Lelaki pukul isteri hingga mati terlepas hukuman gantung

Lelaki pukul isteri hingga mati terlepas hukuman gantung

Seorang lelaki yang sebelum ini dihukum mati kerana memukul isterinya bertubi-tubi sehingga meninggal dunia, terselamat daripada tali gantung selepas Mahkamah Persekutuan menggantikan hukuman itu dengan penjara 25 tahun.

Panel tiga hakim yang diketuai Presiden Mahkamah Rayuan, Rohana Yusuf membuat keputusan itu selepas pendakwaan memaklumkan Jabatan Peguam Negara (AGC) menerima representasi dikemukakan Jamaluddin Ali, 47, menurut laporan Bernama.



Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Fairuz Johari memaklumkan pihaknya bersetuju mengurangkan pertuduhan daripada kesalahan membunuh mengikut Sesyen 302 Kanun Keseksaan kepada menyebabkan kematian tanpa niat bunuh, mengikut Sesyen 304(a) kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara 30 tahun dan denda.

Pada 20 Jan 2017, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan Jamaluddin dihukum mati selepas didapati bersalah membunuh Nurhidayah A Ghani, 29.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Kampung Petaling Bahagia, Batu 5 1/2 Jalan Puchong antara 15 hingga 17 Mei 2013. Hukuman itu seterusnya dikekalkan Mahkamah Rayuan pada 26 Mei 2020.

Terdahulu, Rohana yang bersidang bersama Hakim Mahkamah Persekutuan, Mohd Zawawi Salleh dan Abdul Rahman Sebli berkata, setelah mengambil kira hujahan dan fakta kes, panel itu memutuskan hukuman penjara 25 tahun setimpal. Tertuduh turut diarahkan menjalani hukuman mulai tarikh dia ditangkap pada 20 Mei 2013.



Zawawi pula berkata, perkahwinan adalah ikatan suci, setia dan penuh kasih sayang, tetapi apabila pasangan mengkhianati, maka timbul perasaan marah.

“Tetapi, setiap perselisihan ada penyelesaian, iaitu dengan mendekati saluran betul seperti mahkamah,” katanya.

Sebelum itu, peguam Athari Bahardin berhujah anak guamnya bertindak sedemikian kerana mangsa mempunyai hubungan dengan lelaki lain dan kerap meluangkan masa untuk berparti.

“Ketika perbicaraan kes ini, mahkamah diberitahu perayu telah membawa mangsa ke hospital setelah melihat wanita itu berada dalam keadaan tenat. Menurut keterangan saksi, perayu juga menangis apabila mengetahui isterinya telah meninggal dunia.



“Perayu mempunyai empat anak berusia 10 dan 18 tahun yang kini di bawah jagaan ibu perayu,” kata peguam itu sambil menambah ini adalah kesalahan pertama anak guamnya.

Fairuz pula memohon hukuman penjara 25 tahun dikenakan terhadap perayu kerana kejadian itu menyebabkan satu nyawa melayang.

“Sejak berlaku konflik rumah tangga, mangsa telah memfailkan fasakh di Mahkamah Syariah dan beberapa laporan polis dibuat mangsa berkaitan penderaan yang dilakukan perayu. Kes keganasan rumah tangga bukan perkara asing di negara ini dan satu mesej perlu disampaikan kepada masyarakat,” katanya.
FMT

Lelaki pukul isteri hingga mati terlepas hukuman gantung




Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU

Sebaik-baik perjanjian adalah pembentukan Muafakat Nasional – Nik Abduh

Sotong kayangan nasi kandaq, 2 ekor RM100



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker