Betapa Cinta Dan Sayangnya Rasulullah S.A.W. kepada Umatnya

Betapa Cinta Dan Sayangnya Rasulullah S.A.W. kepada Umatnya

Apabila berbicara mengenai syafaat, pasti kita teringat kepada Baginda s.a.w. kerana hanya beliau yang boleh memberi syafaat kepada seluruh umatnya.

Dalam sebuah hadis dari Abu Hurairah r.a. sesungguhnya Nabi s.a.w pernah bersabda, “Setiap Nabi memiliki doa yang pasti Allah kabulkan dan aku menyimpan doa tersebut sebagai syafaat bagi umatku di akhirat nanti.” – HR Bukhari

Bukti kasih Rasulullah s.a.w terhadap umatnya juga melalui sabdanya sebagaimana yang diceritakan oleh seorang sahabat bernama Auf bin Malik, “Suatu hari Nabi s.a.w bersabda kepada kami, “Tahukah engkau apa yang telah ditawarkan Tuhanku malam tadi kepadaku?” Kami berkata, “Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui.”

Rasulullah s.a.w berkata, “Allah menawarkan kepadaku sama ada memasukkan sesetengah umatku ke dalam syurga, atau memberiku syafaat. Aku lalu memilih syafaat.” Kami lalu berkata, “Wahai Rasulullah, mintalah kepada Allah agar menjadikan kami termasuk dalam golongan ahli syafaatmu.” Baginda menjawab, “Syafaat ini untuk semua Muslim“. – HR Imam Tirmizi dan Ibn Majah.

Itulah bukti betapa kasih Nabi s.a.w. kepada umatnya, meskipun umatnya itu pendosa, tetapi tetap juga akan diberi syafaat pada akhirat esok, agar terselamat daripada seksaan api neraka.

Nabi s.a.w. akan berusaha menyelamatkan setiap daripada umatnya dengan segala kelebihan yang Baginda miliki sebagaimana yang tercatat dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari. Nabi s.a.w. menegaskan

“Aku telah diberikan lima perkara yang tidak pernah diberikan kepada nabi-nabi sebelumku, (salah satunya) aku diberikan syafaat.”

Syafaat Rasulullah

Terdapat beberapa jenis syafaat daripada Rasulullah s.a.w. iaitu pertamanya syafaat Al-Uzhma (yang paling besar) yang khas buat Baginda, seperti yang disebut dalam hadis. Semua para nabi menolak untuk memberi syafaat sehingga akhirnya manusia pergi kepada Nabi Muhammad s.a.w.

Kisah ini terjadi ketika semua makhluk berkumpul di padang Mahsyhar. Imam Bukhari meriwayatkan hadis ini daripada Anas bin Malik r.a. sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda,

“Bahawa pada hari kiamat Allah mengumpulkan seluruh makhluk di satu tempat yang luas. Manusia pada saat itu berada dalam kesusahan dan kesedihan. Mereka tidak kuasa menahan dan memikul beban pada saat itu. Kemudian mereka mendatangi Nabi Adam, lalu berkata,

“Wahai Adam, berilah syafaat untuk anak cucumu” Adam berkata,

Manusia akan mencari para nabi untuk mendapatkan syafaat, hanya Rasulullah s.a.w. yang akan memberikannya
“Sesungguhnya aku tidak boleh memberi syafaat untuk kalian pada hari ini. Pergilah kalian kepada Ibrahim, sesungguhnya ia adalah kekasih Allah (Khalilullah)”.

Kemudian mereka mendatangi Ibrahim a.s. lalu ia berkata kepada mereka,

“Sesungguhnya aku tidak boleh memberi syafaat kepada kalian pada hari ini. Pergilah kepada Musa, sesungguhnya Allah telah berbicara langsung kepadanya (kalimullah)”.

Kemudian mereka mendatangi Musa. Lalu ia berkata,

“Aku tidak boleh memberi syafaat pada kalian hari ini. Pergilah kalian kepada Isa, sesungguhnya ia adalah roh Allah dan kalimat-Nya”.

Kemudian mereka mendatangi Isa a.s. Lalu ia berkata,

“Aku tidak boleh memberi syafaat untuk kalian pada hari ini. Pergilah kalian kepada Muhammad.”

Kemudian mereka mendatangiku. Lalu aku berkata,

“Aku memberi syafaat untuk kalian pada hari ini”.

Kemudian aku pergi meminta izin kepada Allah. Setelah diizinkan aku berdiri di hadapan-Nya. Kemudian Allah memberi ilham kepadaku dengan pujian dan sanjungan untuk-Nya yang belum pernah Allah beritahukan kepada seorang pun sebelumku.

Kemudian aku tersungkur bersujud di hadapan-Nya. Lalu Dia berfirman,

“Wahai Muhammad! angkatlah kepalamu, katakanlah pasti engkau akan didengar, mintalah pasti engkau akan diberi, berilah syafaat pasti akan dikabulkan”.

Lalu aku mengangkat kepalaku. Kemudian aku berkata,

“Ya Allah! Ummati, Ummati (umatku, umatku).” Maka Dia berfirman,

“Wahai Muhammad! pergilah dan keluarkanlah umatmu dari neraka siapa yang di hatinya memiliki sebesar biji gabah atau gandum dari keimanan.”

Kemudian aku pergi dan aku lakukan apa yang diperintahkan, lalu aku kembali lagi kepada Allah dan memuji-Nya dengan pujian dan sanjungan untuk-Nya. Kemudian aku bersujud kepada-Nya, lalu dikatakan kepadaku seperti dikatakan semula. Kemudian aku berkata,

“Ya Allah! ummati ummati (ummatku ummatku).” Kemudian dikatakan kepadaku,

“Pergilah, dan keluarkanlah umatmu dari neraka siapa yang di hatinya memiliki sebiji sawi dari keimanan”.

Kemudian aku lakukan sebagaimana aku lakukan pertama. Lalu aku kembali lagi kepada Allah dan aku lakukan sebagai mana yang telah aku lakukan semula. Kemudian dikatakan kepadaku,

“Angkatlah kepalamu” sebagaimana dikatakan kepadaku pertama kali. Lalu aku katakan,

Syafaat dari Rasulullah akan membantu setiap manusia melepasi titian sirat
“Ya Allah! ummati ummati (umatku ummatku).” Kemudian dikatakan kepadaku

“Pergilah dan keluarkanlah umatmu dari neraka siapa yang di hatinya terdapat lebih kecil dari biji sawi dari keimanan”.

Kemudian aku pergi dan melakukan apa yang diperintahkan. Lalu aku kembali kepada Allah untuk yang keempat kalinya. Lalu aku memuji-Nya dengan berbagai pujian dan sanjungan untuk-Nya. Kemudian aku bersujud kepada-Nya, lalu dikatakan kepadaku,

“Wahai Muhammad! angkatlah kepalamu, katakanlah pasti engkau akan didengar, mintalah pasti engkau akan diberi, berilah syafaat pasti akan dikabulkan”. Lalu aku katakan,

“Ya Allah! izinkanlah aku agar boleh mengeluarkan umatku dari neraka bagi yang telah mengucapkan Laa Ilaha Ilallah (tidak ada Tuhan selain Allah).” Kemudian Allah berfirman,

“Ya Muhammad, sesungguhnya hal itu bukan bagimu atau hal itu bukan atasmu. Akan tetapi demi Kemulian Ku, Keluhuran Ku, Kesombongan Ku, dan Kebesaran Ku, Aku pasti akan keluarkan umatmu dari neraka siapa yang telah mengucapkan Laa Ilaha Illallah.”

Jelas, itulah bukti kasih sayang Nabi s.a.w kepada umatnya.

Syafaat Ahli Syurga

Syafaat Rasulullah yang kedua ialah syafaat kepada ahli syurga untuk masuk syurga. Rasulullah s.a.w. akan menjadi penghulu bagi seluruh ahli syurga. Masuknya Rasulullah ke dalam syurga adalah syafaat buat ahli syurga yang lain. Manakala yang ketiga ialah syafaat untuk bapa saudara Baginda, Abu Talib.

Walaupun mati dalam kekufuran, disebabkan beliau menjaga Nabi daripada gangguan kafir Quraisy, Allah mengizinkan Rasulullah memberi syafaat kepadanya dengan dikurangkan azab neraka ke atasnya dengan azab paling minimum iaitu api neraka hanya sampai di pergelangan kakinya namun boleh menggelegakkan otaknya.

Manakala yang terakhir ialah syafaat untuk mengeluarkan pelaku dosa besar atau kecil dari api neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, dan kepada orang yang berhak masuk neraka untuk tidak masuk neraka.

Segala syafaat itu hanya diperoleh dengan keizinan Allah SWT sahaja
Inilah juga bukti betapa Rasulullah s.a.w. sangat sayangkan umatnya, sehingga berupaya sedaya mungkin menyelamatkan umatnya dari seksaan api neraka.

Walau bagaimanapun, segala syafaat itu akan berlaku hanya dengan kekuasaan,keizinan juga rahmat daripada Allah. Sebagaimana firman-Nya dalam surah al-Baqarah: 255,

“Tiada siapa yang dapat memberi syafaat di sisi Allah melainkan dengan izin-Nya”.

Juga firman Allah yang bermaksud,“

Dan berapa banyak malaikat di langit, syafaat mereka sedikit pun tidak berguna kecuali sesudah Allah mengizinkan bagi siapa yang Dia kehendaki dan Dia redai.” (al-Najm: 26).

Seperti juga hidup, mati, rezeki, jodoh dan segala yang ada dan dimiliki di dunia ini adalah milik Allah segalanya, begitu juga di akhirat kelak, syafaat juga adalah milik Allah, dan perkara itu jelas dalam surah al-Zumar: 44

“Hanya milik Allah syafaat itu kesemuanya.” Wallahu a’lam Utv

Betapa Cinta Dan Sayangnya Rasulullah S.A.W. kepada Umatnya


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Betapa Cinta Dan Sayangnya Rasulullah S.A.W. kepada Umatnya

Saya masuk PKR, Guan Eng siapa nak halang

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker