Anak lemas jatuh kolam pancing, bapa menangis menyesal tidak terhingga

Seorang bapa menangis apabila anak perempuan yang berusia dua tahun mati lemas selepas terjatuh ke dalam sebuah kolam memancing di sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 5.15 petang itu, mangsa, Nur Rania Faizah Mohd. Rafi dipercayai tergelincir ke dalam kolam itu sewaktu bermain dengan abang sulungnya, Muhammad Alim Solihin, 5.

Bapanya, Mohd. Rafi Ibrahim, 39, berkata, sewaktu kejadian, dia sedang memancing ikan di kolam terbabit, manakala isterinya, Fatinhanani Ali, 31, pula sedang menyusukan bayi lelakinya, Muhammad Irfan yang berusia dua bulan.



“Sebelum kejadian, Rania bermain-main dengan abangnya (Muhammad Alim) berhampiran lokasi saya memancing.

“Kira-kira lima minit kemudian, saya panik apabila perasan Alim hanya bermain bersendirian tanpa Rania,” katanya ketika ditemui di pekarangan Unit Forensik Hospital Dungun di sini hari ini.

Mohd. Rafi berkata, dia terus mencari anak perempuannya di kawasan sekitar kolam meman­cing ikan terbabit sebelum me­minta bantuan penjaga kolam.

Lelaki yang berasal Kampung Landas, Ajil berkata, penjaga kolam itu kemudiannya perasan tubuh Rania yang berpakaian baju berwarna merah berada di dalam sebuah kolam lain.



“Penjaga kolam ikan itu kemudiannya terjun untuk menyelamatkan Rania lalu membawanya ke daratan.

“Saya terus memberikan Rania yang longlai dan tidak sedarkan diri bantuan penafasan sebelum bergegas membawanya ke Klinik Kesihatan Bukit Besi di sini,” katanya.

Mohd. Rafi berkata, anak pe­rempuannya kemudian dirujuk ke Hospital Dungun bagi rawatan lanjut sebelum disahkan me­ninggal dunia pada, pukul 8 malam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Pemangku Superintendan Maizura Abdul Kadir yang dihubungi mengesahkan kejadian.



Beliau menasihatkan ibu bapa supaya tidak leka dan sentiasa mengawasi pergerakan anak-anak mereka bagi mengelak kejadian tidak diingini.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker