MELAKA: Komuniti nelayan Tanjong Kling mungkin tidak memberi sokongan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka berikutan tindakannya baru-baru ini yang membawa kepada keruntuhan kerajaan negeri.
Ketuanya, Aziz Japar berkata, keputusan Nor Azman bersama tiga ADUN lain menarik sokongan terhadap kerajaan negeri membuktikan beliau tidak menghargai mandat rakyat di kawasan tersebut.
Beliau berkata, komuniti nelayan berasa sangat kecewa memandangkan telah bertungkus-lumus bagi membantu kemenangannya pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
“Bayangkan, kita tidak turun ke laut menangkap ikan sewaktu PRU-14 semata-mata nak bantu dia menang. Kami sanggup bersengkang mata pasang bendera dan buat bermacam-macam kerja untuk memenangkan beliau.
“Tapi apabila dia bersama ADUN Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron menarik sokongan terhadap kerajaan negeri, seluruh komuniti di sini sangat kecewa,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan, ADUN Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron menyerahkan nasibnya dan tiga lagi rakan kepada pucuk pimpinan tertinggi Pakatan Harapan (PH) untuk menentukan tempat yang bakal ditandingi mereka pada PRN Melaka, 20 November ini.
Idris berkata, beliau tidak boleh sewenang-wenangnya meminta kerusi tanpa mendapat ihsan daripada PH.
“Biarlah PH menentukan nasib kami sebab dalam konteks 15 orang (ADUN), kita telah membentuk gabungan kerana kami mempunyai majoriti,’’ katanya. -UTUSAN
You must be logged in to post a comment.