Bersangka baik ujian Allah

Bersangka baik ujian Allah

Oleh Nor Asree Mohd Noh

Banjir bukanlah suatu perkara yang luar biasa pada diri seseorang. Ia boleh jadi pernah dialami seseorang atau dilihat berlaku pada orang lain. Apabila seseorang menelusuri sejarah, pastinya kisah banjir di zaman Nabi Nuh AS dilihat sebagai satu peristiwa besar bagi dirinya.



Bagi yang mengatakan diri sebagai Mukmin, dia mesti beriman dengan kisah ini tatkala Allah menurunkan azab buat kaum Nabi Nuh AS yang enggan menyembah Allah SWT bahkan jika ditanya sebahagian golongan yang beragama Kristian juga mempercayai hal ini. Cumanya, banjir yang dipercayai mereka agak berbeza daripada apa yang diimani oleh Muslim.

Ia sebagaimana disebut oleh Allah SWT dalam al-Quran alam surah Hud ayat 40 hingga 49, di mana Allah Maha Agung telah menceritakan pada Rasulullah SAW menerusi wahyu-Nya tentang peristiwa penting yang wajib diimani oleh umat Islam.

Dalam firman tersebut, Allah memerintahkan bumi untuk mengeluarkan air yang kemudian menjadi taufan dan banjir besar. Allah turut memerintah Nabi-Nya, Nuh AS untuk memasukkan ahli keluarga (yang beriman) dan binatang dalam berpasangan ke dalam bahtera untuk menghadapi banjir besar tersebut.

Nabi mulia itu menyeru anaknya yang tidak mahu beriman supaya naik bersamanya supaya tidak tenggelam, tetapi anaknya tetap enggan lalu akhirnya lemas. Golongan yang tidak beriman di zaman anbia terdahulu akan diazab terus oleh Allah SWT dek kerana kemungkaran dan dosa yang mereka lakukan.



Timbul persoalan dalam konteks banjir di negara Malaysia yang berlaku baru-baru ini. Adakah ia merupakan azab yang didatangkan oleh Allah SWT akibat maksiat atau dosa manusia? Pada hemat penulis, masyarakat perlu berhati-hati dalam mengungkapkan sesuatu dalam isu seperti ini.

Hal ini kerana di zaman sekarang seseorang tidak dapat pastikan mengenai kebenaran tersebut, adakah ia benar-benar azab yang diturunkan oleh Allah SWT sebagaimana yang terjadi pada umat terdahulu ataupun tidak. Kisah seperti banjir di zaman Nabi Nuh AS atau azab yang dikenakan pada kaum anbia lain terdahulu pastinya kita tidak menolaknya disebabkan wahyu sendiri menerangkan berkenaan dengannya, akan tetapi bagaimana jika musibah yang lain yang berlaku di selepas ketiadaan lagi wahyu?

Musibah banjir ini boleh jadi ia sebagai salah tanda Tuhan ingin meninggikan darjat seseorang. Mungkin darjat ini akan diberikan pada golongan mangsa yang mengalaminya sendiri atau juga pada golongan datang membantu mangsa. Penulis secara peribadi mengingatkan sesama saudara Muslim untuk bersangka baik dengan Allah SWT dan melihat bencana banjir yang berlaku ganas ini sebagai peluang meningkatkan lagi keimanan dan ketakwaan kepada-Nya serta rapatkan kembali kepada saf penyatuan umat yang kian jauh.

Allah Maha Tinggi berfirman: “Dan sungguh akan Kami berikan ujian kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar. (Iaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan: ‘Inna lillahi wa inna ilaihi raji’un’.” (Al-Baqarah: 155-156)



Sheikh al-Sa’di dalam tafsirnya menjelaskan ayat ini bahawa Allah Jalla wa ‘Ala pasti menguji hambanya dengan mihan atau bencana supaya terzahir dalam kalangan orang yang diuji tersebut mereka yang benar beriman dan sabar; yang juga merupakan sunahtullah buat hamba-Nya. Menurut Imam al-Baghawi menafsirkan naqshin minal amwal, dengan tafsiran kerugian dan kerosakan. Manakala, Sheikh al-Sa’di mengatakan kekurangan ini termasuk harta yang tenggelam.

Ini dapat dikaitkan dengan konteks semasa. Banjir baru-baru ini menyebabkan banyak kerugian dan kerosakan yang ditanggung oleh mangsa. Ada segelintir yang mengalami kemusnahan barangan di dalam rumah, tempat mencari rezeki, kenderaan dan sebagainya. Lebih sadis bahawa ada yang kehilangan tempat tinggal akibat dihanyutkan air dan tinggal sehelai sepinggang. Dalam ayat yang sama, Allah lanjutkan dengan perkatan wal anfus,iaitu kehilangan jiwa atau mati. Imam Ibnu Kathir berpendapat bahawa kematian ini melibatkan orang terdekat seperti kerabat, rakan dan orang yang dicintai.

Tempoh hari, ada juga diberitakan ahli keluarga yang hilang dibawa arus deras atau lemas. Di hujung ayat ini, Allah mengakhiri dengan pemberitahuan tentang berita gembira bagi orang yang bersabar. Sebahagian ulama tafsir menjelaskan apabila seseorang itu mampu bersabar dengan ujian yang menimpanya, akan dikurniakan pahala atau ganjaran yang tinggi oleh Sang Pencipta. Sebaliknya, menurut Ibnu Kathir bahawa apabila seseorang berputus asa dengan ujian-Nya, maka layak baginya hukuman.

Mudahan musibah ini yang dapat mengajar manusia banyak perkara, antaranya mengenai keyakinan seseorang terhadap qada’ qadar Tuhan. Ia seperti mana yang disebut oleh Imam al-Tabari ketika menghuraikan ayat 156 surah al-Baqarah, dalam riwayat Abu Ja’far di mana setelah sahaja hamba tersebut diuji, mereka akan mengatakan bahawa diri mereka milik Tuhan mereka dan Dia (Allah) yang kami sembah sewaktu kami hidup dan kami merupakan hamba-Nya yang akan kembali kepada-Nya selepas kematian kami, iaitu tanda penyerahan diri terhadap qada’-Nya dan reda terhadap hukum-Nya.



Selain itu, ia dapat memberi peluang orang lain yang tidak terkena bencana ini untuk berbanyak muhasabah diri dengan menambah rasa syukur kepada ilahi kerana masih dikekalkan pelbagai nikmat. Nikmat ini pula harus dikongsikan kepada mangsa yang sekurangnya mampu meringankan beban mereka sama ada berbentuk wang ringgit, pakaian, tempat tinggal, tenaga atau lain-lain. Diharapkan juga orang ramai tidak membuat ulasan atau kenyataan negatif terhadap tragedi berlaku ini dengan yang boleh menambahkan lagi kesukaran jiwa dan raga mangsa dengan menyandarkan perkara yang tidak pasti seolah ia azab daripada Allah SWT. HM

Penulis Pensyarah Jabatan Bahasa Arab, Pusat Asasi dan Pengajian Umum, Kolej Universiti Islam Melaka (Kuim)

Bersangka baik ujian Allah


Baca Artikel Menarik :



Layari Laman Facebook MYKMU</a


Azad tanya KJ, beli peranti digital dekat Shopee ke?

Rita Rudaini pertahan KJ mengenai dos keempat



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker