Tubuh pasukan khas siasat dakwaan Gomez

SHAH ALAM – Satu pasukan khas perlu ditubuhkan secepat mungkin oleh Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) serta Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) untuk menyiasat tuduhan kononnya Ketua Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, memiliki berjuta unit saham dalam sebuah syarikat.

Pada masa sama, mana-mana individu yang mempunyai maklumat juga digalakkan membuat aduan bertulis atau laporan rasmi kepada SPRM bagi membolehkan pihak berkuasa menyiasat kesahihan semua alegasi dibuat terhadap orang nombor satu dalam SPRM berkenaan.

Peguam kanan, Haniff Khatri Abdulla berkata, SPRM perlu bertindak lebih berani dan di luar kebiasaan dengan menjalankan siasatan rapi terhadap dakwaan atau alegasi membabitkan ‘Big Bos’ mereka sendiri.

Haniff Khatri berkata, biarpun kes itu membabitkan pengurusan tertinggi, namun ia tidak bermakna SPRM tidak boleh menyiasat kes membabitkan Ketua Pesuruhjayanya sendiri.

Ini kerana, kata Haniff Khatri, kedaulatan undang-undang tidak boleh menghalang pegawai bawahan sesebuah organisasi menyiasat ketuanya sendiri misalnya SPRM terhadap Ketua Pesurujayanya atau anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) ke atas Ketua Polis Negara.

“Bagaimanapun, pasukan khas berkenaan mestilah ditubuhkan dengan adil dan saksama. Di situlah peranan Lembaga Penasihat serta PPPR adalah penting bagi menubuhkan satu pasukan khas yang bebas daripada campur tangan mana-mana pihak.

“Jika SPRM tidak yakin dengan kebolehan dan ketelusan siasatan maka mereka boleh minta bantuan penyiasatan dengan pihak polis atau agensi lain kerana ada caranya untuk kita selesaikan kemelut alegasi terhadap Ketua Pesuruhjaya ini.

“Mereka tidak boleh berdiam diri dan perlu mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai perkembangan siasatan berkenaan selewat-lewatnya pada atau sebelum 31 Disember ini,” katanya kepada Sinar Premium pada Selasa.

Mengulas lanjut, Hanif Khatri berkata, sebarang usaha untuk mendiam diri sama ada oleh pihak LPPR, PPPR, SPRM mahu pun Azam sendiri untuk tempoh hampir dua bulan ini adalah satu perkara serius, tidak boleh dipandang rendah dan adalah kurang sihat dari segi kedaulatan undang-undang terutama membabitkan SPRM.

Bagaimanapun, Haniff Khatri berkata, orang awam tidak boleh membuat sebarang andaian bahawa segala dakwaan itu betul sehingga siasatan terperinci dijalankan.

 

Orang ramai tidak boleh membuat andaian terhadap pelbagai tuduhan ke atas mana-mana pegawai SPRM selagi tiada keputusan di mahkamah.
Orang ramai tidak boleh membuat andaian terhadap pelbagai tuduhan ke atas mana-mana pegawai SPRM selagi tiada keputusan di mahkamah.

 

PEGAWAI BERPENGALAMAN

Ditanya sama ada Azam wajar ‘berehat’ sementara menunggu siasatan kes berkenaan selesai, ini jawapan Haniff Khatri: “Azam Baki perlu menyatakan sekiranya dakwaan dan aduan itu tidak munasabah maka beliau perlu mengeluarkan kenyataan media untuk membersihkan nama dan imejnya selaku Ketua Pesuruhjaya SPRM.

“Bagaimanapun, jika SPRM atau polis atau mana-mana agensi memulakan siasatan maka Azam Baki wajar mengambil cuti atau berehat daripada jawatannya sehingga penyiasatan berkenaan selesai,” katanya.

Haniff Khatri berkata demikian mengulas mengenai peletakan jawatan seorang Ahli PPPR, Profesor Dr Edmund Terence Gomez kerana dikatakan tidak berpuas hati dan kecewa dengan keengganan panel berkenaan mengadakan perbincangan secepat mungkin bagi membincangkan dakwaan dibangkitkan terhadap pegawai tinggi SPRM.

Haniff Khatri berkata sejujurnya, beliau berpendapat bahawa isu berkaitan dakwaan serius ini perlu dan wajar diselesaikan melalui langkah-langkah perlu di bawah prinsip kedaulatan undang-undang.

Sementara itu, Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, kenyataan dikeluarkan oleh Gomez itu adalah satu dakwaan serius perlu dijawab segera oleh SPRM.

Bagaimanapun, Jais berkata, MCW berpendapat Gomez juga perlu bekerjasama secara berkumpulan dalam PPPR untuk menyelesaikan perkara ini dan bukannya membuka isu itu di khalayak awam.

“Tan Sri Azam Baki sebagai seorang pegawai kanan SPRM yang amat berpengalaman pastinya tidak akan meletakkan diri beliau dalam keadaan mempunyai kepentingan yang bercanggah dengan tugasan hakiki beliau.

“Persoalan sama ada kekecewaan yang dizahirkan Prof Terence Gomez kerana tiada tindakan atau mesyuarat di peringkat PPPR adalah pra-matang dan merupakan urusan pentadbiran dalaman mereka. Hakikatnya masih banyak lagi saluran yang lebih sesuai daripada mencalarkan imej agensi yang diwakilinya,” katanya.

Tubuh pasukan khas siasat dakwaan Gomez


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Kamal tak kisah Uqasha peluk Michael Ang ke?

Nabil sebak mangsa banjir ketuk cermin kereta kelaparan

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker