Bukit Aman panggil Anwar berhubung klip audio tular


Anwar Ibrahim dipanggil Bukit Aman untuk memberi keterangan berhubung klip audio dikatakan antara beliau dan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi yang tular baru-baru ini.

Sumber berkata, ketua pembangkang itu diminta hadir pada 10 pagi ini dan akan ditemani peguamnya, Sankara N Nair.

“Kemungkinan besar ia berkaitan dakwaan perbualan antara dua pemimpin itu mengenai hal Umno yang dirakam dan ditularkan secara misteri,” kata sumber.

Sankara ketika dihubungi mengesahkan beliau akan menemani Anwar ke Bukit Aman, tetapi tidak dapat mengesahkan sama ada ia berkaitan klip audio tersebut.

Awal bulan ini, satu rakaman audio didakwa mirip suara Zahid dan Anwar tular di media sosial membincangkan perkara berkaitan Perhimpunan Agung Umno (PAU) pada akhir Mac lalu.

Bagaimanapun, Zahid dan Anwar menafikan dakwaan itu.

Zahid berkata, tiada sebarang perbualan antara beliau dengan Anwar selepas PAU tersebut.

Dalam kenyataannya, Zahid berkata, rakaman audio yang disebarkan itu adalah “usaha berterusan” untuk melemahkan dan menghancurkan Umno.

Anwar, dalam kenyataan berasingan, turut menafikan beliau adalah pemilik suara yang dirakam dalam perbualan telefon tersebut.

Pada 10 April lalu, Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador dilaporkan berkata, polis akan mengambil keterangan Zahid dan Anwar berhubung klip audio itu.

Kata beliau, kertas siasatan telah dibuka dan salinan audio itu dihantar ke makmal forensik untuk menentukan ketulenannya.

Susulan itu, Sankara mempersoalkan keputusan memulakan siasatan kerana mendakwa tiada asas perundangan untuk berbuat demikian.

Kata beliau, polis tiada kuasa untuk menyiasat kerana klip audio tular yang didakwa membabitkan dua pemimpin berkenaan bukan “kesalahan boleh ditangkap”.

“Ada satu, dan hanya satu, peruntukan bawah Seksyen 110 Kanun Prosedur Jenayah, yang memberi kuasa kepada ketua polis negara untuk menggunakan kuasanya memulakan siasatan jenayah.

“Dan ini berlaku selepas polis menerima laporan mendedahkan kesalahan boleh ditangkap,” kata beliau dalam kenyataan pada 11 April lalu. FMT

[AUDIO] PANAS! Tular Rakaman Mirip Menteri KDN Berkaitan Skandal Pertukaran Jawatan Dalam PDRM

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker