Kebun Musang King, getah haram patut dicegah lebih awal

Sebaran :

NOTIS pengosongan kebun durian Musang King dan getah di Kampung Pulai, Gua Musang, Kelantan, bertarikh 30 September 2021

KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan sepatutnya bertindak tegas terhadap sebarang pencerobohan Hutan Simpan Ulu Galas dekat Kampung Pulai, Gua Musang, lebih awal ketika tanah tersebut mula-mula direntah atau diteroka.

Timbalan Pengerusi Amanah Kelantan, Che Ibrahim Mohamed berkata, Jabatan Perhutanan negeri sebaliknya hanya mengambil tindakan itu selepas ‘membiarkan’ aktiviti tersebut berlarutan selama puluhan tahun.

“Mungkin berlaku kekeliruan berhubung sempadan hutan simpan yang adakala diubah-ubah. Mungkin semasa rentahan awal, tanah itu asalnya tanah kerajaan, kemudian kerana perubahan sempadan, tanah tersebut berubah status menjadi hutan simpan.

“Kerajaan pada dasarnya tidak menghalang permohonan untuk rentahan dan pemilikan tanah kerajaan, namun proses kelulusannya memakan masa lama. Ada fail permohonan dibuka lebih 20 tahun tidak diproses dan diperam lama atas sebab teknikal dan kerenah pentadbiran.



“Dasar permohonan hak milik tanah kerajaan yang banyak karenah birokrasi ini, akibatnya ada permohonan tidak diluluskan atau bertindih,” katanya dalam satu kenyataan akhbar, di sini hari ini.

Kelmarin, lebih 30 pekebun durian Musang King dan getah di Kampung Pulai merayu pertimbangan semula arahan pengosongan kebun seluas 90 hektar yang diusahakan mereka sejak 25 tahun kerana berada dalam kawasan Hutan Simpan Ulu Galas.

Notis dikeluarkan Jabatan Perhutanan Kelantan amat mengejutkan kerana hanya selepas 25 tahun, barulah mereka diberitahu tanah kebun diusahakan selama ini termasuk dalam kawasan yang diwartakan sebagai hutan simpan.

Mengulas lanjut, Che Ibrahim berkata, sebagai situasi menang-menang, kerajaan negeri disaran membantu para pekebun melalui pemberian Lesen Pendudukan Sementara (TOL) atau kaedah pajakan.



“Kaedah ini boleh mendatangkan keuntungan kepada kedua-dua pihak. Usaha petani yang sekian lama tidak diabaikan manakala kerajaan pula mendapat pulangan melalui bayaran pajakan tahunan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Perhutanan negeri, Abdul Khalim Abu Samah berkata, arahan pengosongan itu setakat ini muktamad, namun isu tersebut akan dibincangkan lebih lanjut dengan kerajaan negeri dalam masa terdekat.

“Alasan tidak tahu kawasan itu merupakan hutan simpan bukan isunya kerana kalau pun tanah itu bukan hutan simpan, ia sudah semestinya tanah kerajaan dan tidak boleh diterokai sewenang-wenang.

“Mereka telah meneroka selama 25 tahun tanpa sebarang bayaran kepada kerajaan negeri . Sepatutnya tidak ada masalah untuk  keluar dari kawasan tersebut,” katanya. – UTUSAN ONLINE



Kebun Musang King, getah haram patut dicegah lebih awal


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Umno perlu perbaiki MN – Salleh


Sebaran :

Leave a Reply