‘Bola PRU15’ terletak di kaki Ismail Sabri

SHAH ALAM – Persoalan keperluan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan lebih cepat atau lambat biarlah ditentukan melalui perbincangan di antara Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan pucuk kepimpinan UMNO atas semangat menguntungkan parti.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, proses perbincangan itu juga perlu berasaskan semangat mendahulukan kepentingan parti dan tidak sekadar menjaga kepentingan mana-mana kelompok tertentu dari dalam dan luar UMNO.

Jelas beliau, pada saat ini, bola terletak di kaki Ismail Sabri untuk menentukan sama ada ‘gawang’ PRU15 perlu diterjah segera atau dilaksanakan kemudian kerana beliau dan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi perlu mempertimbangkannya terlebih dahulu dari segenap sudut.

“Sekiranya parti buat desakan adakan PRU15 segera, tetapi Perdana Menteri tidak mahu bubar (Parlimen), tetap tidak boleh bubar. Begitu juga sekiranya UMNO tidak pernah desak, tetapi Ismail Sabri berpandangan sudah sampai masa PRU diadakan untuk memberi kemenangan kepada parti, beliau boleh bubarkan Parlimen.



“Namun, paling penting adalah Perdana Menteri dan Presiden UMNO mesti duduk bersama untuk memikirkan kaedah terbaik memenangkan parti dengan persefahaman dicapai haruslah menguntungkan UMNO.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi perlu duduk bersama dalam membincangkan tarikh pelaksanaan PRU15 dengan keputusan dibuat perlu menguntungkan parti.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi perlu duduk bersama dalam membincangkan tarikh pelaksanaan PRU15 dengan keputusan dibuat perlu menguntungkan parti.

 

“Kena ingat, kalau Perdana Menteri dan Presiden UMNO karam ekoran silap perhitungan, maka akan karam seluruh isi kapal UMNO. Sebab itu, sebarang keputusan dibuat jangan ada unsur-unsur sampingan seperti cubaan menjaga kepentingan mana-mana kelompok tertentu dari dalam atau luar UMNO sendiri,” katanya kepada Sinar Premium pada Ahad.

Beliau berkata demikian bagi mengulas desas-desus terdapat gerakan di peringkat akar umbi UMNO yang cuba mengusulkan cadangan pelaksanaan PRU15 lebih awal pada tahun hadapan dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021.



Bermula 11 Disember, UMNO bakal mengadakan mesyuarat perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO bahagian yang berlangsung selama dua hari sebelum disusuli mesyuarat perwakilan UMNO bahagian pada 18 Disember ini.

Perhimpunan Agung UMNO 2021 pula dijadual diadakan selama tiga hari bermula 13 Januari tahun hadapan.

PAU 2021 dijangka menjadi tumpuan rakyat susulan beberapa isu panas seperti hala tuju hubungan UMNO dan Pas melalui Muafakat Nasional (MN) akan dibincangkan selain tuntutan pelaksanaan PRU15 lebih awal susulan UMNO dan Barisan Nasional (BN) menang besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka baru-baru ini.

Bagaimanapun, Ismail Sabri sewaktu merasmikan secara serentak mesyuarat Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO Bahagian Bera pada Sabtu menegaskan beliau tidak akan tergesa-gesa untuk membubarkan Parlimen kerana masih terdapat banyak ‘urusan yang belum selesai’.



Mengulas lanjut, Ahmad Jazlan turut bersetuju dengan pandangan kemenangan besar UMNO dan BN pada PRN Melaka tidak boleh semata-mata dijadikan indikator tunggal bagi menuntut PRU15 dipercepatkan pelaksanaannya.

Ahmad Jazlan Yaakub
Ahmad Jazlan Yaakub

Tambah Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan itu, hal ini kerana landskap politik negara pada saat ini menunjukkan tiada satu parti yang memiliki penguasaan mutlak untuk mentadbir keseluruhan negeri di Malaysia.

“Sebagai contoh, BN masih menang di beberapa negeri pada PRU14 meskipun kalah di peringkat Pusat.

“Kita juga kena ingat bagaimana kemenangan luar jangkaan BN pada pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar gagal diterjemahkan semula dalam PRU14. PRK dan PRN bukan indikator kemenangan PRU15, lebih-lebih lagi kita akan berhadapan lebih 5 juta pengundi baharu berusia 18 tahun ke atas yang tidak terlibat sewaktu PRN Melaka,” katanya.



Bagaimanapun, Ahmad Jazlan juga mengakui, kewujudan dua kerajaan selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) pasca PRU14 adalah kerajaan yang tidak dipilih melalui proses demokrasi dan terbentuk secara ‘ad hoc’.

Justeru, beliau menegaskan kerajaan sedia ada perlu menyerahkan semula mandat pilihan raya kepada rakyat walaupun bukan atas niat untuk mempercepatkan pelaksanaannya.

Pada masa sama, Ahli Parlimen Machang itu turut percaya Perdana Menteri akan lebih bijaksana untuk memilih memenangkan UMNO daripada menjaga kepentingan parti-parti lain yang menyokong kerajaan diterajui beliau.

“Dengan UMNO hampir pasti tidak lagi bersama parti-parti lain menyokong kerajaan pada PRU15, saya yakin Perdana Menteri lebih mementingkan sokongan daripada parti sendiri berbanding sokongan mereka.



“Walaupun parti-parti lain dalam kerajaan menyokong beliau ketika ini, saya percaya tahap kepercayaan mereka terhadap satu sama lain sangat tipis.

“Ibarat orang bercerai rumahtangga, si isteri masih tidak keluar rumah kerana tempoh edah belum tamat. Mana mungkin parti-parti dalam kerajaan mempercayai antara satu sama lain kerana medan pertempuran PRU15 sudah menjelang tiba,” katanya lagi.

‘Bola PRU15’ terletak di kaki Ismail Sabri


Baca Artikel Menarik:



Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Pemilihan Umno boleh buat Nov tahun depan – Tok Mat

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker