Kelahiran Nabi Muhammad S.A.W, kenang dan raikan

Kelahiran Nabi Muhammad S.A.W, kenang dan raikan

RABIULAWAL sangat istimewa dan sangat dimuliakan oleh umat Islam seluruh dunia kerana ia bulan kelahiran junjungan besar Rasulullah SAW yang jatuh pada hari ke-12, iaitu bakal disambut esok.

Rabiulawal yang mendapat nama sempena musim bunga, mencatat banyak peristiwa penting berkaitan Rasulullah SAW seperti permulaan hijrah Baginda meninggalkan Makkah menuju Madinah dan tarikh kewafatan Khatimul Anbiya itu.

Mudir Pondok Turath Islam Baitussaadah, Dr Mohd Sobri Ellias, berkata disebabkan erti besar kepada umat Islam, ia patut dihayati dan dimuliakan menerusi penganjuran majlis sambutan Maulidur Rasul.

Menyingkap malam kelahiran Rasulullah SAW, berlaku gegaran kuat di istana Kisra, Parsi hingga menyebabkan 14 balkoni istana berkenaan runtuh.

Tasik Sawa yang sebelum itu dipenuhi air hingga membolehkan kapal besar berlayar, menjadi kering-kontang.

“Pada malam kelahiran itu, kilat berdentam-dentum memanah syaitan, manakala berkat kelahiran Baginda juga menyaksikan api sembahan kaum Majusi di Parsi yang dikatakan menyala sejak 1,000 tahun, terpadam dengan takdir Allah SWT.

“Sewaktu kelahiran Rasulullah SAW, cahaya keluar dari tubuh bonda Rasulullah, Saidatina Aminah hingga menerangi istana di Syam, bahkan beliau dapat melihat leher unta yang berada Busro.

“Kejadian itu membuktikan kelahiran Rasulullah SAW sangat diraikan seluruh alam,” katanya kepada Ibrah.

Mohd Sobri berkata, jasad Rasulullah SAW ketika dilahirkan sangat luar biasa berbanding bayi lain, iaitu bawah kelopak matanya hitam bercelak, manakala tubuhnya berminyak dan sudah dikhatankan.

Tarikh kelahiran Rasulullah pada tanggal 12 Rabiulawal itu mengikut qaul atau pandangan muktamad, manakala ia jatuh pada Isnin tanpa perselisihan dalam kalangan ulama.

“Rasulullah SAW dilahirkan pada malam diiringi suasana damai, harmoni dan amat menenangkan serta suhunya tidak terlalu sejuk atau panas.

“Ibn Abdil Baar menyatakan Baginda dilahirkan sebulan selepas tentera bergajah pimpinan Abrahah mati dalam serangan dilakukan burung Ababil ketika mereka mahu menghancurkan Kaabah,” katanya.

Bulan kelahiran Rasulullah SAW, Mohd Sobri berkata, wajar diraikan dengan mengadakan majlis sambutan sempena memperingati kelahiran agung itu, selain mengadakan perarakan untuk menzahirkan kegembiraan dan rasa syukur terhadap nikmat pengutusan Rasul akhir zaman.

Justeru, memperingati kelahiran Nabi Muhammad SAW amat wajar memandangkan pengutusan Baginda membawa pedoman, petunjuk dan rahmat kepada manusia, sekali gus nikmat tidak ternilai dan tiada tolok bandingnya.

“Kita hendaklah meletakkan kecintaan kepada Nabi SAW melebihi cinta terhadap diri sendiri, kedua-dua orang tua, anak serta manusia keseluruhannya,” katanya.

Anas ibnu Malik meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda: Tidak sempurna iman seseorang daripada kamu hingga aku menjadi terlebih dikasihinya berbanding anak-anak, kedua-dua ibu bapa dan manusia lainnya. (HR Bukhari)

Mohd Sobri menjelaskan kita digalakkan melakukan perarakan Maulidur Rasul dan majlis ilmu seperti ceramah serta forum untuk menceritakan akidah, akhlak dan keperibadian Rasulullah SAW kepada masyarakat.

Beliau berkata, ia sangat efektif dalam menyuntik dan menyubur rasa rindu, cinta dan kasih kepada Rasulullah SAW dalam kalangan generasi muda.

Mohd Sobri turut menolak pandangan segelintir masyarakat yang menganggap Maulidur Rasul sebagai bidaah atau menyamakan perarakan sempena sambutan itu seperti perarakan agama lain dan mendakwa ia diasaskan penganut Syiah.

“Pandangan itu tidak benar, bercanggah dengan pendapat Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) dan barangkali disebabkan salah faham terhadap Islam serta sejarah peradabannya,” katanya.

Imam al-Hafiz Ibnu Hajar al-Asqalani berkata: “Sesungguhnya mengadakan sambutan Maulidur Rasul, ia suatu bidaah yang baik.”

Pandangan ulama hadis dan fiqh itu menunjukkan ada pahala daripada amalan berkenaan.

Meskipun Rasulullah SAW tidak pernah mengadakan perarakan sempena kelahiran Baginda, ini tidak bermakna haram dilakukan.

“Ini kerana ia tergolong sebagai bidaah yang baik, manakala perarakan itu dikiaskan dengan perarakan dilakukan sahabat di Makkah sebagai tanda kegembiraan terhadap keislaman Saidina Umar RA.

“Jika ia harus dilakukan, perarakan menzahirkan kegembiraan terhadap pengutusan Nabi Muhammad SAW lebih patut diadakan,” katanya.

Tokoh pertama yang mengadakan sambutan Maulidur Rasul ialah al-Malik al-Muzaffar Abu Sa‘id al-Kukabri, iaitu Raja Irbil pada kurun ke-7 Hijrah.

Selain pemerintah, baginda ialah orang alim, bertakwa dan berani serta menghimpunkan ramai ulama dalam kalangan ahli hadis dan ahli sufi yang benar.

Amalan yang dilakukan baginda dipandang baik ulama dari Timur dan Barat seperti al-Hafiz Ibnu Dihyah; al-Hafiz Zayn ad-Din al-Iraqi dan anak muridnya, Ibnu Hajar al-Asqalani yang juga menghasilkan kitab Syarah Sahih al-Bukhari; al-Hafiz al-Sakhawi; al-Hafiz Ibnu Jawzi serta al-Hafiz as-Suyuti.

Rasulullah SAW bersabda: Sesiapa merintis suatu perkara baik dalam Islam, dia akan beroleh ganjaran daripada perkara itu dan ganjaran orang yang melakukan perkara yang dirintis selepasnya tanpa berkurang sedikitpun daripada pahala yang mereka peroleh. (HR Muslim)

Sambutan Maulidur Rasul juga amat digalakkan ulama Tanah Jawi atau Alam Melayu yang terdahulu.

Ramai ulama di rantau ini mengarang kitab mengenai keharusan mengadakan sambutan Maulidur Rasul seperti Sheikh Nawawi al-Bantani dalam Targhibul Musytaqin li Bayani Manzhumah as-Saiyid al-Barzanji Zainal ‘Abidin fi Maulid Saiyidil Awwalin wal Akhirin.

Beliau turut menghasilkan kitab Bughyatul ‘Awam fi Syarhi Maulid Saiyidil Anam dan Al-Ibrizud Dani fi Maulidi Saiyidil Adnani.

Tuan Guru Haji Sulong Patani yang juga cucu Tuan Minal al-Fathani pula menghasilkan Cahaya Islam Gugusan Maulid Saiyidil Anam; Sheikh Tuan Husain Kedah (Tafrih al-Shibyan fi Mawlid an-Nabiy min Waladi ‘Adnan) dan Sheikh Abu Bakar Hasan al-Muari (Mustika Ajaib).

Ulama terkenal kelahiran Kelantan, Tok Kenali pula mengarang risalah Risalatud Durril Manthur dan Syeikh Wan Ali Kutan al-Kalantani (Risalah Majma’ al-Qashaid wa al-‘Awaid) yang kedua-duanya terjemahan Kitab Qasidah al-Burdah karangan al-Imam al-Busiri.

Marilah umat Islam sekalian, banyakkanlah selawat ke atas junjungan besar kita, Nabi Muhammad S.A.W

TANDA-TANDA MAHABBAH (KECINTAAN) KEPADA NABI MUHAMMAD SAW

Menurut Al-Qadhi ‘Iyadh didalam As-Syifa bi Ta’rif Huquqil Mustafa disebut, alamat atau tanda-tanda Mahabbah kepada Baginda Muhammad SAW:

. Mencontohi Sunnah Baginda
. Banyak mengingati yakni selalu
berselawat kepadanya
. Disertai Selawat dengan khusyuk
. Mencintai atau merindui untuk bertemu
dengan Baginda
. Mencintai ahli bait Rasulullah SAW.

Kelahiran Nabi Muhammad S.A.W, kenang dan raikan


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


3 pemimpin Umno konsensus pilih calon

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker