AS terus berusaha mahu Riyadh iktiraf Israel

RIYADH – Baru-baru ini Arab Saudi sekali lagi dipujuk oleh Amerika Syarikat (AS) untuk menormalisasikan hubungannya dengan Israel selepas empat buah negara Liga Arab berbuat demikian pada tahun lalu.

Pujukan itu berlaku apabila penasihat keselamatan Rumah Putih, Jake Sullivan mengadakan pertemuan dengan Putera Mahkota negara beraja itu, Putera Mohammed Salman di bandar raya Neom, barat laut Arab Saudi pada 27 September lalu.

Walaupun pertemuan tersebut diadakan pada bulan lalu tetapi ia hanya didedahkan oleh portal berita Axios dalam minggu ini selepas ia memetik tiga orang sumber yang mengetahui tentang perbincangan berkenaan.

 

Putera Mohammed Salman
Putera Mohammed Salman

 

Persoalannya kini mengapa Washington beriya-iya mahu Arab Saudi menormalkan hubungan dengan Israel?

Sejak Israel diterima menjadi anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada tahun 1949, Riyadh tidak pernah mengiktiraf kewujudannya sehingga sekarang atas alasan rejim itu menceroboh tanah penduduk Palestin.

Pendirian negara beraja itu terhadap isu Palestin berterusan sehingga kini walaupun empat buah negara Liga Arab iaitu Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain, Maghribi dan Sudan bersetuju mengiktiraf dan menjalin hubungan dengan negara yang tidak diiktiraf oleh Arab Saudi itu.

Keempat-empat anggota Liga Arab itu menormalisasikan hubungan dengan Israel ketika Presiden AS yang ke-45, Donald Trump daripada parti Republikan tetapi beliau gagal untuk memujuk Riyadh untuk berbuat demikian.

 

Donald Trump
Donald Trump

 

Ketika itu, Arab Saudi dikatakan akan menjadi negara pilihan yang seterusnya bakal menjalin hubungan rasmi dengan rejim Zionis tetapi negara beraja tersebut tetap dengan keputusan tidak mahu mengikuti langkah keempat-empat negara anggota Liga Arab itu.

Namun, setelah AS ditadbir oleh Joe Biden daripada parti Demokrat pada Januari lalu, dasar luar Trump yang mahu melihat Riyadh mengiktiraf Israel itu diteruskan Rumah Putih.

 

Joe Biden
Joe Biden

 

Usaha tersebut dilakukan Washington pada bulan lalu tetapi menurut portal berita Axios, dalam pertemuan yang diadakan pada hujung bulan lalu, penasihat keselamatan Rumah Putih itu diberikan satu senarai tentang langkah-langkah yang perlu dilakukan terlebih dahulu AS antaranya memperbaiki hubungan antara kedua-dua buah negara.

Penasihat keselamatan itu juga diberitahu bahawa Arab Saudi memerlukan masa untuk mengiktiraf Israel.

Usaha bagi memujuk Riyadh menjalin hubungan dengan Israel sebenarnya sudah bermula sejak Presiden kulit hitam pertama AS, Barack Obama memegang tampuk pemerintahan negara tersebut pada tahun 2009 lagi.

 

Arab Saudi sehingga kini masih enggan mengiktiraf kewujudan Israel.
Arab Saudi sehingga kini masih enggan mengiktiraf kewujudan Israel.

 

Obama ketika itu meminta Raja Arab Saudi, Raja Abdullah Abdulaziz Al Saud yang memerintah negara tersebut mengambil beberapa langkah kecil untuk menormalisasikan hubungan dengan rejim Zionis dengan negara-negara Arab yang lain.

Presiden AS yang ke-44 itu berharap melalui cara itu, ia akan mendorong Perdana Menteri Israel pada ketika itu, Benjamin Netanyahu untuk melakukan kemajuan dalam proses keamanan dengan Palestin.

Bagaimanapun, Riyadh menegaskan bahawa menormalisasikan hubungan itu hanya akan dilakukan jika sebuah negara Palestin ditubuhkan dan rejim Zionis keluar dari wilayah-wilayahnya seperti yang termaktub dalam Inisiatif Keamanan Arab pada tahun 2002.

 

Isu Palestin masih menghalang Arab Saudi menjalin hubungan dengan Israel.
Isu Palestin masih menghalang Arab Saudi menjalin hubungan dengan Israel.

 

Sementara itu, usaha pentadbiran Trump untuk memujuk Arab Saudi bagi menormalisasikan hubungan dengan Israel pula sudah bermula sejak tahun 2017 dan perkembangan terkini dikatakan Putera Mohammed menunjukkan sikap yang terbuka berhubung perkara itu, namun, Raja Salman Abdulaziz Al Saud masih kekal dengan pendirian mengenai isu Israel dengan Palestin itu. – Agensi

 

AS terus berusaha mahu Riyadh iktiraf Israel


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Perubahan pesat sosial di Arab Saudi

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker