Daken 2021 dijadikan panduan pembangunan seni, budaya negara

Daken 2021 dijadikan panduan pembangunan seni, budaya negara

Dasar Kebudayaan Negara 2021 (Daken 2021) yang dilancarkan hari ini merupakan sebuah dokumen holistik yang bakal dijadikan panduan dan rujukan dalam merencana segenap pembangunan seni, budaya dan warisan negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, inisiatif tersebut seiring menjadikan sektor budaya sbagai pemangkin sosio-ekonomi Keluarga Malaysia.

Katanya, seluruh strategi dan pelan tindakannya memiliki tujuh teras budaya nilai tinggi, keharmonian masyarakat, pemeliharaan dan pemuliharaan warisan budaya, pembangunan dan pengembangan budaya, pemerkasaan budaya, penjanaan ekonomi kebudayaan serta kecemerlangan budaya.

“Pada setiap teras itu, tersulam pembangunan modal insan secara konsisten. Selain pendidikan seni, budaya dan warisan secara formal, dasar ini turut menerapkan pendidikan tidak formal sebagai usaha melahirkan para pelapis kepada penggiat seni, budaya dan warisan yang
sedia ada.

“Daken 2021 ini menggariskan hala tuju Malaysia menjadi Negara Maju Rakyat Berbudaya. Ia digubal berlandaskan lima prinsip yang terdapat dalam Keluarga Malaysia iaitu keterangkuman, kebersamaan, semangat kebanggaan, keterbukaan dan menyeluruh,” katanya hari ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Daken 2021 di Kompleks Kraf Kuala Lumpur hari ini.

Menurut Ismail Sabri, kerajaan berkeyakinan tinggi terhadap keupayaan Daken 2021 sebagai usaha menjulang dan memartabatkan seni, budaya dan warisan negara.

“Justeru, saya menyeru kepada seluruh Keluarga Malaysia agar mendukung dasar ini supaya aspek seni, budaya dan warisan negara terus terpelihara.

“Kerajaan menerusi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) juga akan terus mempelbagaikan ikhtiar demi meningkatkan daya saing, visibiliti dan imej seni, budaya serta warisan negara sebagai teras kepada pembangunan yang seimbang, ibarat kata pepatah Melayu sekati sama berat, diuji sama merah,” katanya.

Pada masa sama, Ismail Sabri berkata, kerajaan menetapkan sasaran perolehan sektor budaya pada aras RM1 bilion menjelang tahun 2025 kelak.

Menurut beliau, sektor budaya sejak dahulu memiliki potensi besar sebagai penjana ekonomi, misalnya pada 2019, sektor itu telah mencatatkan pendapatan RM585 juta berbanding RM542 juta pada 2017.

“Kini, angka itu menunjukkan pemulihan yang meyakinkan sejurus negara memasuki era endemik Covid-19. Ekoran itu, kerajaan menetapkan sasaran perolehan sektor ini pada aras RM1 bilion menjelang tahun 2025 kelak.

“Kerajaan yakin, sasaran tersebut akan dapat dicapai melalui pelbagai strategi pembangunan dan program yang tersusun,” katanya

Ismail Sabri berkata, antara program tersebut termasuklah Permata Genius dan Tunas Budaya yang cekal dalam mengakrabkan anak-anak Keluarga Malaysia kepada seni, budaya dan warisan.

“Strategi ini merangkumi pendidikan di peringkat prasekolah, rendah dan menengah. Seperti pepatah, jika hendak melentur buluh, biarlah dari rebungnya.

“Kini, kesemua institusi pengajian tinggi telah pun meletakkan aktiviti kokurikulum sebagai pra-syarat bagi melengkapkan pengukuran tahap kecemerlangan mahasiswa,” katanya. K Online

Daken 2021 dijadikan panduan pembangunan seni, budaya negara


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU

Kekayaan Elon Musk kini RM1 trilion

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker