Polis tak puas hati mungkin dalang dakwaan pangkat boleh dibeli – JIPS

Polis tak puas hati mungkin dalang dakwaan pangkat boleh dibeli – JIPS

Tidak ada sebarang keterangan atau bukti menunjukkan wujud aktiviti membeli pangkat dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), kata Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS), Azri Ahmad.

Berkenaan dakwaan kegiatan itu, Azri berkata, JIPS berpendapat pihak yang tidak berpuas hati kerana gagal mendapat kenaikan pangkat atau jawatan mungkin bertanggungjawab menyebarkan tuduhan tersebut.



“Pun begitu JIPS akan menjalankan siasatan sekiranya ada aduan mengenai salah laku serta bukti yang jelas diterima mengenai dakwaan berkenaan,” katanya kepada Malaysiakini.

Buat masa ini tambah Azri siasatan JIPS tertumpu kepada pengadu yang membuat laporan polis ke atas seorang pegawai berpangkat deputi superintendan (DSP) baru-baru ini.

Azi ditanya mengenai kes seorang wanita yang mendakwa seorang DSP serta teman lelaki pegawai polis terbabit mengancam untuk membunuhnya selepas mereka terbabit dalam pertikaian mengenai wang bernilai RM100,000.

Dalam kejadian di Klang, Selangor itu, wang tersebut dikatakan dipinjamkan wanita terbabit kepada pegawai polis wanita berkenaan dalam usahanya membeli kenaikan pangkat menjadi superintendan polis.



“Tidak ada sebarang bukti daripada wanita (yang membuat aduan) atau subjek (DSP terbabit) yang menunjukkan berlaku kegiatan (membeli pangkat) berlaku,” katanya.

Anggap kes terpencil

Pada 25 Okt lalu Kosmo! yang memetik Presiden Persatuan Bekas Polis Malaysia Hussin Awang Ngah yang mendakwa kegiatan menawarkan habuan sebagai balasan mendapatkan kenaikan pangkat memang berlaku.

Dakwanya kebanyakan individu yang terlibat merupakan pegawai di jabatan siasatan jenayah dan jabatan siasatan jenayah narkotik.



Tambah Hussin mereka dipercayai merasuah anggota panel yang menjalankan temu bual calon kenaikan pangkat selain beberapa pihak lain dalam jabatan pengurusan PDRM.

Akhbar itu turut menemu bual bekas Ketua Polis Negara Musa Hassan yang mengesahkan amalan itu namun menganggapnya sebagai kes terpencil.

Bagaimanapun Musa tidak pasti sama ada kegiatan itu masih berlangsung atau sebaliknya.

Kata Azri bagi proses kenaikan pangkat dan jawatan dalam PDRM pasukan itu mengamalkan prosedur yang ketat dan calon yang layak selalu lebih tinggi berbanding kekosongan yang ada.



Menurutnya selain faktor kekananan seseorang pegawai, ada syarat lain yang mesti dipenuhi sebelum kenaikan pangkat diberikan.

Disebabkan itu kata Azri ada pihak yang gagal mendapat kenaikan pangkat berasa kecewa dan mula menyebarkan khabar angin mengenai amalan rasuah dan pilih kasih dalam pasukan keselamatan itu, terutama apabila ada pegawai yang muda terpilih.

“Daripada apa yang saya nampak, apabila ada sesetengah orang yang tak dapat apa yang dia mahu, dia akan mula bercakap.

“Misalnya untuk jawatan superintendan… apabila ada satu jawatan untuk itu, tetapi jumlah calon yang layak mungkin ada sehingga 10 orang atau 20 orang.



“Tidak semestinya DSP paling senior akan dapat. Ada kemungkinan jawatan itu tidak sesuai untuk dia.

“Kadang-kadang jawatan berkenaan perlu diisi oleh pegawai yang cergas dari segi fizikal, maka calon yang sesuai mengikut umur dan lebih muda yang akan dapat.

“Selain itu ada ada beberapa isu lain yang perlu diberi pertimbangan. Seseorang calon itu mesti benar-benar layak. Ada jawatan yang tak sesuai untuk pegawai dari jabatan lain,” katanya.

Mengulas kejadian di Klang itu Azri berkata itu adalah kali pertama dia berdepan dengan dakwaan sedemikian dalam laporan polis dan DSP terbabit pula menafikannya.



Untuk rekod siasatan mengenai kejadian itu masih dijalankan.

Sementara itu beberapa sumber termasuk pegawai PDRM serta pesara pasukan itu mendakwa, ada beberapa bentuk rasuah yang digunakan untuk mendapatkan kenaikan pangkat atau perpindahan.

Lulus semua kertas

Antaranya dakwa mereka ialah bayaran untuk pihak tertentu dalam pasukan keselamatan bagi mengatur perpindahan, manakala mereka yang menduduki peperiksaan dikatakan boleh mengubah suai keputusan ujian berkenaan.

“Perkara sebegini sudah lama berlaku tetapi tak ada bukti. Mereka ini tak bodoh, mereka tahu bagaimana untuk menutup jejak kegiatan tersebut.

“Ini tidak adil kepada orang lain yang menjalankan tugas mereka dengan dedikasi tetapi diketepikan,” dakwa seorang bekas pegawai.

Sumber itu mendakwa dia juga pernah ditawarkan laluan mudah untuk lulus peperiksaan undang-undang ketika masih berkhidmat dulu namun ditolaknya.

“Saya tidak berminat kerana saya boleh menjawab soalan-soalan tu.

“Saya kenal seseorang yang mengambil peperiksaan untuk melayakkan diri ke pangkat penolong superintendan (ASP)… Kami tahu dia gagal dua kertas, tetapi apabila keputusan keluar, dia lulus semua kertas tu,” tambahnya.

Satu lagi sumber yang merupakan pegawai berpangkat tinggi mendakwa rasuah juga berlaku dalam kalangan pihak yang ingin ditukarkan ke balai polis, jabatan atau bahagian tertentu.

“Ini mungkin menelan belanja beberapa ribu ringgit. Tetapi jumlah itu boleh dibayar secara berperingkat,” dakwanya. Mk

Polis tak puas hati mungkin dalang dakwaan pangkat boleh dibeli – JIPS


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU

Timbalan Menteri tersipu malu bila ditanya hendak bernikah ke?

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker