Bajet 2022: Bantu ekonomi bangkit semula

PETALING JAYA: Bajet 2022 yang dibentang kerajaan hari ini, dijangka menggariskan pelbagai inisiatif untuk membantu ekonomi negara bangkit semula selepas terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.

Selain itu, pelbagai insentif dijangka diberikan kepada rakyat pelbagai peringkat dan juga sektor-sektor ekonomi yang terjejas seperti perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan pelancongan yang masih dalam proses untuk pulih kembali sepenuhnya.

Pakar ekonomi menjangkakan Bajet 2022 adalah yang terbesar setakat ini dengan peruntukan melebihi RM350 bilion. Kerajaan memperuntukan sejumlah RM322.5 bilion dalam Bajet 2021.



Peruntukan besar itu bakal meningkatkan hutang kerajaan yang ketika ini dianggarkan berjumlah hampir RM900 bilion, bersamaan hampir 64 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Ia sekali gus meningkatkan lagi defisit kepada KDNK dianggarkan lebih 6 peratus.

Mengikut laporan, jumlah keseluruhan liabiliti dan hutang kerajaan dianggarkan berjumlah RM1.257 trilion atau 87.3 peratus daripada KDNK.

Dengan kadar pengangguran melebihi 748,000 setakat Ogos 2021, bajet yang akan dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz itu pastinya menjadi tumpuan rakyat, khususnya golongan muda yang mengharapkan lebih banyak peluang pekerjaan diwujudkan.

Ini kerana, penutupan kebanyakan sektor ekonomi selama hampir dua tahun akibat pandemik, menyebabkan ramai diberhentikan kerja. Ia sekali gus meningkatkan kadar pengangguran sekitar 4.6 peratus setakat Ogos lapor Jabatan Perangkaan.



Keadaan itu juga meningkatkan bilangan isi rumah miskin kepada lebih 600,000 tahun lalu, dengan kemiskinan mutlak turut meningkat kepada 8.4 peratus. Ia berlaku apabila pendapatan purata isi rumah merosot 10.3 peratus kesan pandemik 2020.

Penurunan pendapatan itu menyaksikan peralihan kumpulan isi rumah M40 kepada B40 dan T20 pula kepada M40.

Maka, peningkatan gaji minimum dan pengecuaian cukai pendapatan turut menjadi harapan rakyat di pelbagai peringkat untuk memberi mereka sedikit kelegaan pada tempoh mencabar ini.

Langkah itu dijangka membantu merancakkan semula ekonomi apabila rakyat kembali berbelanja.



Perbelanjaan rakyat pastinya akan membantu negara mencapai pertumbuhan ekonomi yang lebih baik tahun depan dengan pakar ekonomi menjangkakan KDNK tumbuh sekitar 5 peratus, berbanding antara 3 hingga 4 peratus tahun ini.

Pemulihan ekonomi juga dijana peningkatan perbelanjaan konsumer, harga minyak dan kelapa sawit dunia lebih tinggi yang ketika ini berlegar di paras lebih RM5,000 setan.

Selain itu, isu pemilikan rumah juga pastinya menjadi tumpuan berikutan masih ramai yang belum memiliki rumah pertama, terutama pasangan muda.

Insentif perumahan bukan sahaja akan melegakan rakyat, malah membantu industri untuk kembali pulih.- UTUSAN



Bajet 2022: Bantu ekonomi bangkit semula

 


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU</a




Rakyat berhak pecat wakil rakyat

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker