Omicron ancam seluruh dunia
JANGKITAN varian Covid-19 baharu B.1.1.529 yang dikenali sebagai Omicron kini muncul sebagai virus paling menakutkan kerana ia lebih mudah menular berbanding varian Delta.
Biarpun sehingga hari ini belum dipastikan sejauh mana ganasnya virus itu, tetapi rakyat di seluruh dunia mengambil langkah berwaspada dengan melakukan langkah-langkah pencegahan lebih ketat berbanding sebelumnya.
Menurut Lidah Pengarang SinChew Daily, Malaysia tidak terkecuali mengenakan penguatkuasaan lebih rapi bagi mengelak jangkitan Omicron menular ke negara kita.
Kerajaan misalnya telah meningkatkan intervensi kesihatan awam seperti pemakaian pelitup muka, penjarakan sosial, menambah baik pengaliran udara di samping mengajak rakyat mengambil dos penggalak vaksin.
Setakat ini, rakyat Malaysia tidak dibenarkan melawat tujuh negara iaitu Afrika Selatan, Botswana, Eswatini, Lesotho, Mozambique, Namibia dan Zimbabwe berikutan penemuan varian baharu itu.
“Larangan ini merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan meningkatkan langkah kawalan dan menjaga sempadan negara.
“Selain itu kerajaan telah mengambil keputusan untuk menangguh perancangan membuka Laluan Perjalanan Lengkap Vaksinasi (VTL) dengan negara yang dikenal pasti melaporkan penularan Omicron. Penggunaan sistem autogate Jabatan Imigresen Malaysia di pintu masuk antarabangsa dihentikan sementara berkuat kuasa serta-merta,” jelas akhbar itu.
Penerbangan yang membawa penumpang dari negara melaporkan penularan Omicron atau negara berisiko tinggi pula hanya dibenarkan masuk ke Malaysia melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sahaja.
Menurut akhbar itu, demi mengelakkan situasi menjadi lebih teruk, semua negara perlulah meningkatkan pengawasan penularan varian tersebut dengan segera bagi mendapatkan gambaran yang lebih jelas mengenai kepantasannya merebak.
“Begitu juga dengan lokasi yang dijangkiti. Sekiranya semua pihak tahu kawasan penularan yang sebenar, ia sudah tentu lebih mudah melakukan pencegahan dan mampu menyekat penularan virus dengan lebih berkesan,” ujar SinChew Daily lagi.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) turut memberi amaran bahawa varian Omicron berisiko sangat tinggi di seluruh dunia sambil menggesa program vaksinasi dipercepatkan terutama di negara yang mempunyai penduduk terdedah dan masih belum menerima sebarang vaksin.
WHO sebelum ini mengambil masa kira-kira dua bulan sebelum mengisytiharkan Delta sebagai virus yang membimbangkan berbanding Omicron hanya dalam tempoh 72 jam selepas ia dikenal pasti.
Salah satu syarikat pengeluar vaksin terkemuka di dunia iaitu Pfizer juga tidak ketinggalan mula mengusahakan versi vaksin Covid-19 yang khusus menyasarkan varian Omicron sekiranya vaksin semasa tidak berkesan terhadap varian terbaharu itu.
Syarikat tersebut telah mula menguji vaksin semasa terhadap varian Omicron yang pertama kali dilaporkan di Afrika Selatan dan mencetuskan semula kebimbangan terhadap gelombang global jangkitan Covid-19.
“Lain-lain syarikat pengeluar vaksin seperti Johnson & Johnson dan Moderna juga berlumba-lumba menghasilkan vaksin varian khusus bagi Omicron dan akan memajukannya mengikut keperluan.
“Syarikat-syarikat ini memaklumkan sedang berusaha membangunkan suntikan penggalak terhadap varian baharu itu kerana bimbang kemungkinan vaksin yang sedia ada tidak mampu menahan kekuatan yang dibawa oleh Omicron,” tambah akhbar Cina itu lagi.
Memandangkan peringatan yang diberikan WHO dan syarikat-syarikat pengeluar vaksin, kata akhbar itu, jelas sekali Omicron cukup bahaya dan kemungkinan boleh meragut lebih ramai nyawa dalam tempoh beberapa bulan akan datang sekiranya tiada pencegahan dan kawalan ketat dilakukan.
* Ong Boon Teck ialah Timbalan Pengarang Berita Sinar Harian
Omicron ancam seluruh dunia
Baca Artikel Menarik:
- Sharifah Shahira kena kecam kerana Mail JDT
- Emma Maembong masih berkawan dengan bekas kekasih
- Permohonan Najib masukkan bukti baharu didengar 7 Disember
- Jangkitan semula akibat Omicron 3 kali ganda – Penyelidik
- Fatia artis global TikTok pertama dari Malaysia
- Siang bawa mayat, malam angkut sampah
- Penternak ayam ‘selesa’, peniaga yang tersepit
- Muafakat Nasional, 191 bahagian UMNO akan putuskan
- Pemandu lori tikam bapa selepas terdengar bisikan
- Datuk Paiman akhirnya ke penjara 13 tahun
- Orang ramai sah perlu divaksin setiap tahun-CEO Pfizer
Layari Laman Facebook MYKMU.NET
You must be logged in to post a comment.