Maulidur Rasul: Lakukan Ini Jika Benar Cintakan Rasulullah S.A.W

Maulidur Rasul: Lakukan Ini Jika Benar Cintakan Rasulullah S.A.W

Oleh : Dr. Zulkifli Al-Bakri

Sempena Maulid al-Rasul, suka penulis membincangkan isu akhlak Baginda s.a.w untuk diteladani dan diikuti sebagai qudwah dan uswah bagi umat Islam. Al-Qadhi Iyad dalam al-Syifa’ menyebut,

“Baginda seorang yang tabah dan cekal, seorang yang pemaaf walaupun berupaya membalas, sabar menghadapi segala yang tidak disenanginya. Ia adalah sifat-sifat luhur yang dengan sifat itu Allah mendidiknya. Semua orang yang tabah, sebelumnya pernah diketahui ada tergelincir dan pernah terbabas dari tindakan yang betul.

“Tetapi, Rasulullah s.a.w tidak begitu. Semakin bertambah gangguan dan penyakit, semakin bertambahlah kesabarannya. Sikap orang jahil yang keterlaluan terhadapnya hanya lebih menambahkan ketabahannya. Aisyah r.ha berkata,

“Tidaklah diberikan pilihan kepada Rasulullah s.a.w. antara dua perkara melainkan Baginda akan memilih yang paling mudah antara keduanya, selagi ia bukannya dosa. Tetapi, jika ia dosa, maka Bagindalah orang yang paling menjauhinya.

Baginda tidak pernah membalas untuk dirinya sendiri kecuali jika dilanggar kehormatan Allah, maka Baginda akan membalas pelanggaran itu kerana Allah.” Baginda adalah orang yang paling lambat marah dan cepat reda.”

Ketika ditanya kepada Prof. Dr. Yusuf al-Qaradhawi berkenaan dengan nikmat yang paling besar pada Maal Hijrah, beliau lantas menjawab, “Diutus Nabi Muhammad s.a.w. serta diturunkan kitab al-Quran, lantas menjadikan umat Muhammad sebagai umat pilihan yang adil dan menjadi saksi ke atas perbuatan manusia.

Keistimewaan Nabi Muhammad s.a.w. adalah generasi paling ke hadapan seperti disifatkan dalam al-Quran dengan empat ciri:

Pertama: Rabbani (dilahirkan untuk memberi hidayah, sinar, kebahagiaan dan manfaat kepada manusia).

Kedua: Kesederhanaan, yang penuh dengan keseimbangan, tidak berlebih-lebih dalam mementingkan kebendaan, seperti kaum Yahudi dan tidak melampau dalam mengutamakan kerohanian, seperti kaum Nasrani.

Ketiga: Umat yang cemerlang dari segi kebaikan berbanding umat terdahulu.

Keempat: Umat yang bersatu.

Kafir Quraisy sentiasa berencana untuk menghapuskan Baginda s.a.w. dengan bermacam helah
Nabi Muhammad s.a.w pada hayatnya meninggalkan banyak warisan kepada umat Islam. Walaupun tempoh jangka masa pendek sebagai Rasul selama 23 tahun, namun Baginda berjaya mengubah perjalanan seluruh alam, takdir dan matlamatnya, memalingkan pandangan manusia dari penyembahan makhluk kepada menyembah Allah S.W.T.

Sifat Asas Rasulullah s.a.w

Syeikh Sa’id Hawa’ melalui kitabnya, al-Rasul, menyatakan empat sifat yang asas ada pada Baginda, iaitu:

Sidiq yang mutlak dalam apa jua keadaan sekalipun.
Iltizam dengan sempurna dengan apa yang ia dakwah sebagai ganti daripada Allah.
Menyampaikan yang sempurna serta berterusan mengikut kandungan risalah.
Akal yang besar, yang menunjukkan sifat fatanahnya supaya manusia merasa tenang apabila mengikut sahib al-risalah ini.
Segala perkara di atas merupakan sifat asas bagi mana-mana Rasul. Ibn Taimiyyah berkata,

“Di antara tanda-tanda kenabiannya, sepanjang kehidupan Nabi s.a.w. selama 63 tahun, tidak pernah berbohong, tidak pernah berkhianat, tidak pernah bercakap kotor, bahkan tidak pernah terlintas di dalam hatinya untuk melakukan perkara-perkara jahat. Kehidupannya sentiasa berada dalam kebenaran sehinggalah baginda meninggal dunia dan berjumpa dengan Allah Azza wa Jalla.”

Kurniaan Allah Kepada Rasulullah

Diberi kelapangan dada, seperti firman Allah (Surah al-Syarh: 1), “Bukankah Kami telah melapangkan bagi mu: dada mu (wahai Muhammad serta mengisinya dengan iman dan hidayah petunjuk)? Ibn Kathir berkata, “Kami telah menerangi dadamu, iaitu dengan cahaya Kami. Dan Kami jadikan dadamu lapang, lebar dan luas.”

Pendapat yang sahih, Allah mengurniakan kelapangan dan keluasan sehingga Rasulullah dapat hidup selesa, di mana kelapangan di langit dan di bumi kerana kurniaan iman, hikmah, yakin dan cahaya hidayah.

Diangkat sebutannya seiringan dengan nama Allah, seperti firman Allah, “Dan Kami telah meninggikan bagi mu: Sebutan namamu (dengan mengurniakan pangkat Nabi dan berbagai kemuliaan?” Surah al-Syarh: 4. Qatadah mengatakan, “Allah meninggikan sebutan beliau di dunia dan di akhirat. Tidak ada seorang khathib, orang yang mengucapkan syahadah dan juga orang yang mengerjakan solat melainkan menyebut dua kalimah syahadah.”

Pemeliharaan Allah terhadap Rasulullah s.a.w. Firman Allah melalui surah al-Maidah: 67, “Dan Allah jualah akan memeliharamu dari (kejahatan) manusia.”

Ibn Qutaibah berkata, “Allah menegah kamu dari kejahatan mereka.” Pemeliharaan Allah di sini ditafsirkan juga dengan “selamat dari melakukan maksiat,” seperti kata Ibn al-Jauzi dalam Zad al-Masir fi ‘Ilmi al-Tafsir.

Rasulullah s.a.w. adalah manusia agung yang dicintai seluruh makhluk di langit dan bumi
Kurniaan kemenangan dan pembukaan kepada Rasulullah s.a.w. Firman Allah, “Sesungguhnya Kami telah membuka bagi perjuangan mu (wahai Muhammad) satu jalan kemenangan yang jelas nyata.” (Surah al-Fath: 1). Al-Mawardi dalam tafsirnya, al-Nukat wa al-‘Uyun, menyebut dua pendapat:

Sesungguhnya Kami ajarkan kamu ilmu yang nyata dan kami turunkan kepadamu Quran dan perintahkan dalam urusan agama.

Kami putuskan bagimu hukuman dan balasan yang amat nyata dengan cara membuka untuk mu negeri-negeri di dunia.

Mempunyai akhlak yang agung. Firman Allah surah al-Qalam: 4, “Dan sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang amat mulia.” Syeikh Tahir Ibn Asyur dalam tafsirnya, al-Tahrir wa al-Tanwir berkata,“Sebagaimana Allah menjadikan rasul Nya di atas akhlak yang agung, dia juga menjadikan syariatnya supaya membawa manusia dengan akhlak yang agung dalam kemuncak ketaatan. Dengan ini, bertambah jelaslah makna tamakkun yang membawa kepada huruf isti’la’, menggambarkan ketinggian pekerti serta nilai akhlak yang agung, yang dimiliki oleh Baginda sehingga ia juga tamakkun dalam menyampaikan dakwah agamanya.”

Sebagai pembawa rahmat kepada sekalian alam. Firman Allah, “Dan tiadalah Kami mengutus engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.” – (Surah al-Anbiya’: 107) Dr. ‘Aid al-Qarni dalam bukunya, Rahmatan li al-‘Alamin menyebut beberapa tafsiran, antaranya:

Baginda merupakan seorang manusia utusan Allah. Baginda datang untuk membela nasib umat yang lemah, tertindas, terkebelakang dan terpenjara dengan pelbagai kezaliman.

Bahkan mengangkat maruah mereka sehingga setaraf dengan bangsa lain. Baginda membina satu tamadun baru di antara sekian tamadun yang sedia ada dan menjadi tamadun yang paling tinggi nilainya.

Rasulullah s.a.w. telah mengeluarkan kita dari Semenanjung Arab yang tandus tanpa wujudnya sungai, kebun, mahupun tumbuh-tumbuhan, menjelajahi seluruh pelosok bumi.

Ajarilah anak-anak untuk mengenal dan mencintai Baginda s.a.w. serta sunnah-sunnahnya.
Maulidur Rasul: Lakukan Ini Jika Benar Cintakan Rasulullah S.A.W

Dikurniakan beberapa kelebihan yang lain. Antaranya seperti Jawami’ al-Kalim, rasa ketakutan pada musuh sejarak sebulan perjalanan, dihalalkan baginya harta rampasan perang, dijadikan bumi seluruhnya masjid dan suci. Begitu juga, dikurniakan syafaat al-‘uzma.

Dikemukakan di sini beberapa riwayat. Antaranya:

Al-Hafiz Ibn Hajar di dalam Fath al-Bari, antara lain berkata, “Permulaan hadis Abu Hurairah ini, dilebihkan ku atas sekalian nabi dengan enam, lantas disebut lima, seperti hadis Jabir kecuali syafaat dan menambah dua lagi, iaitu dikurniakan ku jawami’ al-kalim dan disudahi dengan ku segala nabi. Daripada hadis Jabir tujuh perkara.”

Dalam riwayat Muslim juga, daripada hadis Huzaifah, “Dilebihkan kami atas semua manusia dengan tiga perkara. Dijadikan saf-saf kami seperti saf malaikat.”

Mengikut Ibn Khuzaimah dan al-Nasa’ie,“Dan dia dikurniakan ku ayat-ayat ini dari akhir surah al-Baqarah, dari simpanan di bawah Arasy dan diangkat kesilapan dan lupa daripada hukuman.”

Mengikut riwayat Ahmad, daripada hadis Ali, “Dikurniakan ku empat perkara yang tidak dikurniakan mana-mana nabi sebelum ku, dikurniakan ku kunci-kunci buni, dinamakan ku Ahmad dan dijadikan umat ku sebaik-baik umat.”

Mengikut riwayat al-Bazzar, daripada Abu Hurairah,“Dilebihkan ku atas sekalian nabi dengan enam, diampunkan dosa ku yang terdahulu dan kemudian dijadikan umat ku sebaik-baik umat, diberikan ku al-Kauthar, sahabat mu adalah pembawa bendera kepujian pada hari kiamat, di bawahnya Adam dan semuanya.”

Maulidur Rasul: Lakukan Ini Jika Benar Cintakan Rasulullah S.A.W


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Maulidur Rasul: Lakukan Ini Jika Benar Cintakan Rasulullah S.A.W

3 pemimpin Umno konsensus pilih calon

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker