56 anggota, pegawai polis Negeri Sembilan dibuang kerja



56 anggota, pegawai polis Negeri Sembilan dibuang kerja

Seremban: Seramai 56 anggota dan pegawai polis di Negeri Sembilan telah dikenakan tindakan tatatertib dibuang kerja berikutan terbabit dengan pelbagai kesalahan jenayah dalam tempoh lima tahun sejak 2017, kata Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Mohamad Mat Yusop.

Beliau berkata daripada jumlah tersebut seramai 31 individu terbabit dalam jenayah termasuk berkaitan tatatertib, dadah, syariah dan rasuah manakala 25 individu dibuang kerja atas kesalahan melakukan kekerasan atau dengan sengaja mendatangkan kecederaan kepada orang lain.

Mohamad berkata pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pegawai dan anggota yang terlibat dengan jenayah atau bersekongkol dengan sindiket haram yang melanggar undang-undang yang mencemarkan imej pasukan.

“Statistik tersebut perlu diberi perhatian serius…lebih-lebih lagi kami adalah ‘role model’ kepada orang ramai. Saya mahu lihat lebih banyak interaksi positif antara polis bersama masyarakat diadakan.




“Jadi, saya berharap semua warga PDRM Kontinjen Negeri Sembilan menjalankan tugas dengan penuh amanah dan sentiasa bekerja dengan penuh berintegriti demi menjaga nama baik pasukan,” katanya hari ini.

Beliau berkata dalam meningkatkan persefahaman dan mengeratkan silaturahim antara polis serta masyarakat, pelbagai pendekatan perlu dilakukan termasuk kaedah interaksi secara bersemuka dengan orang awam di peringkat akar umbi.

Mohamad berkata pendekatan itu juga bukan sahaja dapat membetulkan segala maklumat salah, persepsi kurang tepat selain tuduhan melulu terhadap warga PDRM, malah dapat memberi peluang kepada masyarakat untuk mengenali peranan dan tugas anggota polis secara lebih dekat.

“Jika kita dapat lakukan ini, maka segala tuduhan yang tidak berasas terhadap pasukan, tentunya dapat dikurangkan. Bersama-samalah kita bertindak sebagai satu pasukan, bergerak dalam satu tenaga dengan matlamat membanteras jenayah dan keganasan tanpa mengira jabatan dalam PDRM,” tambahnya.

Dalam pada itu, beliau berkata terdapat sebanyak 281 kekosongan jawatan daripada semua bahagian di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan ketika ini melibatkan pelbagai jawatan termasuk Inspektor dan Sarjan untuk diisi oleh individu yang berkelayakan. HM




56 anggota, pegawai polis Negeri Sembilan dibuang kerja



Leave a Reply

Your email address will not be published.