‘Kena tegur’, Fizz Fairuz dua minggu diserang sakit misteri

‘Kena tegur’, Fizz Fairuz dua minggu diserang sakit misteri

Ulu hati bagai dirobek, tengkuk berat, sukar bernafas dan hilang selera makan antara perkara dirasai Datuk Fizz Fairuz sepanjang dua minggu diserang sakit misteri.

Meskipun hampir sebulan berlalu, pengalaman yang ditempuhi sekembali dari menjalani penggambaran kisah seram membuatkan aktor berkenaan semakin berhati-hati ‘masuk’ ke tempat orang.



Katanya, dia kerap berdepan peristiwa sama namun kali ini kesan dialaminya agak menakutkan apabila sehingga kini masih belum pulih sepenuhnya terutama masalah gastrik.

“Ramai juga yang tertanya-tanya saya sakit apa. Sebelum ini saya pernah mendapatkan rawatan kecemasan disebabkan masalah gastrik yang berpunca tiada selera ketika sakit, September lalu.

“Kata orang tua ‘ketegur’ atau kena tegur. Mungkin silap saya sendiri tetapi sebelum ini kalau ke tempat baharu di mana-mana lokasi penggambaran, saya sangat jaga kata-kata dan perbuatan.

“Memang saya rasa lain macam masa itu, cuma tak sangka kesannya berlanjutan sampai dua minggu. Saya jadi orang lain, sakit satu badan dan enggan melayan anak isteri sebab emosi yang saya tak tahu kenapa.



“Disebabkan tak makan, saya diserang gastrik. Alhamdulillah, selepas mendapatkan rawatan secara perubatan Islam dan moden, saya semakin pulih serta kini dapat bekerja semula,” katanya kepada Kosmo! Online.

Memahami isteri tercinta, Datin Almy Nadia dan anak-anak risaukan keadaannya yang sedang menjalani penggambaran di Ipoh, Perak, Fizz mengakui doa mereka membuatkannya terus bersemangat.

Pemilik nama sebenar Mohd. Fairuz Zainal Abidin, 42, itu kini bersama pasukan produksi JS Pictures yang diketuai pengarah, Jinggo menjalani penggambaran drama bersiri Roti Cicah Susu.

Bakal disiarkan sebanyak 16 episod di Astro Ria, Fizz mengakui sekian lama tidak berada di set berikutan fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) membuatkannya teruja.



“Dalam drama ini saya membawakan watak putih iaitu seorang lelaki bernama Iskandar yang cuba membongkar komplot jahat membabitkan sebuah keluarga.

“Selain Ipoh, selepas ini kami bakal bergerak ke Janda Baik dan Fresar Hill, Pahang untuk menyudahkan penggambaran yang dianggarkan dapat diselesaikan sebelum akhir bulan ini,” tambahnya lagi.

Mengakui sudah mula rindukan keluarga memandangkan sepanjang PKP mereka banyak melakukan aktiviti bersama, jauh di sudut hati Fizz mengagumi isterinya menguruskan anak-anak yang masih kecil.

“Bagi saya, Almy isteri dan ibu hebat kerana dalam keadaan sarat hamil pun dia mampu menguruskan rumah dengan sempurna tambahan pula melayani anak kecil yang tengah lasak.



“Apabila saya sudah mula bekerja, bermakna urusan rumah tangga terutama menjaga anak-anak dikendalikannya sendiri. Saya tahu dia kuat semangat,” katanya mengenai Almy yang kini hamil lapan bulan.

Almy dan Fizz mendirikan rumah tangga pada 26 April 2004 dan dikurniakan empat cahaya mata perempuan termasuk seorang anak angkat. K Online

‘Kena tegur’, Fizz Fairuz dua minggu diserang sakit misteri


Baca Artikel Menarik :



Layari Laman Facebook MYKMU


Siang kutip sampah malam jadi perogol



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker