Sikap ahli politik terhadap bahasa Melayu mengecewakan

Sikap ahli politik terhadap bahasa Melayu mengecewakan

Sikap tidak peduli serta ‘mabuk’ bahasa Inggeris menyebabkan bahasa Melayu yang sudah sekian lama dimartabatkan sebagai bahasa kebangsaan gagal diletakkan di tempat sepatutnya.

Sehingga kini penggunaan bahasa Inggeris diutamakan malah bahasa rojak digunakan secara berleluasa dalam rancangan televisyen dan radio swasta. Malah lebih aneh, ia turut terjadi dalam program atau inisiatif oleh kementerian yang sepatutnya memelihara kedaulatan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.



Ketua Biro Pembangunan Ummah dan Komuniti Majlis Perundingan Melayu (MPM), Kamal Shukri Abdullah Sani, berkata penggunaan bahasa Inggeris dalam program dan inisiatif rasmi kementerian serta agensi kerajaan membuktikan bahasa Melayu masih lagi diremehkan di negara ini.

Beliau berkata, meskipun usaha memartabatkan bahasa Melayu perlu digalas semua pihak secara bersama tetapi ia tidak dapat dilaksanakan jika pemerintah serta ahli politik sendiri mengambil sikap lepas tangan.

Sebagai perbandingan katanya, Kerajaan Indonesia dilihat bersungguh menyebar luas penggunaan bahasa Indonesia termasuk di luar negara menyebabkan ia lebih terkenal di seluruh dunia berbanding bahasa Melayu.

Katanya, kedutaan republik itu giat mengadakan kelas kepada penduduk luar negara sebagai kaedah memperluaskan penggunaan bahasa Indonesia di luar negara.



“Kesan daripada itu, bahasa Indonesia lebih dikenali berbanding bahasa Melayu malah di Eropah, Kursi Pengajian Bahasa Indonesia masih terus dibuka sehingga kini.

“Di negara ini, dalam kalangan ahli politik sekalipun, yang mengambil berat hal memartabatkan bahasa Melayu ini adalah wajah yang sama sejak dahulu.

“Hanya dua tokoh, (Yang di-Pertua Dewan Negara), Tan Sri Dr Rais Yatim dan (Ketua Pembangkang), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dilihat prihatin tetapi ahli politik lain kebanyakannya mengambil sikap tidak ambil kisah,” katanya.

Tegas Kamal Shukri, jika bahasa Melayu dianggap penting, ahli politik tentu mengambil berat hal akan hal itu dan berusaha mencari perkataan serta istilah dalam bahasa Melayu. Namun apa yang jelas kelihatan adalah mereka tiada perasaan megah terhadap bahasa kebangsaan.



Terdahulu, Rais menegur Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Seri Dr Santhara Kumar, berhubung penggunaan istilah ‘homestay’ pada nama program kementerian itu semasa sesi lisan di Dewan Negara, baru-baru ini.

Kamal Shukri berkata, MPM, Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) dan Persatuan Linguistik Malaysia (PLM) baru-baru ini mengadakan pertemuan dengan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Harun bagi membincangkan mengenai penggunaan bahasa Melayu di dewan itu.

Antara yang dibangkitkan katanya ialah sikap sesetengah Ahli Parlimen yang bukan saja tidak meminta izin terlebih dahulu sebelum menggunakan bahasa Inggeris malah mengambil ringan penggunaan terma dan istilah dalam bahasa Melayu yang sudah sekian lama wujud.

“Kalau terma seperti kecerdasan buatan atau Artificial Intelligence (AI), wajarlah Ahli Parlimen meminta izin menyebutnya dalam bahasa Inggeris kerana istilah bahasa Melayu masih lagi baharu.



“Masalahnya, ada yang meminta izin menggunakan istilah bahasa Inggeris bagi perkataan yang sudah sekian lama mempunyai istilah mudah difahami dalam bahasa Melayu.

“Hal ini tidak sepatutnya berlaku kerana bahasa kebangsaan wajib digunakan dalam acara rasmi termasuk ketika sidang parlimen,” katanya.

Sementara itu, Felo Utama, Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong, berkata tindakan sesetengah kementerian dan jabatan kerajaan berhubung penggunaan istilah dalam bahasa Inggeris menunjukkan ketidakpedulian mereka terhadap pemerkasaan bahasa Melayu dalam perkhidmatan awam.

Sehingga kini katanya, bukan saja MOTAC, malah beberapa kementerian lain termasuk Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dilihat mengutamakan bahasa Inggeris dalam menamakan pelbagai program dan inisiatifnya.



KBS menggunakan cogan kata bahasa Inggeris, Toward Sporting Nation pada sambutan Hari Sukan Negara 2021, manakala KPDNHEP memperkenalkan inisiatif Program Food Bank Malaysia sedangkan istilah dalam bahasa Melayu boleh disediakan.

“Pekeliling mengenai pemerkasaan bahasa Melayu dalam acara rasmi kerajaan sudah dikeluarkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) tetapi tidak dipatuhi.

“Jika jabatan kerajaan sendiri menunjukkan contoh tidak baik dalam aspek penggunaan bahasa Melayu, bagaimana pula syarikat swasta akan mematuhinya?,” katanya.

Menurut Kok Seong, perasaan berbangga dan setia kepada bahasa Melayu menuntut perubahan sikap yang besar terutamanya dalam kalangan masyarakat Melayu itu sendiri.



“Bahasa Melayu adalah bahasa ibunda masyarakat Melayu, bahasa nenek moyang mereka yang diangkat menjadi bahasa kebangsaan justeru kalau masyarakat Melayu sendiri meremehkan dan memperlekehkannya, ini bukan contoh yang baik kepada bangsa lain.

“Tambahan lagi bukan semua pihak menerima bahasa Melayu dengan ikhlas.

“Ada antaranya berbuat demikian semata-mata kerana mahu lulus peperiksaan dan bukan kerana ia bahasa negara,” katanya. BH

Sikap ahli politik terhadap bahasa Melayu mengecewakan


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Tujuan PPBM ditubuhkan hanya untuk bunuh UMNO – Tok Mat

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker