Abang Jo atasi rekod Adenan Satem

PILIHAN Raya Negeri Sarawak (PRN) ke-12 yang dinanti-nantikan menutup tirai dengan beberapa ‘lembaran’ bersejarah. Beberapa parti utama tidak bertanding di Sarawak.

Barisan Nasional (BN) yang bertapak di Bumi Kenyalang sejak pembentukan Malaysia juga tidak masuk gelanggang. Sebaliknya, bekas komponen BN, yang membentuk ikatan baharu selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) di bawah nama Gabungan Parti Sarawak (GPS), muncul sebagai barisan yang memenangi kerusi terbanyak.

Dalam kemunculan sulung, GPS menawan 76 kerusi. PSB empat manakala DAP dua. PSB, parti bercorak pelbagai kaum, muncul sebagai pembangkang terbesar menggantikan DAP.

GPS dipimpin Tan Sri Abang Johari Tun Openg mencipta sejarah selaku ketuanya dan Ketua Menteri semasa yang memperoleh kerusi terbanyak. Beliau mematahkan rekod Allahyarham Tan Sri Adenan Satem dalam PRN 2016, yang ketika itu beliau mengatasi pencapaian Tun Abdul Taib Mahmud, yang bersara pada 2014.

Susulan rekod GPS, Abang Johari yang mesra dikenali ‘Abang Jo’ dalam ucapan menyambut kemenangan besarnya berkata, pencapaian kali ini menunjukkan rakyat memilih parti berasaskan negeri. “Nah, rakyat kata Sarawak lebih elok dijaga oleh orang Sarawak,” kata beliau.

Sementara pelbagai faktor diketengahkan dalam menilai prestasi GPS, yang dari awal sudah diketuai bahawa gabungan ini akan kembali memerintah Sarawak dengan Abang Jo akan kekal sebagai Ketua Menteri.

Cuma di peringkat awal analisis lebih tumpu kepada sama ada GPS akan mengekalkan rekod PRN 2016, iaitu 72 kerusi atau sebaliknya. Ramai tidak menjangkakan Abang Jo boleh mengatasi rekod Adenan. Abang Jo sudah ‘capai rekod besar dan tetapkan kasut sendiri’.

Di sebalik tanggapan sedemikian Abang Jo secara diam-diam telah mengatur strategi dengan kemas termasuk merealisasikan beberapa sasaran yang ditinggalkan Adenan, pemimpin disegani yang meninggal dunia secara mengejut pada 2017.

Ini termasuklah perjanjian berkaitan petroleum. Begitu juga Perjanjian 1963 (MA63), yang membawa kepada pindaan Perlembagaan Persekutuan awal minggu lepas, beberapa hari sebelum hari pengundian biasa. Tindakan mengetengahkan slogan ‘Sarawak First’ juga dilihat menjadi.

SIAPA PILIHAN GPS

Abang Jo mempunyai ‘kad kuasa’ dalam menentukan parti yang bakal bertapak di Putrajaya dalam PRU15.

Maka, persoalan utama susulan PRN Sarawak adalah gabungan mana yang GPS akan merestui, dengan spekulasi menghala kepada kemungkinan PRU15 awal tahun depan.

Dengan kedudukan yang kukuh selepas mencapai keputusan terbaik di bawah kepimpinan GPS buat julung kali, Abang Jo mempunyai asas tersendiri untuk menentukan pihak yang gabungan itu akan sokong. Siapa yang akan mendapat sokongan GPS? Sama ada kawan lama mereka, BN atau rakan baharu Perikatan Nasional (PN).

Di antara BN dan PN pula Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berada di tengah-tengah sebagai Perdana Menteri.

Kedua-dua BN dan PN telah memperlihatkan ‘kematangan’ politik apabila dari awal lagi telah memutuskan tidak turun gelanggang. Kecuali komponen PN, Pas memutuskan untuk terus mencuba nasib, bertanding satu kerusi tetapi gagal dalam saingan.

Sejurus darurat ditarik balik dan membuka ruang kepada PRN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mantan Perdana Menteri dan Presiden Bersatu, merupakan pemimpin pertama mendarat di Kuching dan disambut sendiri oleh Abang Jo di lapangan terbang.

Kemudian beliau dikunjungi Timbalan Presiden BN, Datuk Seri Mohamad Hassan, yang memberi jaminan “BN tidak akan menyertai PRN Sarawak, sebaliknya memberi sokongan kepada GPS.” Sarawak, seperti Sabah, masih kekal dengan status ‘bank kerusi’, amat penting bagi pihak yang mahu menguasai mandat Putrajaya.

* Dr G Manimaran ialah penulis buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Menang & Tadbir

 


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Muak menunggu NADMA, ATM turun bantu mangsa banjir

Lokasi nahas pesawat MH370 di Kemboja?

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker