Tak logik gaji tak naik tapi minta kawal kos sara hidup – ahli ekonomi

Tak logik gaji tak naik tapi minta kawal kos sara hidup – ahli ekonomi

Ahli ekonomi membidas kenyataan Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) yang menggesa Putrajaya mengawal kenaikan kos sara hidup berbanding langkah yang perlu diambil majikan untuk menaikkan gaji pekerja.

Ia selepas Presiden MEF Syed Hussain Syed Husman berkata, majikan tidak mampu untuk menyerap sebarang kenaikan kos upah dan mahu usaha dilakukan untuk mengawal kenaikan kos barangan dan perkhidmatan.

Geoffrey Williams dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (MUST) berkata, kenyataan itu agak “tidak bertimbangrasa” dan “secara ekonominya tidak masuk akal” apabila harga barangan dan perkhidmatan tidak menunjukkan peningkatan yang ketara.

Dengan Indeks Harga Pengguna (IHP) yang kekal pada paras 2.2% pada September, beliau berkata, harga barangan seperti pakaian dan kasut sebenarnya menunjukkan penurunan dan tidak ada tekanan dari segi harga di Malaysia.

“Masalah sebenar ialah gaji yang dibayar oleh ahli MEF dan majikan lain. Purata gaji turun 9% kepada RM2,933 pada 2020 berbanding 2019 dan separuh daripada mereka menerima pendapatan kurang daripada RM2,062, yang bersamaan dengan penurunan sebanyak 15.6%.

“Ini di bawah ambang paras kemiskinan isi rumah. Tahun ini juga, kita turut menjangkakan paras gaji lebih rendah,” katanya kepada FMT.

Williams berkata, pengurangan kos sara hidup memerlukan pengecutan dasar fiskal dan kewangan atau kawalan harga dan ia hanya akan mengurangkan hasil dan margin keuntungan ahli MEF.

“Ia juga akan meningkatkan perbelanjaan kerajaan untuk subsidi dan bermakna cukai yang lebih tinggi akan dikenakan ke atas ahli MEF pada masa hadapan. Jadi ia merugikan diri sendiri.”

Apa yang perlu diteliti kerajaan katanya, adalah gaji pekerja dan beliau percaya kebanyakan majikan mahu membayar gaji lebih tinggi kepada pekerja untuk mewujudkan hubungan positif dan produktif dengan mereka.

Beliau mencadangkan Putrajaya memperkenalkan skim “kredit pendapatan diperoleh” untuk firma yang mempunyai pekerja berpendapatan rendah, di mana majikan membayar gaji biasa tetapi pekerja di bawah ambang tertentu mendapat kredit daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan bukannya membayar cukai.

Williams dan Barjoyai Bardai dari Universiti Tun Abdul Razak berkata, gaji pekerja harus mencerminkan tahap produktiviti mereka di tempat kerja, dengan kerja bernilai lebih tinggi dan setara dengan gaji yang lebih baik.

Dalam aspek ini, Barjoyai berkata, kursus meningkatkan dan memberi kemahiran adalah kunci untuk melonjakkan produktiviti pekerja dan ia akan menjadikan mereka lebih bernilai dalam pasaran pekerjaan serta berpeluang mendapat gaji lebih baik.

Namun katanya, majikan di Malaysia juga perlu membenarkan pekerja mereka untuk mencari peluang pekerjaan dengan gaji lebih baik sambil menambah majikan di negara barat lebih bersikap bebas dalam aspek itu.

Barjoyai berkata, negara ini juga masih kekurangan pekerja pendawaian elektrik dan mereka yang mempunyai kemahiran itu boleh memberi perkhidmatan kepada dua hingga tiga syarikat dan menjana pendapatan tiga kali ganda.

“Manakala bagi profession tenaga pengajar pula, ada juga pensyarah yang turut mengajar di institusi lain dengan kebenaran universiti mereka atau menyediakan kelas tuisyen di luar waktu bekerja. Jadi kita harus mewujudkan peluang seperti ini kepada pekerja dan ia tidak harus dianggap sebagai kerja sampingan.” FMT

Tak logik gaji tak naik tapi minta kawal kos sara hidup – ahli ekonomi


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU

Kau ini apa pun tak faham, kata Najib pada Hanipa

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker