan dunia kerana ia adalah satu cukai terbaik kerana sistemnya paling telus dan ia merangkumi pemerolehan yang luas.




“Apabila suatu sistem cukai yang diiktiraf di kebanyakan dunia dan tidak diterima di Malaysia disebabkan politik, ia sangat menyedihkan pada ekonomi kita.

“Selepas GST ditarik balik, ternyata Malaysia kehilangan pendapatan yang besar dan menyebabkan negara perlu meminjam. Apabila sesebuah negara perlu meminjam untuk perbelanjaan dan operasi bermakna ekonomi negara tidak stabil.

“Bila ekonomi negara tidak stabil bermakna Malaysia berdepan dengan masalah besar – diburukkan pula dengan pandemik Covid-19 yang masih belum ada noktah dan musibah alam yang berulang-ulang serta lonjakan inflasi sekarang.

“Peningkatan inflasi ini pula menyebabkan perbelanjaan rakyat semakin terhad, sekali gus perbelanjaan tidak boleh lagi diharap untuk memacu ekonomi negara,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Beliau diminta mengulas cadangan Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz yang memberi bayangan berkemungkinan bakal memperkenalkan semula GST bagi membendung masalah ketirisan cukai.




Menteri Kewangan itu mengakui antara GST dengan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), secara teorinya hasil kutipan lebih kurang sama, tetapi GST lebih praktikal kerana lebih efisien kerana penipuan cukai sukar dilakukan.

Tengku Zafrul turut mendedahkan hasil kerajaan merosot sebanyak RM20 bilion apabila SST kembali diperkenalkan, walaupun harga barangan kesan pengenalan semula SST adalah sama dengan GST.

Keadaan ekonomi negara, jelas Ramon, dalam keadaan mencabar dan ia diterjemahkan di dalam Belanjawan 2022.

Enggan kerajaan melakukan kesilapan lagi, Ramon menggesa pelaksanaan GST dilakukan segera supaya pandemik Covid-19 yang semakin dapat dibendung di Malaysia boleh bergerak seiring dengan pemulihan ekonomi.

Jelasnya, kerajaan tidak boleh mengambil masa yang lama untuk memperkenalkan semula GST kerana ia tidak baik untuk ekonomi negara yang semakin lesu.




Melewat-lewatkannya akan memberi kesan negatif jika negara terpaksa meminjam dengan lebih banyak kerana ia akan menjejaskan kelayakan kredit, kos meminjam lebih tinggi dan jumlah hutang akan terus meningkat.

Semua ini tidak baik untuk kedudukan kewangan Malaysia.

Namun, nasihatnya, pendekatan sistem GST yang bakal dilaksanakan tidak mengejut peserta perniagaan dan rakyat.

Lantaran itu, beliau mencadangkan kerajaan menetapkan kadar GST sebanyak 3 peratus buat permulaan sebelum menaikkannya secara berhemah, selari dengan prestasi ekonomi negara.

Kepada golongan B40 dan M40 yang terjejas teruk kesan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan perlu diberikan kadar GST yang lebih rendah bagi barang-barang keperluan asas supaya poket mereka tidak terjejas sehingga memburukkan lagi kehidupan mereka.




“Apa pun kaedah pelaksanaan GST yang bakal diperkenalkan pastikan rakyat yang memerlukan bantuan kerajaan tidak derita,” tambahnya.

Ramon yang mula berkhidmat dengan kerajaan sejak zaman Tun Abdul Razak berharap apa yang berlaku dalam ekonomi negara sekarang menjadi pengajaran kepada pemimpin-pemimpin politik yang memerintah negara pada masa depan memandangkan Malaysia bakal berdepan dengan Pilihan Raya Ke-15.

“Tidak kira apa pun permainan politik yang cuba digunakan oleh orang-orang politik tapi jangan memperjudikan nasib negara dan rakyat. Jangan sesekali menyusahkan rakyat demi agenda politik kerana pada akhirnya golongan yang terbanyak terkesan adalah orang Melayu kerana mereka adalah majoriti kaum di negara ini.

“Kesukaran hidup orang Melayu bukan sahaja berlaku di luar bandar seperti tahun-tahun 1950-an dahulu tetapi sekarang banyak berlaku di bandar-bandar. Ini baru kita bercakap tentang ekonomi, belum lagi kesan dan akibat yang perlu ditanggung oleh rakyat akibat rasuah yang dilakukan oleh golongan yang memegang kuasa di mana-mana sahaja.

“Sebab itu, semua pihak yang berkepentingan perlu mengenepikan agenda politik dan meletakkan nasib negara dan rakyat di tempat teratas,” ujarnya. MG

Silap besar mansuh GST, pemimpin politik jangan perjudikan lagi nasib negara


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU</a


Netizen Tells Mahadi: “Next Time You Can Record Heliza Helping You With Your Undies”

Ini pendedahan sebenar Lee Jii Zia

PRN Johor: Muhyiddin takut tewas pada UMNO di Bukit Gambir



Leave a Reply

Your email address will not be published.