PRN Melaka: BN dijangka menang, vote swing kepada mereka – Ilham Centre

SHAH ALAM – Peralihan undi (vote swing) mungkin berlaku kepada kerusi-kerusi di mana Barisan Nasional (BN) tewas tipis pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang lalu.

Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar berkata, sebelum ini peralihan undi berlaku berikutan undi protes terhadap BN namun untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, parti itu mungkin akan mendapat kembali sokongan rakyat.

“Kalau kita tengok peralihan undi berdasarkan dapatan awal Ilham Centre, pengundi yang dahulunya mengundi Pakatan Harapan (PH) atas alasan kekecewaan, sekarang akan kembali menyokong BN.

“Pada masa sama, kita juga tidak dapat mengukur kekuatan Perikatan Nasional (PN) yang mampu mencuri undi Melayu daripada BN. Di sini ketara kekuatan BN masih lagi kukuh dalam PRN Melaka kali ini,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Beliau berkata demikian bagi mengulas jangkaan berlakunya peralihan undi di 10 hingga 12 kerusi utama yang akan menjadi penentu PRN Melaka.

Tambah Hisommudin, pihaknya turut menjangkakan BN boleh mengekalkan 13 kerusi yang dimenanginya pada PRU14 antaranya Tanjung Bidara, Sungai Udang, Kuala Linggi, Ayer Limau, Sungai Rambai, Serkam, Taboh Naning, Lendu, Rim, Asahan, Ayer Molek, Pantai Kundor dan Merlimau.

Muhyiddin dan Bersatu akan terima padah di Melaka

Malah katanya, BN turut berpotensi untuk menambah empat lagi kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Klebang, Durian Tunggal, Telok Mas dan Rembia dengan beberapa syarat antaranya peratusan keluar mengundi rendah dan PN gagal memecahkan undi Melayu.

Bagaimanapun, beliau berkata, peperangan kerusi tersebut tidaklah besar yang mana peralihan undi itu mampu mempengaruhi keputusan kalah menang.

“Bagi saya, ia berada pada skala kecil tetapi signifikan. Ia sangat bergantung kepada demografi asal pengundi berkenaan. Sebagai contoh, ada 13 DUN yang memang demografi majoriti Melayu iaitu 70 peratus.

“Jadi di 13 DUN ini, melihat kepada peratusan keluar mengundi yang rendah dalam kalangan bukan Melayu dan juga pecahan undi yang berlaku pada segmen Melayu antara BN dan PN, ia sebenarnya memberikan kelebihan kepada BN untuk kekal menang.

“Bagi DUN yang bercampur pula, ia mempunyai 51 peratus hingga 69 peratus di 10 DUN yang dahulunya dimenangi PH antaranya Gadek, Durian Tunggal dan Klebang. Ini bermakna kawasan bercampur ini sebenarnya amat bergantung kepada peratusan keluar mengundi bukan Melayu,” kata Hisommudin.

Beliau berkata, sekiranya peratusan keluar mengundi bukan Melayu tinggi, maka sebahagian kerusi yang dahulunya dimenangi PH mungkin boleh dikekalkan.

“Tetapi kalau peratusan keluar mengundi bukan Melayu rendah, ia akan mengatasi hayunan pengundi Melayu. Jadi, pengundi Melayu akan menjadi penentu di kawasan 10 DUN yang saya maksudkan tadi.

“Bagi DUN majoriti Cina pula iaitu Macap Jaya, Ayer Keroh, Kesidang, Kota Laksamana dan Bandar Hilir, bagi saya memang akan berpotensi untuk PH mengekalkan kerusi mereka di situ,” katanya.

PRN Melaka: BN dijangka menang, vote swing kepada mereka – Ilham Centre


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


PRN Melaka: Tempoh getir 48 jam

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker