Parti Bangsa Malaysia tiada akar umbi, hanya pemecah undi

KUALA LUMPUR: Parti Bangsa Malaysia (PBM) pimpinan Ahli Parlimen Julau, Larry Sng Wei Shien yang baharu ditubuhkan bakal berdepan situasi mencabar pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU) sebelum sempat parti itu menyinar dalam arena politik negara.

Lebih dibimbangi PBM mungkin hilang deposit di semua kawasan Parlimen ditandingi kerana tidak mampu menewaskan parti-parti politik sedia ada terutama Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH).

Bercakap kepada Utusan Malaysia, penganalisis politik Universiti Malaya (UM), Prof. Madya Dr. Awang Azman Awang Pawi berkata, PBM hanya memecah belah undi, sekali gus memberi kelebihan dan keuntungan kepada parti politik sedia ada.



“Walaupun dengan wujudnya parti baharu baik untuk meraikan demokrasi, mereka hanya memecahkan undi kerana PBM tiada kedudukan dan struktur yang kukuh.

“Di bawah pimpinan Larry juga, semua maklum beliau pernah menyertai PKR dan kemudian beralih arah. Dengan rekod sedemikian, kemampuan beliau masih belum terbukti setakat ini.

“Sama ada PBM mampu bertahan terutama pada pilihan raya, ia perlu diserahkan pada kebijaksanaan pengundi untuk menilai sejauh mana PBM mempertahankan isu-isu yang rakyat mahukan dan sejauh mana untuk meyakinkan pengundi bahawa mereka lebih relevan berbanding yang lain,” katanya ketika dihubungi semalam.

Kelmarin, Larry diumumkan menyandang jawatan Presiden selepas Mesyuarat Khas Persidangan Agung parti itu. Negara sebelum ini digemparkan dengan kehadiran parti baharu, PBM, selepas kepingan gambar menunjukkan parti itu telah didaftarkan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).



PBM mempunyai dua ahli Parlimen termasuk Larry dan Steven Choong Shiau Yoon (Tebrau) serta lima ADUN iaitu Haniza Mohamed Talha (Lembah Jaya); Daroyah Alwi (Sementa); A. Sivasubramaniam (Buntong); Paul Yong Choo Kiong (Tronoh) dan Leong Cheok Keng (Malim Nawar).

Sementara itu, penganalisis politik Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Dick Lembang berkata, perjuangan sebenar PBM dilihat kabur memandangkan Larry mempunyai trek rekod melompat antara parti sekali gus mencetuskan skeptikal dalam kalangan rakyat.

Katanya, hasrat PBM menyertai Barisan Nasional (BN) tidak akan tercapai kerana pemimpin-pemimpin gabungan itu tidak akan menerimanya selain sudah kukuh tanpa penyertaan parti lain.

“Larry sangat terkenal di Sarawak dan bertukar-tukar parti politik. Jadi ini yang membuatkan rakyat berfikir apa sebenarnya mahu diperjuangkan beliau. Tetapi, saya tidak yakin parti ini akan terus maju dan mara dalam politik negara,” katanya. – UTUSAN ONLINE



Parti Bangsa Malaysia tiada akar umbi, hanya pemecah undi


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU,NET


Suspek sah ditahan, mengaku terima arahan Mossad



Bongkah Batu Tiba-Tiba Runtuh Timpa Bot Pelancong Sebabkan 7 Terbunuh [VIDEO]



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker