Terima kasih hina, caci saya

‘Terima kasih hina, caci saya…’

Berdepan ujian besar apabila rezeki terputus akibat COVID-19, ditambah penyakit diabetes melarat hingga memaksa jari kaki dipotong, ahli kumpulan Indigo, Bad, dikecam netizen pula gara-gara kisah kepayahan hidup, viral.

Bad atau nama penuh, Badrul Izhan Yeop Abdullah kesal segelintir netizen melontarkan kecaman dan menganggap artis tidak perlu diberi layanan istimewa.



“Bukan semua artis kaya-raya dan hidup mewah. Kenyataan saya mengenai rawatan termasuk mencuci luka di hospital swasta, dipersoal netizen.

“Mereka cakap kenapa saya tidak pergi ke hospital kerajaan sahaja kalau tiada duit. Sebenarnya, ada perkara yang saya tidak mahu berkongsi dengan lebih lanjut.

“Tetapi rawatan mencuci bukaan luka bukan biasa. Ia perlu dirujuk kepada mereka yang lebih pakar. Ada benda yang mungkin orang nampak biasa atau senang, tetapi, saya yang melalui semuanya.

“Tidak mengapalah, terima kasih kerana menghina dan mencaci saya… Saya reda,” katanya kepada BH Online.



Bad yang juga suami kepada Ashira Aziz mengaku kesihatan dirinya ketika ini baik-baik sahaja. Cuma, pergerakan terbatas dan terpaksa bergantung kepada ‘walker’ yang dilengkapi empat roda.

“Saya perlu jalani rawatan selang sehari dengan setiap kunjungan membabitkan caj RM35. Kalau empat kali rawatan, sudah jadi RM140.

“Kos rawatan memang membebankan. Apatah lagi saya tiada tawaran persembahan bersama Indigo sejak lebih setahun lalu.

“Saya bersyukur ada sahaja insan mulia bermurah hati seperti kenalan, saudara-mara dan mereka yang tidak dikenali memberi sumbangan.



“Diakui sifat rakyat Malaysia sangat pemurah dan baik hati menderma, biarpun ada antara mereka yang bergelut,” katanya.

Bad turut menerima hakikat sebagai pemegang status Orang Kelainan Upaya (OKU), mengaku isterinya juga berusaha membantu.

“Ashira mencari peluang menjana pendapatan dan membantu saya. Cuma, peluang itu belum ada, biarpun industri kreatif sudah diberi kelonggaran untuk aktif semula, baru-baru ini.

“Jika diikutkan, saya terbabit dengan kerja pengendalian acara termasuk membuat kertas kerja atau cadangan. Semua itu boleh dilakukan di rumah. Namun, belum ada tawaran datang,” katanya.



Bad memberitahu, dia berusaha sebaik mungkin meneruskan survival dan berdepan cabaran hidup.

“Saya didekati Lembaga Zakat Selangor kerana mereka mahu memberi bantuan kepada golongan asnaf.

“Cuma, saya fikir, bantuan seumpama itu, biarlah yang terakhir saya terima andai sudah tidak berdaya. Selagi ada kudrat, saya ikhtiar selagi boleh.

“Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ada datang ke rumah, baru-baru ini. Mereka juga memberikan saya borang untuk mendapatkan bantuan sekurang-kurangnya RM300 sebulan.



“Cuma saya masih belum lengkapkan borang itu,” katanya. BH

Terima kasih hina, caci saya


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU




Siang kutip sampah malam jadi perogol

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker