4 Fitnah Disebut Dalam Surah al-Kahfi Telah Berlaku Sekarang
4 Fitnah Disebut Dalam Surah al-Kahfi Telah Berlaku Sekarang. Berhati-Hatilah Dengan Pemuda Ini.
Seperti yang sedia maklum, Dajal muncul apabila hampirnya hari kiamat. Tetapi manusia tidak tahu bilakah akan berlakunya kiamat. Dan boleh jadi ada di kalangan manusia yang tidak sempat untuk bertemu dengan Dajal. Jadi, apa relevannya surah al-Kahfi kepada umat manusia sekarang?
Menjawab persoalan tersebut, Sanusi Azmi, Pensyarah Fakulti Pengajian al-Quran & as-Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mengatakan, lazimnya dalam Ulum Quran, iktibar adalah pengajaran umum daripada lafaz sesuatu ayat dan bukan dengan sebab yang khusus ayat itu diturunkan.
Contohnya kisah Rasulullah yang mengharamkan untuk diri Baginda memakan madu di rumah salah seorang isterinya. Lalu Allah menegur Nabi Muhammad s.a.w. menerusi surah at-Tahrim: 1,
“Wahai Nabi! Mengapa engkau haramkan (dengan bersumpah menyekat dirimu daripada menikmati apa yang dihalalkan oleh Allah bagimu, (kerana) engkau hendak mencari keredhaan isteri-isterimu? (Dalam pada itu, Allah ampunkan kesilapanmu itu) dan Allah sememangnya Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”
Maksudnya, Allah sendiri tidak mengharamkan makanan tersebut, lalu Rasulullah tidak perlu mengharamkan makanan yang halal Allah berikan kepada manusia.
Jadi, kisah itu khusus untuk Nabi tetapi pengajarannya harus diambil oleh manusia yang selepas itu.
Samalah juga dengan surah al-Kahfi. Walaupun ianya ditujukan kepada manusia yang bakal berhadapan dengan Dajal tetapi manusia harus juga berhati-hati dengan fitnah Dajal yang berada pada masa kini
Empat jenis fitnah yang diceritakan dalam surah al-Kahfi itu boleh dilihat telah berlaku pada masa sekarang. Seperti fitnah ilmu. Apabila manusia itu berilmu, ia akan mengangkat kedudukan manusia ke tahap yang tertentu. Ini bermakna dengan ilmu yang dimiliki seseorang sepatutnya membawa ketaatan kepada Allah. Bahkan ilmu itu boleh membawa perubahan kepada masyarakat.
Namun pada masa yang sama, dengan ilmu juga boleh membawa manusia kepada kesombongan. Mereka lupa Allah yang mengurniakan kefaqihan kepada mereka. Malah yang lebih teruk mereka jadi tinggi diri dengan ilmu yang ada.
Situasi ini boleh dilihat pada zaman kini apabila, para ilmuwan mahupun ulama bertikam lidah semata mahu menegakkan hujah masing- masing. Perdebatan dalam keilmuan dibolehkan untuk mencari penyelesaian tetapi bukan kerana mahu menegakkan hujah sendiri.
Seseorang ilmuwan kalau berdiam diri dalam perdebatan keilmuan pun tidak menjejaskan reputasi. Dan, ilmu mereka tidak hilang walau sedikit. Malah masyarakat masih boleh menghormati.
Contohnya, ulama terdahulu seperti Abu Daud Zahiri. Walaupun dia mempunyai mazhab tetapi tidak boleh diterima orang sepertimana mazhab-mazhab yang lain. Hal ini berikutan sifat Abu Daud Zahiri yang keras dan kasar dalam memberikan pandangan. Jadinya masyarakat sukar untuk menerima hujahnya walaupun benar.
Kemudian fitnah kuasa. Seperti kisah pada zaman Rasulullah, seorang sahabat bernama Abu Dzar meminta untuk jadi pemimpin tetapi Rasulullah tidak benarkan. Ini bukan kerana sahabat tidak layak tetapi Rasulullah bimbang sekiranya Abu Dzar bongkak dengan kuasa yang ada.
Sama juga dengan kisah Khalid al-Walid yang dilantik menjadi ketua. Tetapi di medan perang Umar terpaksa menurunkan Khalid dan menggantikan dengan Abu Ubaidah Al-Jarrah disebabkan takut dengan fitnah kuasa yang dipegang oleh Khalid.
Umar tidak mahu sahabat yang lain meletakkan pengharapan kemenangan di medan perang kerana adanya Khalid. Sedangkan kemenangan di medan perang bergantung kepada Allah.
Pada zaman sekarang pula pemimpin mengaut keuntungan atas kesusahan rakyat. Sepatutnya pemimpin berperanan membantu rakyatnya. Seperti Khalifah Umar Abdul Aziz yang sanggup berjalan pada waktu malam untuk mencari orang susah.
Fitnah harta seperti di dalam surah al-Kahfi menceritakan tentang kisah antara dua orang pemuda yang dikurniakan harta tetapi salah seorangnya sombong dan bongkak dengan nikmat Allah. Ini semua merupakan fitnah-fitnah Dajal yang perlu kita sebagai orang Islam mengambil pendekatan berhati-hati.
Mudah kata, walaupun secara zahirnya Dajal belum memunculkan diri dan ada manusia yang tidak bertemu secara langsung dengan Dajal namun ayat al-Quran yang menyatakan tentang keburukan Dajal adalah satu bentuk amaran dari Allah kepada kita supaya berhati-hati dengan keburukan Dajal. Kalaulah Dajal tidak bertemu pun manusia sudah terpedaya, inikan pula jika ia benar-benar muncul.
‘Tangan’ Allah Lagi Ajaib Dari Dajal
Menceritakan tentang sebuah keajaiban. Sanusi berpendapat, manusia tidak perlu rasa terlalu kagum dengan keajaiban yang mampu dilakukan oleh Dajal kerana Allah sudah menunjukkan keajaibannya lebih daripada itu.
“Tentang keajaiban ini, ulama telah senaraikan beberapa kategori. Pertamanya irhas, yang bermaksud tanda-tanda sebelum kenabian. Contoh yang boleh dilihat adalah peristiwa awal kelahiran Nabi Muhammad s.a.w. selain itu juga peristiwa nabi dibelah dadanya pada usia 5 tahun.
Selain itu mukjizat, merupakan anugerah yang Allah berikan kepada nabi untuk membuktikan kekuasaannya. Seperti Nabi Musa yang dikurniakan tongkat sakti sehingga boleh mengalahkan tukang sihir paling hebat pada zaman itu.
Seterusnya karamah, merupakan anugerah yang Allah berikan kepada orang biasa. Karamah ini tidak semestinya berlaku dalam keadaan ajaib seperti yang difikirkan oleh manusia biasa.
Kadangkala orang menilai karamah ini benda yang ajaib sahaja. Tapi sebenarnya karamah ini perkara yang boleh berlaku sehingga tak terjangkau dek akal.
“Dan manusia selalu fikir keajaiban itu berlaku apabila seseorang itu mampu berjalan atas air dan pelbagai lagi tapi sebenarnya pengertian itu lebih luas,” ulasnya.
Sanusi memberi contoh, Imam Tabari yang mampu mengarang tafsir sehingga 30 jilid dan kitab tarikh (sejarah) sehingga berpuluh jilid. Hatta para sahabatnya pernah meminta Imam Tabari meringkaskan karyanya kerana mereka merasakan tidak mampu untuk membaca kerana tidak ada masa.
Walhal, setelah diringkaskan para sahabatnya masih tidak mampu untuk membacanya. Hendak kata, ajaibnya masa yang Imam Tabari ada sehingga mampu melakukan semua itu.
“Perkara ini kalau kita nilai sesuatu yang ajaib. Memang ajaib! Bayangkan, kita semua diberi masa selama 24 jam tapi tidak boleh hendak menghasilkan walaupun sebuah karya. Apatah lagi sebanyak Imam Tabari,” ujarnya.
Mengambil contoh lain, Hasan Al-Banna. Ketika berdakwah di serata negara Islam, dia boleh berada di banyak tempat dalam masa yang singkat. Sedangkan dia berkenderaan sama seperti manusia yang lain.
“Kalau difikirkan logik akal, masa manusia terbahagi sama, tapi mengapa ada manusia lain boleh lakukan lebih lagi daripada kita? Seolah-olah mereka ada 25 jam sehari. Allah mungkin mengurniakan manusia ini masa yang panjang, memendekkan perjalanannya ke sesuatu tempat dan dimudahkan langkah mereka. Jadi boleh dikatakan sebagai sebuah keajaiban yang juga Allah kurniakan kepada Dajal,” jelasnya.
Tambah Sanusi, tiga perkara di atas adalah keajaiban yang membawa kepada kebaikan, namun ada dua jenis keajaiban yang memburukkan iaitu sihir dan istidraj.
Sihir ini merupakan satu kelebihan tapi membawa kepada keburukan kerana manusia boleh mensyirikkan Allah. Sihir ini membuatkan manusia meminta pertolongan makhluk selain daripada Allah.
Kemudian Istidraj adalah dikurniakan Allah dalam bentuk kekayaan dan nikmat. Tetapi segala kenikmatan itu membawanya jauh daripada Allah. Rasulullah s.a.w bersabda;
“Apabila kamu melihat Allah memberikan nikmat kepada hambaNya yang selalu membuat maksiat, ketahuilah orang itu telah menerima istidraj daripada Allah.” – (Riwayat Ahmad, at-Tabrani & Baihaqi).
Konklusinya, apa-apa sahaja keajaiban yang dibawa oleh manusia bukanlah tidak boleh dikagumi tetapi tidaklah sampai mensyirikkan Allah. Dan manusia tidak perlu untuk merasa pelik dengan keajaiban yang dibawa oleh Dajal kerana Allah telah menjadikan pelbagai kejadian pelik dan ajaib sejak dahulu lagi dengan kekuasaan Allah. Wallahu a’lam Utv
4 Fitnah Disebut Dalam Surah al-Kahfi Telah Berlaku Sekarang
Baca Artikel Menarik :
- Muhyiddin masih jaja cerita dongeng – Najib
- PRN Melaka: Hentam Umno fokus kempen Muhyiddin
- ‘Sotong Kayangan’ muncul dahulu sebelum Siakap
- Maya Karin dibayar RM2 ribu untuk filem Hollywood
- Jangan sampai kita hempas makanan – Rider
- Suami Nynaa Harizal failkan permohonan supaya isteri kembali taat
- Muhyiddin dan Hadi ‘hentam’ Barisan Nasional
- Kakaktua bongkar suami curang dengan pembantu rumah
- ‘Letupan’ enjin sebuah pesawat Malaysia Airlines 50 penumpang ‘cedera’
- Amaran Allah dalam 10 Ayat Pertama Surah al-Kahfi
- Dah Masuk 5 Series, Nasha Aziz masih ‘bergetah’
Layari Laman Facebook MYKMU
You must be logged in to post a comment.