Usaha kenal Nabi Muhammad SAW

Setiap kali tiba bulan Rabiulawal umat islam di seluruh dunia akan mengingati kelahiran Rasulullah SAW. Walaupun terdapat kepelbagaian cara dalam memperingatinya.

Di Malaysia, 12 Rabiulawal adalah hari kebesaran bagi umat Islam sempena kelahiran insan teragung pembawa rahmat ke seluruh alam.

Memperingati kelahiran Rasulullah SAW bererti memberi suntikan dan semangat baru dalam mengenali, mencintai, merindui serta meneladani suri tauladan murni baginda nabi SAW dan banyak berselawat kepadanya.



Seperti halnya kita memperingati lailatul qadar dan nuzulul Quran pada Ramadan dengan banyak beramal. Khususnya membaca al-Quran, memperingati peristiwa Asyura dalam Muharam dengan berpuasa dan memperingati ibadah korban di bulan haji. Demikian juga dengan bulan Rabiulawal iaitu kelahiran Rasulullah SAW.

Cara mengenali Rasulullah SAW yang terbaik ialah melalui penerangan yang di tunjukkan oleh Allah SWT dalam al-Quran.

Firman Allah SWT: Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad SAW) yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat tamak (inginkan) kebaikan bagi kamu, (dan) ia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman. (at-Taubah: 128)

Dalam ayat ini, nabi ialah manusia tetapi kemanusian nabi berbeza dengan manusia biasa. Memiliki sifat-sifat manusia pada lahiriah nya namun tersimpan kedudukan kenabian pada tubuh badannya.



Keringatnya lebih wangi dari minyak kasturi, ludahnya menyembuhkan beberapa penyakit, melihat dari belakang seperti dari hadapan tanpa menoleh. Ini semua tidak ada pada manusia biasa.

Beliau bersabda ketika melarang orang lain berpuasa dan tidak berbuka berhari-hari namun beliau melakukannya: Aku tidak sama seperti kamu, sesungguhnya aku bermalam dengan Tuhanku, dia memberiku makan dan memberiku minum. (Riwayat al-Bukhari)

Kedua, dalam ayat di atas sifat nabi ialah sangat berat kepadanya kesusahan yang ditanggung oleh umatnya.

Ini bererti Rasulullah SAW teramat mengasihi umatnya sehinggakan tidak mahu ada apa-apa memberatkan umatnya, baik pada hukum-hakam ataupun perintah dan larangan-Nya.



Seorang Badwi berkata: “wahai Rasulullah! Beritahukan pada ku apa yang Allah wajibkan keatasku pada solat? Nabi menjawab: solat lima waktu saja melainkan bila kamu ingin menambahkan yang sunnah. Lelaki tadi berkata lagi: ajarkanlah pada ku kewajipan berpuasa?

Nabi menjawab: puasa Ramadan, melainkan bila kamu ingin menambahkan lagi dengan puasa sunnah. Beritahulah pada diriku apa yang wajib ke atas aku pada zakat? Lalu nabi menjelas syariat islam untuk zakat. Lelaki badwi tadi berkata: demi Dzat yang telah memuliakan mu (wahai Rasulullah) aku tiada akan buat yang sunnah dan hanya akan buat yang wajib sahaja. Nabi bersabda: sungguh ia akan bertuah bila melakukan yang wajib sahaja dengan betul. (Riwayat al-Bukhari)

Hadis ini menggambarkan betapa baginda nabi memudahkan kepada Badwi yang bertanya agar tidak menyusahkan.

Ketiga, sangat menginginkan kebaikan untuk umatnya dengan menerima hidayah yang dibawa oleh Rasulullah.



Firman Allah: Jangan-jangan pula engkau (wahai Muhammad), membinasakan dirimu dengan menanggung dukacita, kerana mereka tidak menjadi orang-orang yang beriman. ( al-Syu’ara: 3)

YAHUDI TERIMA HIDAYAH

Seorang Yahudi yang biasa melayan Rasulullah SAW jatuh sakit, maka Rasulullah menziarahinya lalu duduk dekat dengan kepalanya.

Baginda menawarkan Islam kepada remaja Yahudi itu, lalu Yahudi tadi meminta izin bapanya untuk beriman kepada Rasulullah dan bapanya mengizinkannya. Lalu remaja yahudi itu memeluk agama Islam, baginda Rasulullah SAW sangat gembira, baginda bersabda: segala puji bagi Allah yang telah menyelamatkan dia daripada api neraka. (Riwayat al-Bukhari)



Keempat, menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang yang beriman. Perasaan belas kasihan atau rahmat adalah salah satu daripada sifat Allah SWT.

Allah SWT memiliki 100 rahmat, satu diturunkan ke bumi dan 99 akan diberikan di syurga. Di antara rahmat terbesar di atas muka bumi ini ialah Rasulullah SAW. Belas kasihannya meliputi segala sesuatu, baik manusia, jin atau binatang.

Dalam satu perjalanan, seekor burung sedang menjaga dua anaknya. Seorang sahabat telah mengambil dua ekor anak burung atau dua biji telurnya, lalu burung tadi berputar-putar mencari kedua anaknya dan disedari oleh baginda SAW.

Baginda bersabda: Siapakah yang telah membuat burung bersedih kerana anaknya? Lalu memerintahkan untuk mengembalikan kedua ekor anak burung itu kepada induknya. (Riwayat Abu Daud)



Adakalanya Rasulullah SAW melakukan solat lalu mendengar suara tangisan bayi, lalu beliau mempercepat solatnya kerana khuatir ibu bayi itu risaukan akan anaknya yang menangis.

Ada ketika baginda sedang sujud lalu cucu beliau yang bernama Hasan memanjat badan nabi yang sedang sujud, maka nabi tidak bangkit daripada sujudnya kerana bimbang cucunya terjatuh dan menangis.

Maka baginda sujud lama sehingga para sahabat menyangka kalau nabi sudah wafat.

Rasulullah SAW bersabda: Barang siapa yang tidak mengasihani maka ia tiada akan dikasihani. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Usaha kenal Nabi Muhammad SAW


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Kertas Pandora: ‘RM900 bilion tidak masuk akal’

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker