Derita kanak-kanak tulang belakang bengkok [ VIDEO ]

Rantau Panjang: Usianya sudah lapan tahun, namun Nur Syaza Az Zahra Syukri yang disahkan menghidap penyakit spina bifida atau tulang belakang bengkok sejak lahir hanya mampu mengengsot untuk bergerak.

Ibunya, Siti Fauziah Zakaria, 40, berkata, Nur Syaza Az Zahra yang juga anak bongsu daripada empat beradik adalah kanak-kanak ceria selain petah berkata-kata, namun di sebalik keceriaan wajahnya itu, tidak ramai mengetahui derita ditanggungnya.

Siti Fauziah berkata, penyakit spinal bifida dihidapi anaknya ialah kecacatan tiub neural yang menyebabkan jurang di tulang belakang sehingga mengganggu perkembangan saraf tunjang.

“Disebabkan keadaan itu, Nur Syaza Az Zahra tidak dihantar ke sekolah seperti kanak-kanak lain dan dia hanya belajar di Tabika Kemas kerana kesukarannya untuk bergerak berikutan kecacatan fizikal dialami.

“Pada masa sama, Nur Syaza Az Zahra perlu memakai lampin pakai buang kerana tidak dapat merasai apa-apa sentuhan dari paras pinggang ke bawah.

“Lebih menyedihkan lagi, ketika berusia setahun, anak saya disahkan menghidap penyakit jantung berlubang selain masalah buah pinggang serta kerap diserang sawan dan pada Jun lalu, dikesan pula menghidap penyakit kencing manis,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Gual Sitok, di sini.

Siti Fauziah berkata, ketika kandungannya berusia lima bulan, doktor mengesan bayi dikandungnya itu mempunyai kecacatan pada kaki dan mengesahkan ia sebagai spina bifida.

“Pada mulanya agak sukar untuk saya dan suami, Syukri Che Lateh, 51, menerima hakikat itu, namun lama-kelamaan kami akur dengan takdir dan menganggap ada hikmah di sebalik ujian ini.

“Akibat penyakit itu, Nur Syaza Az Zahra yang dilahirkan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII), Kota Bharu terpaksa dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian ketika berusia dua hari dan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) selama tiga bulan sebelum dibenarkan pulang.

“Akibat penyakit itu, anak saya menjalani tiga pembedahan ketika usianya tiga hari sehingga tiga bulan di HUSM, namun keadaannya tidak berubah,” katanya.

Siti Fauziah berkata, pada setiap bulan dia perlu memperuntukkan RM200 untuk membeli lampin pakai buang Nur Syaza Az Zahra dan mujurlah anaknya itu memperoleh bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan.

 

SITI Fauziah (kiri) bersama Nur Syaza Az Zahra Syukri (kanan) yang menghidap penyakit spina bifida atau tulang belakang bengkok sejak lahir. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
SITI Fauziah (kiri) bersama Nur Syaza Az Zahra Syukri (kanan) yang menghidap penyakit spina bifida atau tulang belakang bengkok sejak lahir. FOTO Hazira Ahmad Zaidi

 

Katanya, dia bekerja sebagai tukang masak di Tabika Kemas dengan pendapatan RM500 sebulan, manakala suami bekerja pemandu van dengan gaji RM1,000 sebulan.

“Kami perlu menanggung dua lagi anak masih bersekolah iaitu Nur Syamila, 11, dan Nur Syifa Batrisya, 12, yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Gual Sitok, Rantau Panjang.

“Bagi mengetahui perkembangan kesihatan Nur Syaza Az Zahra, dia perlu mendapatkan rawatan susulan dan pemeriksaan di HUSM setiap tiga bulan sekali.

“Nur Syaza Az Zahra adalah anugerah terindah buat kami sekeluarga dan tidak pernah membezakan kasih sayang antara dia dan adik beradiknya,” katanya.-HM

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker