Pemimpin PKR P Pinang kecam DAP serang Norlela

Pemimpin PKR P Pinang kecam DAP serang Norlela

Seorang pemimpin akar umbi PKR mengecam Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow atas kegagalannya mempertahankan anggota Exco Norlela Ariffin daripada serangan beberapa pemimpin DAP atas cara beliau mengurus pandemik Covid-19 di negeri itu.

Pemimpin itu yang enggan dinamakan memberitahu FMT, serangan itu menyebabkan akar umbi PKR kecewa dengan DAP dan beliau terkejut Chow tidak mempertahankan Norlela daripada PKR yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan negeri.

“Norlela ialah Exco negeri, tetapi anda tak bersuara pun. Adakah anda membenarkan semua serangan ini ke atasnya?” soal pemimpin itu.

Pemimpin DAP, termasuk Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng membuat serangan terbuka terhadap Norlela atas dakwaan beliau menurut perintah pihak berkuasa persekutuan berkaitan vaksin.

Orang dalam PKR itu berkata, parti itu membincangkan serangan itu dalam satu mesyuarat baru-baru ini yang menyaksikan pemimpinnya kesal dengan dakwaan mengganggu gugat peranan Norlela sebagai Exco Kesihatan dengan pelantikan Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim sebagai penyelaras pengurusan Covid-19 antara Pulau Pinang dan Putrajaya, manakala Exco Kanan, Phee Boon Poh mengurus perkara berkaitan bencana kesihatan.

“Pelantikan dua individu itu menyebabkan ramai bertanya jika ia bertujuan merampas peranan Norlela. Jadi apakah peranan Exco Kesihatan?” soal orang dalam itu.

Baru-baru ini, Sim dan Phee dilaporkan akan memainkan peranan sokongan serta melengkapi tugas Norlela.

PKR Pulau Pinang mengeluarkan kenyataan menyokong Norlela dan orang dalam itu berkata, ini kerana Ketua Menteri dan individu lain dalam kerajaan “sekadar duduk dan lihat”.

Pemuda PKR Pulau Pinang turut mengeluarkan kenyataan yang menggesa ADUN Pulau Tikus, Chris Lee berhenti mengkritik Norlela, tetapi Pemuda DAP membalasnya dengan berkata, Lee bebas bercakap apa yang beliau mahukan.

Norlela mendakwa Lim, Phee dan Lee membuli serta mengganggu gugat tugasnya. Beliau bertanya apakah “keajaiban” yang mereka boleh lakukan untuk mengurangkan jumlah kes harian Covid-19.

Phee dan Lee menafikan mereka membulinya dengan berkata, usaha berpasukan diperlukan untuk memerangi kesan pandemik.

Seorang lagi orang dalaman PKR percaya Norlela menjadi kambing hitam dalam perang proksi antara personaliti dalam DAP serta PKR.

“Apabila anda menyerang seorang Exco negeri, anda secara langsung menyerang kerajaan negeri secara keseluruhan.”

Ketua PKR Pulau Pinang, Muhammad Bakhtiar Wan Chik bagaimanapun memberitahu FMT bahawa salah faham itu sudah diselesaikan kerana beliau menemui Chow baru-baru ini dan mereka bersetuju pengurusan Covid-19 di negeri itu adalah usaha berpasukan dan tiada pihak yang boleh menerima pujian untuknya.

“Yakinlah, kami lebih kuat daripada dahulu dan kami mengekalkan hubungan baik dengan DAP, khasnya Chow.” FMT

Pemimpin PKR P Pinang kecam DAP serang Norlela

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker