Tidak salah Meramal Cuaca, Kerana Salah Ayat, Iman Tergugat?



Tidak salah Meramal Cuaca, Kerana Salah Ayat, Iman Tergugat?

“Bulan Oktober adalah tempoh peralihan monsun yang lazimnya akan menyebabkan negeri-negeri di pantai barat Semenanjung akan mengalami hujan yang lebat berserta ribut petir pada sebelah petang.

Pada Oktober ini, kebanyakan kawasan di Semenanjung dijangka akan menerima hujan pada paras yang normal antara 150 mm hingga 350 mm. Seterusnya, pada bulan November, monsun timur laut biasanya akan bermula dan mempengaruhi keadaan cuaca negara. Semasa tempoh monsun timur laut, negeri-negeri di pantai timur Semenanjung Malaysia akan mengalami keadaan cuaca yang lembap terutamanya Kelantan dan Terengganu.”.

Sekali imbas, tiada apa yang pelik dengan kenyataan tersebut bahkan masyarakat sememangnya maklum akan hal tersebut sekali gus dilihat sebagai langkah berjaga-jaga. Tapi, sedar atau tidak, kealpaan membuatkan kita terlupa akan satu hadis yang menyebut begini:

Telah menceritakan kepada kami ‘Abdullah bin Maslamah, daripada Maalik, daripada Shaalih bin Kaisaan, daripada ‘Ubaidullah bin ‘Abdullah bin ‘Utbah bin Mas’uud, daripada Zaid bin Khaalid Al-Juhhaniy, bahawasanya ia berkata;




“Rasulullah s.a.w. pernah mengimami kami solat Subuh di Hudaibiyah di atas bekas-bekas hujan yang turun pada malam harinya. Ketika selesai solat, Baginda s.a.w (berbalik) menghadap kepada makmum dan bersabda, “Apakah kalian mengetahui apa yang telah difirmankan oleh Rabb kalian?” Mereka menjawab: “Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui.”

Baginda bersabda, “(Allah berfirman:) Pada pagi hari (Subuh) hari ini ada di antara hamba-hamba-Ku yang beriman kepada-Ku dan ada pula yang kafir.

Barang siapa yang berkata: ‘Muthirnaa bi-fadllillaahi wa rahmatihi (hujan turun kepada kami kerana kurniaan Allah dan rahmat-Nya)’, maka dia adalah orang yang beriman kepada-Ku dan kafir kepada bintang-bintang.

“Dan barang siapa yang berkata, ‘(Hujan turun disebabkan oleh) bintang ini atau itu’, maka dia telah kafir kepada-Ku dan beriman kepada bintang-bintang.” (HR Bukhari)

Merujuk hadis di atas, Dr. Fadlan Othman, Pensyarah Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia menjelaskan, sebagai manusia biasa, ada kala kita tidak pernah terfikir tentang apa yang diucapkan sehingga akhirnya ucapan tersebut boleh menggugat status iman seseorang.




Tidak salah meramal cuaca namun perkataan yang diungkap haruslah tepat
Sememangnya apabila menjelang hujung tahun, beberapa negeri di Malaysia akan mengalami hujan yang lebih daripada kebiasaan. Namun di sebalik pengumuman mahupun kenyataan yang dibuat, ia berkait rapat dengan persoalan iman seseorang.

Contohi Nabi Ibrahim

Hadis di atas, jelas Dr. Fadlan, merujuk kepada perbuatan mengaitkan musim hujan dengan peredaran dan pertukaran bintang-bintang. Dan ia tidak ada bezanya apabila turut dikaitkan dengan peralihan monsun.

Justeru, dalam hal ini sarannya, sudah tiba masanya agensi-agensi yang terlibat mengkaji semula penggunaan ayat-ayat yang digunakan bagi memastikan kita tidak tergolong sebagaimana yang diungkapkan dalam hadis tersebut.

“Bila hujan turun, ia berlaku atas kehendak Allah s.w.t. Mengaitkan asbab turunnya hujan kerana berlaku peralihan atau peredaran sesuatu perkara, maka samalah maksudnya dengan mengatakan bahawa hujan turun kerana bintang atau perkara-perkara tertentu dan bukannya kerana Allah yang menurunkannya.




“Sekalipun bagi kita yang telah terbiasa dengan hal ini menganggap ia bukan perkara yang perlu dibesarkan, tapi sudah tiba masanya untuk mendapatkan pandangan orang agama dalam apa jua keadaan.

Apakah mungkin di setiap agensi perlu menyediakan jawatankuasa syariah sebagaimana langkah yang diambil oleh perbankan Islam?” Soalnya.

Kita mungkin boleh mengambil iktibar bagaimana Nabi Ibrahim a.s menggunakan baris-baris ayatnya saat berbicara tentang hak Allah. Daripada lima kenyataan Baginda, hanya satu kenyataannya menggunakan perkataan aku sekalipun tahu sakit itu juga pemberian Allah s.w.t.

Hal ini dapat dilihat dalam surah as-Syuara: 78 – 82,

“Tuhan yang menciptakan daku (daripada tiada kepada ada), maka Dialah yang memimpin dan memberi petunjuk kepadaku; Dan Tuhan yang Dialah jua memberiku makan dan memberi minum, Dan apabila aku sakit, maka Dialah yang menyembuhkan penyakitku; Dan (Dialah) yang mematikan daku, kemudian Ia menghidupkan daku; Dan (Dialah) yang aku harap-harapkan supaya mengampunkan dosaku pada hari kiamat.”




Tegasnya, begitulah kita dalam hal menyatakan perihal tentang turunnya hujan. Sekalipun kita tahu, hujan itu berlaku dengan asbab datangnya monsun, namun dalam masa yang sama, tidak boleh menafikan, bahawa Allahlah yang lebih berhak ke atas hujan.

Inilah adab-adab yang perlu kita tahu walaupun pada anggapan manusia, ia hanya perkara kecil. Wallahu a’lam Utv

Tidak salah Meramal Cuaca, Kerana Salah Ayat, Iman Tergugat?


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU</a


Model Jelita Pandu Kereta Suami Pemain Bolasepak, Meninggal Dunia Akibat Langgar Lori [VIDEO]

Intan Najuwa buat pengakuan baru pertama kali lakukannya

Amy punca kemelut Search?



Leave a Reply

Your email address will not be published.