30,000 meter padu air di Taman Sri Muda sudah dipam keluar

PUTRAJAYA – Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) setakat ini sudah mengepam keluar 30,000 meter padu air Taman Sri Muda, Shah Alam ke Sungai Klang.

Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) menerusi kenyataan akhbar hari ini berkata, proses itu mula dilakukan sejak awal pagi tadi menggunakan empat unit pam.

Menurutnya, dua unit pintu air berhampiran juga telah dibuka memandangkan paras air Sungai Klang mulai surut.



“Sehingga petang ini, sebahagian kawasan di taman tersebut mulai surut secara berperingkat dan dijangka akan pulih dalam tempoh 72 jam.

“JPS juga sedang menunggu 11 unit pam tambahan daripada JPS Kelantan, Perlis dan Bahagian Perkhidmatan Mekanikal dan Elektrikal (BPME) Ipoh, Perak yang akan digunakan di lokasi-lokasi banjir genang di sekitar Selangor,” katanya.

Dalam pada itu, KASA memaklumkan, pihaknya sentiasa mengemaskini maklumat berkaitan situasi terkini aras air sungai dan ramalan keadaan cuaca dari semasa ke semasa.

Katanya, beberapa stesen aras air di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor mulai turun tetapi masih berada di paras amaran dan waspada.



“Di Pahang, aras air beberapa kawasan di Temerloh dan Bera menunjukkan trend menaik dan berada di paras bahaya.

“Manakala, di Kelantan pula, kebanyakan stesen berada di paras waspada dengan Sungai Golok di Jajahan Pasir Mas masih berada di paras bahaya,” katanya.

Katanya, bagi Terengganu, Johor, Perak, Melaka dan Sarawak pula, keadaan masih lagi terkawal dengan kebanyakan stesen berada di paras waspada dan amaran.

Maklumat terkini aras air boleh dilayari menerusi portal MyPublic Infobanjir di https://publicinfobanjir.water.gov.my/. – K! ONLINE.



30,000 meter padu air di Taman Sri Muda sudah dipam keluar


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Muak menunggu NADMA, ATM turun bantu mangsa banjir



Lokasi nahas pesawat MH370 di Kemboja?



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker